Teori Falsafah Bahasa.
Falsafah Bahasa merupakan gabungan Teori Relatif dengan
Teori Kenuranian Bahasa yang telah diperkenalkan oleh Mohd Rashid Md Idris
dalam tesis ph.D beliau pada tahun 2007. Dapatan daripada teori ini ialah
potensi berbahasa adalah kurniaan Allah. (Mohd Rashid Md Idris, 2010: 15).
Teori Falsafah Bahasa terbahagi kepada
tiga bahagian, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus.
Bulatan itu merupakan bentuk yang memerlukan manusia berbahasa secara sempurna
dari segi nahu, makna dan tujuannya. Oleh itu, segala ujaran itu mestilah dalam
konteks yang difahami, disenangi oleh pendengar, dan bertujuan baik selaras
dengan tuntutan syarak. Bentuk
bulatan ini secara tidak langsung turut menggambarkan peranan bahasa yang
menggambarkan keseluruhan kehidupan orang Melayu termasuklah dalam mengamalkan
nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka sepenuhnya. Kitaran budaya dan usia
juga diibaratkan seperti roda yang adakalanya di atas dan adakalanya di
bawah.
Bahagian kedua yang
terlukis dalam rajah Teori Falsafah Bahasa ini ialah anak panah (dua hala).
Anak panah dalam rajah ini menunjukkan kewujudan hubungan langsung atau
tersurat antara penutur dengan pendengar. Hal ini menunjukkan bahawa akan
berlakunya keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas antara penutur
dengan pendengar supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan
bersama. Maklumat ialah keterangan dan perincian sesuatu perkara. Maklumat
terbentuk daripada keinginan dalam pemikiran penutur untuk menyampaikan sesuatu
perkara kepada pendengar. Menurut Theodorson dan Theodorson dalam Mohd Rashid
Md Idris (2004), komunikasi ialah pengiriman maklumat, penikiran, sikap atau
emosi daripada seseorang individu atau kumpulan kepada individu atau kumpulan
yang lain. Manakala maklum balas pula ialah maklumat atau data yang diperoleh
hasil daripada pengendalian dan digunakan untuk membolehkan pelarasan dibuat
supaya keadaan pengendalian yang dikehendaki tercapai. Menurut Abdullah Hassan
dan Ainon Mohd dalam Mohd Rashid Md Idris (2012), menyatakan bahawa maklum
balas boleh diberi atau didapatkan melalui pelbagai kaedah. Antaranya ialah
mengemukakan soalan-soalan sama ada daripada penghantar atau penerima,
reaksi-reaksi bukan lisan yang kelihatan, “rephrasing” atau “paraphrasing” yang
merumuskan semula mesej dan ringkasan mesej atau maklumat. Terdapat dua jenis
maklum balas dalam proses berbahasa. Antaranya, maklum balas positif dan maklum
balas negatif. Maklum balas positif termasuklah pengiktirafan, pujian,
penghargaan dan sanjungan. Manakala maklum balas negatif merupakan suatu
penyataan negatif terhadap sesuatu perkara. Lazimnya maklum balas negatif ini
bersifat celaan, penghinaan, teguran dan kecaman. Salah satu bentuk maklum
balas negatif ialah kritikan yang menjatuhkan.
Garisan
putus-putus dalam rajah menerangkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat)
antara manusia dengan Allah selaku Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah
telah menganugerahkan banyak perkara kepada makhluk-Nya. Keadaan ini
termasuklah kejadian asal diri manusia itu sendiri. Dalam konteks ini, Allah
turut menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dalam menentukan sama
ada mereka memilih untuk menjadi manusia yang baik ataupun sebaliknya.
Alat-alat pertuturan yang diberikan kepada manusia merupakan satu pinjaman yang
amat berharga untuk mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Manusia
berkomunikasi bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan Yang Maha Pencipta
iaitu melalui amalan ibadah yang dilakukan. Keadaan ini selaras dengan prinsip
kesempurnaan berbahasa yang ketiga iaitu berbahasa untuk beribadah atau
mentauhidkan Allah.
Prinsip Kesempurnaan Berbahasa.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris (2012), ilmu komunikasi ialah ilmu yang dipelajari oleh
manusia supaya memudahkan seseorang menyampaikan apa-apa yang terkandung dalam
fikirannya kepada orang lain. Selain itu, manusia bukan sahaja menggunakan
komunikasi ini hanya untuk menyampaikan maklumat kepada manusia tetapi juga
kepada haiwan. Walaupun binatang tidak dikurniakan akal fikiran seperti
manusia, tetapi ia juga mudah dan boleh memahami maksud yang disampaikan oleh
manusia. Perkembangan komunikasi semakin berkembang dengan wujudnya alat-alat
komunikasi seperti telefon, telegraf, radio dan alat-alat komunikasi yang lain.
Terdapat tiga prinsip asas dalam
Teori Falsafah Bahasa. Pertama, berbahasa mengikut nahu. Prinsip ini menegaskan
betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi
ini perlu mengikut nahu yang betul agar maklumat yang ingin disampaikan itu
mencapai objektifnya. Antara elemen-elemen
penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa ialah sumber,
saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan persekitaran. Bahasa
merupakan suatu sistem yang lengkap dan sempurna dari segi pertuturan atau
polanya. Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, tatabahasa dan sistem makna.
Bahasa yang digunakan dlaam pertuturan dan penulisan sememangnya terikat dengan
sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahsa atau nahu, setiap perkataan perlu
disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapakan
mahupun ditulis. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas boleh meningkatkan
keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, sekiranya kita
berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang
hendak disampaikan kepada individu lain dapat disampaikan dengan sempurna dan
jelas. Sekiranya penutur dan pendengar bersetujuan dengan penggunaan sesuatu
bahasa dan bahasa itu dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua belah pihak,
maka komunikasi yang baik akian berlaku. Masalah akan timbul dalam komunikasi
apabila timbulnya masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti
budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan nilai. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa betapa pentingnya manusia berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin
disampaikan kepada setiap individu itu mencapai obejektif.
Prinsip kesempurnaan berbahasa yang
kedua adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar. Hal ini
bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”.
(Surah
al-Azhab 33: 70)
Dalam ayat ini jelas menunjukkan
bahawa Allah S.W.T telah memberi penegasan supaya manusia berkata benar.
Sekiranya sesuatu maklumat atau fakta yang disampaikan itu tidak tepat atau
menyeleweng, ini akan memberi kesan buruk kepada manusia. Jika seseorang individu itu menyampaikan maklumat
yang tidak tepat atau salah, ia boleh menjadi fitnah dalam masyarakat tersebut.
Dalam menyampaikan sesuatu maklumat, pemikiran seseorang individu tidak boleh
berlandaskan kepercayaan dan emosi semata-mata tetapi maklumat itu haruslah
disampaikan berdasarkan penaakulan yang tepat dan sahih. Maklumat yang ingin
disampaikan itu perlulah diperolehi daripada sumber-sumber yang sahih dan boleh
dipercayai. Perkara ini bertujuan untuk memastikan supaya maklumat yang
diberikan itu tidak bercanggah dengan fakta yang sebenarnya seterusnya bebas
dari fitnah. Dalam ajaran Islam juga jelas mengajar umatnya supaya menjauhi
perbuatan fitnah keran fitnah itu merupakan perbuatan terkutuk dan dapat
merosakkan manusia. Dengan fitnah manusia saling bercakaran dan saling bermusuhan.
Selain itu, kita juga perlu menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan dapat
difahami oleh orang lain agar maklumat yang ingin disampaikan itu tidak
bercanggah dengan apa yang diterima.
Prinsip ketiga adalah berbahasa
untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T. prinsip ini berkait rapat
dengan Teori Kenuranian Bahasa yang merumuskan bahawa potensi atau kebolehan
berbahasa ialah kurniaan Allah. Kemampuan dan kebolehan berkomunikasi ialah
nikmat Allah S.W.Tyang penting kepada manusia. Manusia telah dilahirkan dengan
anugerah akal, naluri, mulut dan pancaindera lain yang tidak ternilai harganya
dan kita tidak perlu membayar apa-apa untuk anugerah kurniaan Allah S.W.T ini.
dalam konteks ini, berbahasa ataupun berkomunikasi juga boleh dikategorikan
sebagai salah satu cara untuk beribadah. Komunikasi yang berkesan ialah
komunikasi yang melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala
bentuk keperluannya. Hubungan manusia ini terbahagi kepada tiga, iaitu hubungan
manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan dengan manusia (hablum
minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Hubungan komunikasi antara
manusia dengan Penciptanya dikenali sebagai komunikasi menegak (verticel
communication). Keperluan komunikasi haruslah melibatkan hal duniawi dan hal
ukhrawi seperti yang telah disyariatkan dalam Islam. Komunikasi secara mendatar
(horizontal communication) pula berlaku apabila dua individu berkomunikasi
secar bersemuka.komunikasi ini merangkumi dua bentuk hubungan komunikasi.
Antaranya, hubungan sesama manusia dan hubungan antara manusia dengan makhluk
lain seperti jin, bunian, flora dan fauna. Kebiasaannya, komunikasi ini berlaku
tanpa dirancang terlebih dahulu. Berbahasa juga dilihat sebagai tujuan untuk
beribadah apabila kita berbahasa untuk menyampaikan kebaikan, contohnya kita
berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada orang lain, kita
berbahasa untuk saling menegur atau menasihati dan kita juga berkomunikasi
dalam menuntut ilmu yang berguna juga dikira sebagai ibadah. Dalam proses
berbahasa atau berkomunikasi, manusia digelar sebagai komunikator yang
mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang canggih. Sebagai manusia
ciptaan Allah yang istimewa, perlulah menggunakan akal mereka untuk berfikir
tentang keesaan dan kebesaran Allah S.W.T. Denagn memikirkan dan menghayati
tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T manusia itu telah melakukan ibadat kepada
Allah S.W.T.
1 comment:
terima kasih atas perkongsian maklumat
Post a Comment