Abstrak.
Cerita Jenaka Melayu merupakan
salah satu genre penting kesusasteraan tradisional Melayu yang dikumpulkan bagi
dua tujuan atau fungi utama iaitu untuk menyampaikan ilmu atau pengajaran dan
yang keduanya untuk tujuan berhibur. Penceritaan bercorak seperti ini merupakan
cara yang digunakan oleh orang Melayu pada zaman dahulu untuk menyampaikan
sesuatu pandangan. Perkara yang ingin ditegaskan melalui cerita-cerita tersebut
bukanlah jenakanya , tetapi lebih kepada ilmu atau pengajaran atau pandangan
hidup yang ditinggalkan oleh cerita tersebut. Justeru itu , kajian yang bakal
dilakukan ini adalah untuk mengkaji unsur sindiran yang termuat di dalam Cerita
Jenaka Melayu. Kajian bakal menelusuri
apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh cerita melalui petikan-petikan
daripada karya tersebut.
Kajian
yang dijalankan ini adalah untuk mengenalpasti unsur sindiran yang
diketengahkan dalam karya agung Cerita Jenaka Melayu. Karya agung ini merupakan
salah satu genre penting kesusasteraan tradisional Melayu yang diperturunkan
dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Masyarakat Melayu pada masa
dahulu bukan sahaja menggunakan karya ini sebagai hiburan semata-mata , namun
sebagai alternatif untuk menyampaikan pengajaran dan makna berlapis bagi
menyindir sesuatu perbuatan yang dipraktiskan oleh masyarakat Melayu pada
ketika itu. Penyampaian yang digunakan oleh pengarang pada ketika ini sangat
halus , sesuai dengan sifat masyarakat Melayu itu sendiri yang dikenali sebagai
masyarakat yang lemah lembut dan halus budi pekertinya.
Dalam keseusasteraan Melayu ,
terutamanya dalam karya Cerita Jenaka Melayu lelucon atau lebih dikenali
sebagai cerita jenaka terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama
ialah cerita dongeng Melayu yang telah lama tersebar seperti cerita-cerita Pak
Pandir , Pak Kaduk , Lebai Malang , Pak Belalang dan Si Luncai. Bahagian kedua
pula ialah cerita-cerita jenaka saduran seperti Mat Jenin , Abu Nawas dan
Musang Berjanggut. Walaupun cerita-cerita Melayu sezaman terus wujud dan
berkembang , namun cerita-cerita jenaka tradisional tetap mendapat tempat dalam
masyarakat Melayu.
Menurut sesetengah pengkaji ,
cerita-cerita jenaka tradisional ini dibahagikan kepada tiga kelompok menurut
sifat watak-watak utamanya. Kelompok pertama dalam kategori bodoh sial
mengumpulkan watak Lebai Malang dan Pak Kaduk. Sebagai contoh Pak Kaduk ditipu
raja sehingga bertukar ayam.Kerana bodoh mengatur strategi , bercampur dengan
sedikit sifat tamak , Lebai Malang pulang ke rumah kelaparan. Kategori yang
kedua pula ialah golongan yang diletakkan dalam kelompok pintar bodoh iaitu Pak
Pandir. Sebagai contoh kerana sikap Pak Pandir yang bodoh , kurang akal dan
sering menerima nasib malang Pak Pandir sering mendapat bencana dan kerugian
seperti anaknya mati dicelur , majlis kendurinya huru-hara oleh ‘jemputan’
garam yang dibeli hancur di dalam air dan sebagainya. Manakala kelompok ketiga
pula ialah kategori pintar iaitu watak Pak Belalang dan Si Luncai.
Cerita jenaka merupakan
cerita-cerita sederhana yang disampaikan secara santai . Kerana itu strukturnya
juga amat sederhana. Kebanyakan cerita dimulai dengan pengenalan watak utama
secara bersahaja , diikuti peristiwa lucu yang dilakukan oleh watak utama itu
tadi. Sering kali watak utama adalah penyambung cerita kerana urutan
berbagai-bagai peristiwa menjadi satu cerita oleh penglibatan watak utama
berkenaan. Bagi laras gaya bahasa pula , tidak ada gaya bahasa tertentu yang
digunakan dalam penyampaian cerita-cerita jenaka. Kerana itu cerita jenaka
dapat dituturkan oleh sesiapa sahaja kerana penyampaiannya dalam bentuk
pertuturan seharian.
2.0 Objektif Kajian.
a.
Meneliti secara umum kisah-kisah
yang diceritakan dalam Cerita Jenaka Melayu.
b.
Mengenalpasti unsur-unsur sindiran
yang terdapat dalam Cerita Jenaka Melayu.
c.
Melihat kaitan unsur sindiran
dengan sikap orang Melayu sendiri.
3.0 Persoalan Kajian.
a.
Apakah kisah-kisah yang terkandung
dalam Cerita Jenaka Melayu?.
b.
Apakah contoh-contoh sindiran yang
terdapat dalam Cerita Jenaka Melayu?
c.
Apakah perkaitan antara sikap orang
Melayu dengan Cerita Jenaka Melayu?
4.0 Kepentingan Kajian.
Unsur
jenaka sering hadir dalam keseusasteraan , sama ada untuk memenuhi naluri
manusia untuk tujuan berseronok atau bergembira yang disalurkan melalui sastera
lisan ataupun sastera bertulis dengan tujuan menghibur , ataupun ditingkatkan
kepada tahap lebih tinggi dengan menggandingkan ciri kejenakaan dengan tujuan
pengajaran moral , sindiran yang tidak ketara , mengkritik dan menghina dan
memberontak terhadap pihak rasmi. Kejenakaan yang dicetuskan oleh pengarang
secara tidak langsung sebenarnya cuba untuk menyampaikan maksud berlapis. Hal
ini sangat mencerminkan sifat orang Melayu yang sangat halus budi pekertinya.
Justeru itu kajian ini adalah sangat penting bagi menelusuri unsur-unsur
sindiran yang wujud dalam Cerita Jenaka Melayu. Bukan sekadar untuk perkongsian
ilmu sastera tradisional , tetapi juga sebagai pengajaran bagi kita generasi
pada masa kini untuk meneliti betapa halusnya masyarakat pada zaman dahulu cuba
untuk menyampaikan sesuatu pandangan yang disifatkan sebagai negatif dan tidak
enak untuk diungkapkan secara terus.
5.0 Metodologi Kajian.
Kajian
terhadap unsur sindiran yang digunakan dalam Cerita Jenaka Melayu menggunakan
beberapa kaedah iaitu yang pertama kaedah kepustakaan. Kaedah ini digunakan
pengkaji untuk mengetahui sikap-sikap orang Melayu yang dipetik daripada kata-kata
tokoh terkenal. Kaedah kedua ialah kaedah mengkaji teks yang sedia ada iaitu
teks karya agung ; Cerita Jenaka Melayu.
6.0 Dapatan Kajian.
Menurut
Kamus Dewan 2005 : 623 , perkataan jenaka bermaksud perbuatan atau kata-kata
yang menggelikan hati atau lawak . Apabila digabungkan dengan cerita jenaka
dapatlah ditakrifkan bahawa maksudnya ialah kisah yang menggelikan hati atau
lawak. Menurut Mohd Taib Osman 2007 :
xvii ; unsur jenaka sentiasa hadir dalam kesusasteraan , sama ada untuk
memenuhi naluri manusia untuk berseronok atau bergembira yang disalurkan
melalui sastera lisan atau sastera bertulis dengan tujuan menghibur , ataupun
ditingkatkan lagi ke tahap lebih tinggi dengan menggandingkan ciri kejenakaan
dengan tujuan pengajaran moral , sindiran yang tidak sangat ketara , mengkritik
dan menghina dan memberontak terhadap pihak rasmi. Semuanya ini dilakukan
menerusi persendaan.
Unsur sindiran yang digunakan dalam
karya Cerita Jenaka Melayu disifatkan sebagai bahasa yang bersifat emotif. Unsur-unsur
sindiran dalam laras sastera atau kreatif seringkali berfungsi untuk menyatakan sesuatu makna yang sebaliknya.
Unsur sindiran ini sering terdapat dalam kehidupan orang Melayu.
Tujuan
penggunaan unsur sindiran ialah untuk menyampaikan sesuatu yang kurang disenangi
dengan tidak dinyatakan secara terus.Antara unsur-unsur sindiran adalah seperti
berikut:-
a. Unsur
Ironi.
Ironi
merupakan bahasa sindiran yang halus tetapi mempunyai makna yang tajam. Bunyi
penyebutan atau cara ungkapannya yang disampaikan adalah lembut tetapi sesiapa
yang terkena akan terasa tajam sindirannya. Biasanya unsur ironi membawa maksud
yang bertentangan dengan maksud sebenarnya. Digunakan dalam percakapan antara
dua pihak.
Contoh:
Ø Dah jatuh. Kan aku dah kata tadi.
Ha, panjatlah lagi. Panjat.
Ø Wah, bersihnya bilik ini! Puntung
rokok dan cebisan kertas bertaburan di lantai.
b. Unsur
Sarkastik.
Unsur
sarkastik merupakan bahasa yang
pengucapan yang sering kali akan menyakiti hati orang lain yang mendengar atau
menerima ungkapan tersebut. Unsur sarkastik bersifat kesat. Sindiran begini
tidak dinyatakan secara sinis tetapi dinyatakan kerana marah kepada seseorang.
Kerapkali sindiran jenis ini kurang digunakan dalam masyarakat Melayu kecuali
kerana terlalu marah serta tidak dapat mengawal perasaan sendiri.
Contoh:
Ø Pergi jahanam kamu. Aku tidak suka
melihat kamu lagi!
Ø Bangsat engkau, benci aku melihat
muka engkau di sini!
Ø Nyah kamu dari rumah aku!
c. Unsur
Sinisme.
Bahasa
yang bersifat sinis. Bahasa ini lebih lembut daripada bahasa sarkastik tetapi
lebih keras daripada bahasa kiasan
ironi. Bahasa sinisme letaknya di tengah-tengah antara bahasa sarkastik dan
bahasa ironi. Nada yang digunakan agak keras
dan menyentuh perasaan orang yang mendengarnya.
Contohnya:
Ø Biarlah dia pergi, muak aku
melihatnya.
Watak-watak protagonis jenaka yang
wujud dalam cerita rakyat Melayu seperti Pak Kaduk , Lebai Malang , Pak Pandir
, Pak Belalang , Si Luncai atau Mat Jenin menampakkan ciri-ciri jenaka yang
timbul daripada perwatakan realiti manusia sejagat. Kisah-kisah jenaka yang
dipaparkan menerusi karya agung ini merupakan analogi atau cerminan terhadap
sikap orang Melayu itu sendiri yang sering sahaja lalai apabila mengecapi
nikmat dan kemewahan yang sementara. Sebagai contoh sikap dungu dipaparkan
menerusi perwatakan Pak Kaduk yang menang sorak tetapi kampungnya tergadai.
Begitu juga sikap lurus bendul Pak Pandir yang melakukan sesuatu tanpa
memikirkan akibat jangka masa panjang. Manakala , sikap suka memasang
angan-angan tinggi tetapi tidak mahu berusaha diaparkan menerusi watak Mat
Jenin yang suka berangan-angan kosong.
Cerita jenaka lazimnya adalah mengenai
hubungan sosial yang wujud antara manusia. Contohnya di antara pihak pemerintah
dan rakyat , rakyat dengan rakyat dan antara keduanya. Corak pemerintahan
dilakukan dengan berhati-hati pengarangnya seperti dalam penceritaan yang cuba
menyindir raja yang dikatakan sebagai orang yang mudah ditipurakyat ataupun
raja yang mempunyai imej yang tidak begitu baik. Kelemahan pihak pemerintah
sengaja ditonjolkan oleh pengarangnya. Ia lebih bersifat kritikan sosialkepada
masyarakat. Unsur-unsur kritik dan sindiran ini dijalin dalam bentuk
ketidaksungguhan, secara senda gurau yang dapat menimbulkan senyum
tertawa,orang yang terkena sindiran dan kritik itu tidak marah atau dendam.
Cerita
jenaka yang berfungsi sebagai sindiran atau kritikan sosial biasanya
mengandungi sindiran-sindiran yang tajam terhadap sesuatu perkara seperti yang
dikatakan sebelumnya.Selalunya bahan sindiran ialah tentang sikap pemimpin,
ketua dan juga sikap sesetengah orang yang melupakan agama, tradisi dan budaya
mereka sehingga melakukan perbuatan-perbuatan sumbang, perbuatan yang menyalahi
undang-undang,nilai-nilai moral dan agama dan sebagainya. Melalui beberapa
cerita jenaka Melayu, kita akan dapat melihat unsur-unsur kritikan sosial atau
sosiologi dan nilai-nilai moral di dalamnya.
a.
Lebai Malang ; Sikap Tamak Haloba.
Sekali persetua , datanglah seorang
laki-laki ke rumahnya mengajak akan dia melawat orang mati. Maka kata Pak Lebai
, “ Baiklah. Kembalilah tuan dahulu”. Dan seketika lagi datanglah pula seorang
kanak-kanak menjemput Pak Lebai kerana hendak kenduri berkhatam pengajian . Maka
jawab Pak Lebai , “ Yalah , baliklah engkau dahulu”. Ada sekejap pula datang
seorang lagi mempersilakan Pak Lebai ke terataknya oleh hendak berdikir maulud.
Maka itu disanggup juga oleh Pak Lebai ; demikian jugalah katanya. Maka
ketiga-tiga mereka itupun pulanglah ke rumah masing-masing berhadirkan sekalian
alatnya kerana harapkan Pak Lebai akan datang ke rumah masing-masing.
(
Cerita Jenaka Melayu 2007 :53)
Sudah sembahyang , lalu berfikir di
dalam hatinya , ‘ Ke mana baik aku pergi ini? Jika aku pergi kepada orang mati,
tentu aku mendapat sedekah kain putih dan tikar. Dan kalau aku pergi kepada
orang berkhatam pengajian itu , perutku tentulah kenyang , dan sedekah pula
secupak daging kerbau , serta kelapa setali dan kampit beras satu. Dan jikalau
aku pergi kepada orang berdikir itu , tentulah perutku kenyang makan lempeng
penganan angkatan orang itu. Maka kalau begitu , baiklah aku pergi kepada orang
mati itu dahulu kerana sabda junjungan , dahulu kerjakan wajib daripada kerja
yang lain-lain.
(Cerita
Jenaka Melayu 2007 : 54).
Petikan di atas
menunjukkan sikap Lebai Malang yang bersifat tamak kerana sanggup menerima ketiga-tiga jemputan walaupun tidak pasti
dapat menghadirinya kesemua majlis dalam masa yang sama. Hal ini dapat
menunjukkan bahawa pengarang cuba untuk mengkritik masyarakat yang seringkali
sahaja melakukan sesuatu demi mendapatkan manfaat disebaliknya. Hal ini bukan
sahaja mencerminkan sikap pentingkan diri sendiri , malahan juga tidak
memikirkan kesannya terhadap orang lain. Sikap tamak haloba biasanya akan
membawa kesan negatif di akhirnya. Justeru itu sikap ini sewajarnya dihindarkan
kerana ianya bukan hanya menyusahkan diri sendiri malahan juga orang lain.
Walaupun
begitu , terdapat sifat yang boleh dipuji mengenai tentang sifat sabar Lebai
Malang.Keseluruhan kisah menggambarkan walaupun Lebai Malang gagal menghadiri
ketiga-tiga jemputan tersebut tetapi ia tetap tenang apabila diberitahu yang
majlis-majlis itu telah selesai. Dalam perjalanan pulang Lebai Malang teringat
hendak mengambil nira lalu lempeng yang dibawanya diletakkan disigai pokok.
Memang nasibnya kurang baik, lempengnya telah dilarikan anjing.Kemudian dia
melihat anjing tersebut masuk ke dalam sebuah lubang kayu. LebaiMalang
menanggalkan pakaiannya dan menyumbat lubang kayu itu tetapi anjing dapat
melepaskan diri mengikut lubang yang lain. Kerana kebodohannya dan sifat
tamaknya juga dua ekor punai yang hampir ditangkapnya terlepas.
Kemudian
apabila Lebai Malang mencari pakaiannya semula, ternyata telah dicuri orang dan
terpaksalah pulang bertelanjang bulat. Perbuatan Lebai Malang yang tidak
mempunyai sifat sabar menyebabkan dia kehilangan kesemua yang diingininya
walaupun pada awalnya mempunyai sifat sabar. Melalui cerita Lebai Malang,
pengarang cuba mengkritik golongan lebai yang menduduki status yang tinggi
dalam masyarakat dan dihormati masyarakat. Walaupun begitu wujud dalam kalangan
ini juga yang memiliki sifat-sifat yang buruk seperti sifat tamak. Lebai Malang
melakukan kerja-kerja kerana mengharapkan balasan yang lumayan. Hal ini jelas
mencerminkan sikap tamak yang menjadi sebahagian daripada sifat masyarakat.
b.
Mat Jenin ; Sikap suka berangan-angan.
Aku memanjat ini dalam 25 pokok ,
dapatlah aku lima puluh biji. Maka aku jual nyiur itu , dengan harga satu duit
sebiji dapatlah aku duit lima kupang. Kemudian aku belikan pula nyiur yang
murah harganya , dapat pula enam puluh biji. Kemudian akau tanak minyak.
Kemudian aku jual itu minyak dapatlah aku untung sekupang, sudah jadi duit aku
itu tujuh kupang. Kemudian aku belikan ayam pula , seekor jantan , seekor
betina dengan harga tiga keduanya. Tinggal duit aku empat kupang. Kemudian aku
belikan padi sepuluh gantang , harga tengah dua kupang , akan makanan ayam ini
tinggal duit aku lagi satu suku. Maka jadilah duit ini akan aku belanja
memelihara itu ayam. Kemudian , ini ayam lama-lama ia bertelur beranak dan
maknya pun ber(a) nak jadi banyaklah ayam aku.
(Cerita
Jenaka Melayu 2007 : 120)
Mat
Jenin merupakan watak yang sangat umum dalam kalangan masyarakat Melayu. Watak
ini dilambangkan sebagai watak yang suka berangan-angan dan tidak membawa
apa-apa keuntungan kepadanya. Mat Jenin
yang leka dengan angan-angannya semasa memanjat pokok kelapa sehingga terlalu
tinggi angan-angannya menyebabkan dia mati terjatuh dari pokok kelapa. Walaupun
cerita Mat Jenin diperlihatkan sebagai cerita jenaka dan menjadi unsur sindiran
kepada masyarakat supaya tidak meletakkan angan-angan terlalu tinggi namun dari
konteks yang lain kisah ini sebenarnya mengandungi falsafah dan pengertian
berlapis bergantung kepada situasi dan konteks. Mat Jenin merupakan ikon watak
yang suka berangan-angan dalam keadaan yang tidak sepatutnya hingga menerima
padah. Namun imaginasinya memperlihatkan falsafah bahawa cita-cita perlu
dimulakan dengan satu langkah yang kecil. Walaupun angan-angan Mat Jenin
berakhir dengan tragedi namun pendekatan yang digunakan oleh pengarang dalam
mengolah cerita ini mengandungi falsafah moral yang cukup tinggi.
Selain
itu , berkemungkinan juga Mat Jenin
adalah lambang pada segelintir masyarakat yang ingin maju dan bersaing tetapi semangat
begini dibunuh oleh masyarakat Melayu itu sendiri. Sehingga kini, sifat suka
dengki-mendengki seolah-olah menjadi duri dalam daging orang Melayu kerana
wujud amdaian yang mengatakan bahawa orang Melayu gemar senang merasa iri hati
melihat kejayaan orang lain. Hal inilah yang menyebabkan masyarakat Melayu
sukar untuk maju ke hadapan. Jika dilihat daripada aspek kemajuan orang Melayu
pada masa kini , ada kebenarannya falsafah ini. Hal ini kerana ekonomi orang
Melayu masih juga ketinggalan dibelakang jika dibandingkan dengan ekonomi
kaum-kaum yang lain. Padahal jika diteliti , masyarakat Melayu merupakan
penduduk bumiputera yang adalah golongan yang banyak menerima insentif dan
bantuan daripada golongan pemerintah. Namun sikap orang Melayu yang
segelintirnya tidak menjalankan amanah dengan baik menyebabkan orang Melayu yang
lainnya menerima kesan yang negatif. Falsafah ini ternyata sejajar dengan
falsafah hidup yang cuba diketengahkan oleh pengarang.
c.
Pak Pandir ; Sikap lurus bendul.
Keduanya pun makanlah. Maka Pak
Pandir makan baharu dua , tiga suap , ikan salainya pun sudah habis. Maka kata
Pak Pandir “ Andeh , Andeh , berilah aku lauk sedikit. Lauk aku sudah habis”.
Maka jawab Mak Andeh “ Aku pun sudah habis juga”. Ujar Pak Pandir “ Ada ku
tengok di bawah paha Andeh itu”. Kata Mak Andeh “ Yang aku makan ini daging
paha aku , bukannya ikan salai”. Maka Pak Pandir pun segeralah mengambil
goloknya mengiris daging pahanya serta dibakar, diperbuatnya lauk.
(Cerita
Jenaka Melayu : 80)
Pak
Pandir merupakan watak yang digambarkan sebagai seorang manusia yang dungu
kerana sifatnya yang lurus , naïf dan bendul. Kelucuan Pak Pandir timbul
daripada tindak-tanduknya yang disifatkan seperti bodoh atau lurus. Namun
begitu sebenarnya tindakan Pak Pandir ini dilihat ada rasionalnya. Petikan di
atas menunjukkan sifat Pak Pandir yang lurus kerana tidak memikirkan kesan
akibat perbuatannya itu. Pak Pandir begitu naïf mempercayai kata-kata Mak Andeh
yang menyatakan bahawa Mak Andeh menghiris daging pehanya untuk dijadikan lauk.
Tanpa berfikir dua kali , Pak Pandir terus menghiris daging pehanya untuk
dijadikan lauk. Kesannya Pak Pandir terpaksa menanggung kesakitan akibat
perbuatannya itu. Dalam hal ini pengarang sebenarnya cuba untuk menyampaikan
pengajaran bahawa seseorang itu sepatutnya memikirkan dengan sedalam-dalamnya
sebelum melakukan sesuatu perkara supaya tidak mendatangkan kemudaratan di
kemudian hari.
Pada keseluruhan cerita , Pak Pandir
digambarkan sebagai watak yang lurus bendul. Hal ini jelas sewaktu situasi
MakAndeh meminta Pak Pandir memandikan anak mereka menggunakan air panas. Tanpa
berfikir panjang Pak Pandir memandikan anak mereka di dalam air yang sedang
menggelegak panasnya. Dalam situasi ini kita mungkin melihat watak Pak Pandir
sangat bodoh kerana tindakannya. Namun begitu , tindakan ini sebenarnya
merupakan sindiran kepada orang Melayu supaya tidak melakukan tindakan secara
terburu-buru. Mak Andeh juga sepatutnnya menjelaskan dengan baik apakah yang
dimaksudkan dengan air panas yang boleh digunakan untuk memandikan anak mereka.
Hal ini juga memperlihatkan supaya sesuatu arahan sepatutnya diberikan secara
jelas supaya tidak wujud salah faham. Hal inilah sebenarnya yuang berlaku dalam
masyarakat Melayu pada masa kini. Kita gemar berprasangka buruk terhadap orang
lain , sedangkan situasi sebenarnya tidaklah sebegitu. Sesuatu hal yang tidak
diketahui kebenarannya sepatutnya disiasat terlebih dahulu supaya tidak
mendatangkan fitnah ataupun salah faham kepada orang lain.
d.
Pak Belalang ; Sikap malas berusaha.
Maka orang bekerja bendang pun
masing-masing turun ke bendangnya membuat pekerjaan ; ada yang mencuci parit ,
membaiki batas-batas mana-mana yang patut dan rosak , dan ada yang meneggala
dengan kerbau yakni tanah di dalam petak bendang itu supaya menjadi lebut
semuanya , boleh senang menanam padi , lagi pula menyuburkan pokok padi sampai
ke buahnya. Maka ada pula yang memagar dan berbuat berbagai-bagai ikhtiar
supaya terpelihara daripada marabahaya musuhnya seperti tikus , ulat dan babi.
Maka di dalam hal yang demikian itu , semua orang membuat pekerjaan , melainkan
Pak Belalang tiga beranak asyik dengan tidur siang malam di rumahnya dengan
berdukacita yang teramat sangat dengan kehidupannya , dengan tiada tampak jalan
melapangkan cagarannya yang akan boleh makan.
(Cerita
Jenaka Melayu 2007 : 87-88)
Dalam
petikan di atas menggambarkan bahawa sikap Pak Belalang yang malas berusaha. Masyarakat
kampung yang bangun awal pagi bersama-sama menguruskan bendang dan sawah padi
mereka , namun Pak Belalang dan anak-anaknya masih lena dibuai mimpi dalam
tidur mereka.
Namun
begitu melalui keseluruhan cerita , walaupun Pak Belalang ini bersifat malas , melalui
kebijaksanaannya dalam melakukan tipu helah menyebabkan Pak Belalang menikmati
kehidupan yang selesa. Pak Belalang sebenarnya memiliki tuah apabila kebetulan
nasib baik menyebelahinya. Semasa
peristiwa Pak Belalang menyamar sebagai ahli nujum menyelesaikan masalah orang
kampung yang mengalami kehilangan kerbau milik mereka , hal tersebut jelas
berlaku secara kebetulan kerana kebetulan anak Pak Belalang yang menjumpainya.
Perlakuan ini ternyata jelas telah mencetuskan kejenakaan apabila kelakuan yang
dilakukan ini merupakan tipu helah yang ringkas tetapi berjaya pula membuatkan
orang lain mempercayai bahawa Pak Belalang mempunyai kebolehan yang luar biasa.
Begitu juga semasa peristiwa Pak Belalang sudah mati akal untuk menjawab
teka-teki terakhir semasa cabaran yang dihadapinya untuk membela maruah raja.
Pak Belalang tidak menyangka soalan tersebut dan tidak tahu bagaimana hendak
menjawabnya. Ikhtiar Pak Belalang Pak Belalang ialah dengan menyeru nama
anaknya Belalang. Namun terjadi kebetulan yang baik pula apabila ternyata apa
yang ada di dalam genggaman nakhoda kapal itu ialah belalang.
Pengajaran yang boleh didapati
melalui cerita ini ialah kepintaran patut juga disertakan dengan usaha. Sekiranya
manusia malas berusaha walau sedikitpun, tidak aka nada hasil yang positif. Selain
itu juga pengarang cuba menyelitkan unsur nasihat kepada masyarakat supaya jangan mudah percaya kepada ramalan dan
nujum kerana kebanyakan ramalan ahli nujum itu tidak benar malah banyak
mengandungi unsur tipu helah dan muslihat yang akan membawa padah yang buruk.
Hal ini menunjukkan sindiran kepada masyarakat Melayu yang ada sesetengahnya
begitu taksub dengan kepercayaan karut untuk mencapai sesuatu kejayaan. Kejayaan
tanpa usaha adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
e.
Pak Kaduk ; Sindiran terhadap raja.
“Hai Pak Kaduk , mari
kita bertukar ayam! Ambillah ayam beta ini, elok , cuba lihat romannya jalak
putih mata , dan ayam Pak Kaduk Biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya”.
Setelah didengar oleh Pak Kaduk akan titah baginda menggula dirinya itu ,
percayala ia. Maka sembahnya. “ Ampun tuanku , beribu-ribu ampun! Jikalau sudah
titah Duli Yang Maha Mulia , relalah patik , seperti titah itu sedia terjunjung
diatas jemala ubun-ubun patik”. Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan
ayam masing-masing.
(Cerita
Jenaka Melayu 2007 : 46)
Kisah
Pak Kaduk merupakan kisah yang menggambarkan Pak Kaduk yang begitu mempercayai
raja yang dianggap tinggi sebagai pemerintah tertinggi. Melalui kisah Pak Kaduk
juga kita melihat nilai-nilai moral dan
pengajaran yang beitu sarat tersirat di dalam cerita ini. Pada keseluruhan
cerita Pak Kaduk digambarkan sebagai seorang rakyat biasa yang bersikap terlalu
jujur, menaruh sepenuh kepercayaan terhadap rajanya dantidak terlintas di hatinya
yang raja hendak menipunya. Tetapi sebaliknya pihak raja pula cuba menggunakan
kedudukan dan pengaruhnya untuk menipu Pak Kaduk dengan mengatakan bahawa ayam
baginda lebih bertuah daripada ayam Pak Kaduk. Kerana permintaan raja itu, Pak
Kaduk telah menukarkan ayam miliknya dengan ayam yang dipilih oleh raja. Di
pengakhiran cerita Pak Kaduk telah kalah dan hilang pertaruhan iaitu kampungnya
sendiri dan terpaksa pulang ke rumah dalam keadaan bertelanjang bulat.
Jika diteliti melalui keseluruhan cerita ini,
sebenarnya cerita ini menyindir golongan feudal yang telah menggunakan kuasa
dan pengaruh untuk kepentingan diri, di samping memberi pengajaran supaya
khalayak sentiasa berhati-hati dan jangan terlalu mudah mempercayai kata-kata
orang walaupun orang yang berpengaruh. Perbuatan raja tersebut amat
bertentangan dengan etika Islam kerana raja telah menipu seorang yang lemah
seperti Pak Kaduk.Nilai moral yang ingin disampaikan melalui kisah ini ialah
agar kita jangan mengamalkan sifat suka berjudi kerana sifat seperti ini akan
membawa akibat yang buruk iaitu membawa kepada papa kedana. Sifat suka berjudi
yang ada pada Pak Kaduk menyebabkan dia telah kehilangan semua harta bendanya.
Pak Kaduk bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi juga mendapat malu kerana
bersorak kesukaan apabila dia melihat ayam sabungnya menang tetapi ia lupa
bahawa ia telah kehilangan semuanya kerana telah menukarkan ayam miliknya
dengan ayam yang dimiliki oleh raja. Justeru itu , melalui cerita ini dapatlah
dijadikan panduan dan pengajaran kepada khalayak supaya tidak mengamalkan sifat
suka berjudi kerana bakal memudaratkan diri dan juga orang lain. Malahan sikap
suka berjudi juga tidak membawa keuntungan sebaliknya membawa kepada kemusnahan
dan akan menjadi papa kedana. Tambahan lagi hukum berjudi adalah haram dan
dilarang dalam etika Islam.
7.0 PENUTUP.
Secara
keseluruhannya cerita jenaka Melayu sebenarnya hanyalah merupakan sebahagian
daripada tajuk kecil yang terkandung di dalam Kesusasteraan Melayu Lama dan
tidaklah begitu diambil perhatian oleh masyarakat .Naskhah Cerita Jenaka Melayu
bukan sahaja digunakan sebagai alat hiburan semata-mata , tetapi juga sebagai
alternatif untuk menyampaikan sesuatu maksud tersirat melalui cara yang halus. Dalam
konteks pendidikan, pelajar tidak berkesempatan mengenali dan memahami cerita
jenaka dengan lebih mendalam lagi kerana pengajaran kesusasteraan Melayu
semakin terhad di sekolah. Cerita jenaka ternyata mampu untuk membuka minda pelajar supaya
menganalisis maksud tersirat disebalik sesuatu cerita. Di sekolah sesetengah
guru sahaja yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam memastikan
pelajarnya mengkaji dengan lebih mendalam dan memahami secara kritis mengenai
cerita jenaka Melayu. Walaupun cerita jenaka hanya merupakan sebahagian tajuk
kecil sahaja tetapi ada banyak hal atau aspek atau perkara yang boleh
diperlihatkan kepada pelajar seperti unsur-unsur sosiologi dan moral. Pelajar
tidak akan tahu bahawa banyak hal atau perkara atau aspek yang terkandung di
dalam cerita jenaka ini jika tidak dikupas.
Peranan
sebagai guru seharusnya dapat ‘membuka mata’ pelajar untuk melatih mereka
berfikir secara kritis dan kreatif mengenai unsur-unsur yang terkandung di
dalam cerita tersebut.Cerita-cerita jenaka Melayu bukanlah semata-mata bahan
hiburan untuk bergelak ketawa dan penuh dengan kisah dongeng dan khayal.yang
menggunakan daya imaginasi yang tinggi Jika ditinjau dari segi kebudayaan dan kemasyarakatan,
jelas bahawa cerita-cerita ini dapat digunakan untuk mencari beberapa jawapan
yang dapat menjelaskan budaya sesuatu masyarakat itu di samping menerapkan
unsur-unsur atau nilai-nilai moral dan pengajaran.Unsur-unsur didaktif yang
terkandung di sebalik kelucuan cerita itu dapat menuntun dan menyedarkan mereka
yang lalai serta memberikan pengajaran secara spontan kepada yang membacanya
khususnya para pelajar.
Disebalik
kelucuan yangdisampaikan atau diceritakan itu tersirat unsur-unsur moral dan
nasihat untuk dijadikan sebagai panduan hidup dan membawa mesej kritikan sosial
yang ditujukan kepada golongan tertentu. Melalui sifat watak-wataknya kita
dapati bahawa ianya memberikan satu bentuk pengajaran dan tauladan kepada para
pelajar, dengan meneliti sifat-sifat bodoh wataknya, seorang guru dapat membuat
kesimpulan bahawa sikap kebodohan yang ditonjolkan itu boleh dijadikan contoh
tauladan agar para pelajar tidak mengamalkannya.Analisis cerita jenaka Melayu
dengan menggunakan pendekatan sosiologi pula dapat membantu para pelajar melihat
cerita-cerita ini sebagai hasil budaya yang dapat memberi pengetahuan mengenai
budaya dan masyarakatnya. Tambahan lagi melalui kisah-kisah seperti ini juga
dapat memperlihatkan corak pemikiran pengarangnya dan juga masyarakatnya
melalui tindak tanduk watak-watak dalam cerita, latar, pandangan dan cita-cita
watak mengenai kejayaan dan kegagalan serta corak masyarakat yang tergambar
dalam cerita-cerita tersebut. Manakala pendekatan moral atau pengajaran berguna
dalam mendidik para pelajar secara tidak langsung di sebalik kelucuan
cerita-cerita tersebut kerana tanpa disedari, cerita jenaka dapat memberi
nasihat dan moral kepada para pelajar dan memberi pengetahuan kepada para
pelajar untuk berfikir secara kritis.dan tidak bersifat satu hala sahaja.
BIBLIOGRAFI.
Abdul
Halim Ali (2011) Pengantar Teori Dan
Kritikan Sastera. Selangor : Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
Amin
Sweeney (2005) Karya lengkap Abdullah bin
Abdul Kadir Munsyi .Jakarta:
Kepustakaan Populer Gramedia.
Hamzah
Hamdani Dan Siti Aisah Murad (Penyelenggara). (2004) Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ismail
Yusof (2008) Kesusasteraan Melayu Lama
Dan Baru : Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Mohd Taib Osman
(2007) Cerita Jenaka Melayu. Kuala
Lumpur . Yayasan Karyawan.
Mustafa
Mohd Isa (1999) Kajian Teks Melayu Klasik
Terpilih. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Siti
Hawa Haji Salleh (2009) Kelopak Pemikiran
Sastera Melayu. Bangi Selangor : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zahrah
Ibrahim (1986) Sastera Sejarah
Interpretasi Dan Penilaian. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia.
1 comment:
boleh tak saya copy article ni untuk tugasan saya? tq
Post a Comment