FALSAFAH
DAN AMALAN PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU
Abstrak
Amalan perubatan tradisional Melayu merupakan warisan turun
temurun dari zaman nenek moyang dahulu lagi. Amalan perubatan ini ternyata
masih lagi meresapi budaya masyarakat kini. Kepercayaan kepada amalan magis
adalah sebahagian falsafah daripada budaya masyarakat tradisional Melayu.
Tujuan kajian ini adalah untuk melihat kaedah dan alat yang digunakan oleh
pengamal perubatan dahulu di samping turut membandingkan amalan perubatan tradisional
masyarakat dahulu dengan masyarakat kini.
Dalam teks ini terkandung lima buah cerita iaitu Cerita Seri Rama, Cerita Malim
Dewa, Cerita Malim Deman, Cerita Anggun Cik Tunggal dan Cerita Raja Muda. Dalam
kesemua cerita lipur lara ini masing-masing mengamalkan amalan perubatan
tradisional sama ada dalam bentuk jampi, mantera ataupun menilik. Reka bentuk kajian ini adalah berbentuk
Etnografi iaitu pemerhatian terhadap budaya amalan perubatan tradisional dalam
kalangan masyarakat Melayu. Kajian ini juga berbentuk kajian kepustakaan iaitu
merujuk kepada bahan-bahan ilmiah seperti buku, jurnal dan artikel. Hasil
kajian ini menunjukkan dalam setiap cerita masih lagi mengamalkan unsur magis
bagi merawat pelbagai jenis penyakit.
1.0
Pengenalan
Menurut
Hashim Hj. Musa (1994), falsafah secara ringkas ditakrifkan sebagai satu
penyiasatan dan penyelidikan secara renungan dan penghujahan tentang sumber dan
sifat pengetahuan manusia secara keseluruhannya berdasarkan penelitian dan
pengkajian terhadap data-data yang diambil daripada semua aspek alam semesta. Dari sudut lain pula falsafah juga dapat
diertikan sebagai satu penyelidikan terhadap sumber dan sifat pengetahuan
manusia. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perubatan ditakrifkan
sebagai perihal berubat yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati seperti
ilmu, jabatan dan pakar yang melibatkan perubatan. Dengan kata
lain, perubatan ialah segala usaha yang dilakukan untuk menghalang dan menyembuhkan penyakit.
Jika
dilihat falsafah dan amalan perubatan tradisional sememangnya tidak asing lagi
dalam kehidupan manusia. Pegangan dan kepercayaan terhadap amalan perubatan
telah menjadikan ilmu perubatan sentiasa hidup dalam diri masyarakat sendiri. Perubatan
tradisional Melayu merupakan perubatan Melayu yang telah diamalkan oleh para bomoh
sejak beberapa abad dahulu. Biasanya pengamal perubatan tradisional Melayu
banyak bergantung pada pengetahuan dan ingatan yang diwarisi daripada tok guru
mereka secara turun temurun. Selain itu, ada juga yang menyatakan mereka
mendapat ilmu tentang perubatan dan rawatan melalui mimpi atau ilham. Jelas di
sini ilmu perubatan itu diperoleh melalui pelbagai cara.
Orang
Melayu pada zaman dahulu berfahaman animisme. Mereka lebih percaya kepada kuasa
lain dan menyembah busut, pokok, sungai dan sebagainya. Setelah kedatangan
orang India di kepulauan Melayu, maka merebaknya amalan agama Hindu dalam
kalangan orang Melayu. Tradisi animisme ditambah dengan kepercayaan Hindu telah
membawa orang Melayu untuk mempercayai makhluk ghaib atau makhluk halus seperti
jembalang, hantu, puaka, jin, mambang, dewa dewi sebagai kuasa yang boleh
memulihkan atau merawat penyakit. Setelah kedatangan agama Islam di alam Melayu
600 tahun yang lalu, amalan seperti mempercayai kepada kuasa busut, ancak,
semah, dan sebagainya semakin hari semakin pupus. (Md Ali Bin Bachik (1996:
158).
Pada
zaman penjajahan British, amalan perubatan Barat sangat terkenal sehingga
amalan perubatan tradisional Melayu dilupai, terutamanya oleh golongan
bangsawan dan para cendekiawan. Oleh hal demikian, masyarakat Melayu lebih
cenderung mempercayai perubatan barat yang dibawa oleh penjajah. Hal ini kerana
kajian yang dijalankan oleh Barat dalam merawat sesuatu penyakit adalah lebih
kepada saintifik. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini perubatan Melayu
tradisional kian mendapat tempat di hati masyarakat Melayu kerana ia dikatakan
lebih berkesan dan terhindar daripada bahan kimia yang boleh memudaratkan
penyakit. Selain itu, tidak semua penyakit dapat diubati oleh doktor di
hospital jadi ada penyakit-penyakit yang masih memerlukan dukun, bomoh atau
pawang untuk mengubatinya. Contohnya penyakit seperti santau, tersampuk,
terkena buatan orang, sihir/ilmu hitam/busung, terkena badi, saka dan penyakit lain
memerlukan rawatan tradisional untuk merawatnya.
Oleh
demikian kajian mengenai falsafah dan amalan perubatan ini mendapat perhatian
oleh pengkaji. Pengkaji telah memilih teks Cerita Lipur Lara untuk dijadikan
bahan kajian bagi melihat dan meninjau amalan perubatan yang digunakan oleh
masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Cerita lipur lara terkenal dalam kalangan
masyarakat Melayu kerana cerita-cerita ini mempunyai keunikan yang tersendiri.
Cerita Lipur Lara ini sebenarnya berkisarkan kehidupan masyarakat yang terdiri
dalam golongan istana dan rakyat-rakyat sebagai pengikut. Anak raja biasanya
akan mengembara untuk mencari pasangannya. Dalam pengembaraan itu akan berlaku
pelbagai halangan dan rintangan. Watak-watak yang terdapat di dalam Cerita
Lipur Lara ini dikatakan mempunyai kesaktian dan kegagahan tersendiri untuk
mengatasi segala cabaran yang dilalui. Jelas di sini Cerita Lipur Lara
sememangnya menceritakan kehidupan masyarakat dahulu yang digambarkan dengan
unsur keindahan, kemewahan, percintaan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang
luar biasa “supernatural”.
2.0
Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk :
1.
Mengetahui
perkaitan falsafah dengan amalan perubatan tradisional melayu.
2.
Melihat
kaedah rawatan yang digunakan cerita lipur lara.
3.
Mengenal
pasti alat-alat perubatan yang digunakan dalam cerita lipur lara.
4.
Menilai
perbezaan amalan perubatan melayu tradisional dalam kalangan masyarakat dahulu (cerita lipur lara) dengan masyarakat
kini.
3.0
Persoalan kajian
Kajian ini dijalankan untuk menjawab beberapa soalan
kajian seperti berikut:
1.
Sejauh
manakah falsafah dan amalan perubatan berhubungan antara satu sama lain?
2.
Bagaimanakah
kaedah rawatan yang digunakan dalam teks yang dikaji?
3.
Apakah
fungsi alat perubatan yang digunakan
dalam cerita lipur lara?
4.
Apakah
yang membezakan perubatan melayu tradisional dahulu dengan perubatan
tradisional kini?
4.0
Kepentingan Kajian
Amalan perubatan sering kali disanggah kerana menyalahi
hukum agama. Namun tidak semua daripada amalan perubatan tradisional ini
dikatakan menyekutu Tuhan yang satu.
Kajian ini akan menjelaskan terdapat perkara yang boleh diamalkan oleh
masyarakat dan perkara yang perlu dielakkan apabila melibatkan penggunaan
perubatan tradisonal. Dengan ini minda khalayak pembaca terhadap amalan
perubatan tradisional akan lebih bersifat terbuka. Selain itu, kajian ini juga
penting untuk pengetahuan generasi kita yang akan datang. Arus permodenan masa
kini menyebabkan ramai di antara kita mengangap perubatan tradisional tidak
lagi penting kerana kemudahan teknologi kini membolehkan pelbagai penyakit
boleh diubati dengan cara perubatan moden. Oleh itu, Kajian ini akan
menjelaskan persepsi masyarakat bahawa perubatan tradisional sebenarnya lebih
berkesan dan efektif. Secara tidak langsung hasil kajian ini membolehkan kita
meninjau perbezaan perubatan tradisional dahulu dengan perubatan yang ada sekarang.
5.0
Metodologi Kajian
Metodologi
kajian adalah merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan
penyelidikan dan menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalahan
kajian. Oleh itu, kaedah yang sesuai untuk kajian ini ialah kaedah kualitatif
berbentuk kajian etnografi. iaitu kajian terhadap kumpulan yang berkongsikan
sesuatu budaya yang berkait rapat dengan amalan perubatan tradisional. Instrumen kaedah kualitatif ini berbentuk
pemerhatian. Dalam kaedah kajian ini, pengakaji menjalankan kajian berbentuk
kepustakaan iaitu merujuk kepada buku-buku yang berkaitan dengan tajuk kajian.
6.0 Dapatan Kajian
6.1 Perkaitan falsafah dengan amalan
perubatan tradisional melayu
Umumnya
falsafah perubatan dapat dibahagikan kepada dua iaitu kesihatan dan penyakit.
Kedua-dua ini saling berhubungan dan melengkapi antara satu sama lain. Menurut
Haliza Mohd. Riji (2000: 74), Falsafah bidang kesihatan menekankan “ Pencegahan
lebih utama daripada mengubati penyakit” manakala falsafah dari segi penyakit
pula menyatakan “bagi setiap penyakit ada ubatnya”. Dalam perubatan tradisional
Melayu falsafah asas yang digunakan ialah penjagaan kesihatan. Hal ini selari
dengan konsep perubatan dan rawatan Islam. Oleh itu setiap orang digalakkan
mempelajari dan mempunyai pengetahuan mengenai cara mengamalkan kesihatan yang
baik. Kesihatan tubuh badan yang baik lahir dari fizikal dan mental yang
cergas. Senaman di awal pagi merupakan amalan boleh diikuti atau dicontohi oleh
masyarakat bagi menggerakkan sebahagian anggota badan selepas bangun dari
tidur. Selain itu, falsafah kesihatan juga turut mementingkan amalan petua yang
diamalkan sejak zaman berzaman. Terdapat dua jenis pertua iaitu petua suruhan dan
tegahan. Petua suruhan ini bertujuan bagi mengelakkan sesuatu penyakit itu
dihadapi oleh seseorang. Contohnya bagi penyakit demam campak biasanya penyakit
ini mudah merebak dan berjangkit. Bagi anggota keluarga yang belum terkena
demam campak eloklah meminum air pencuci beras. Sebelum diminum hendaklah
membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali. Tegahan adalah cara yang digunakan untuk
merawat penyakit. Contohnya bagi penyakit angin mereka dihindari untuk memakan
makanan yang sejuk, berangin dan menjalar seperti nangka, kentang, kacang tanah
dan lain-lain lagi.
Manakala
jika dilihat falsafah kedua ini ia menggambarkan bahawa manusia tidak harus berputus asa daripada
mencuba pelbagai rawatan dan perlu berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Kadang
kala perasaan kecewa sering timbul dalam diri pesakit kerana pelbagai rawatan
telah dicuba namun keadaan pesakit masih pada tahap yang sama. Sebenarnya
pesakit belum menemui keserasian dengan ubat yang digunakan oleh pengamal
perubatan tradisional ini. Kuasa kesembuhan sememangnya terletak pada kuasa
Allah S.W.T. Namun penyakit tidak akan sembuh serta-merta tanpa ada pengantara
dalam perubatan. Pesakit juga harus sedar dan berpegang kepada pegangan Islam
iaitu penyakit yang beransur pulih bukan disebabkan oleh jampi yang digunakan
oleh bomoh tapi atas kekuasaan Allah S.W.T. Dalam cerita lipur lara falsafah
kesihatan dapat dilihat melalui cerita-cerita yang ditulis dalam cerita Seri
Rama, dan cerita Anggun Cik Tunggal.
Dalam
cerita Anggun Cik Tunggal ada diceritakan mengenai Tuan Puteri Lindungan Bulan
dan Tuan Puteri Gondan Genta Sari yang menangis siang dan malam tanpa beradu
dan makan laksana seperti orang gila kerana mengenangkan Tuan Puteri Gondariah
yang telah bertukar menjadi ungka putih. Mereka menyerah nasib dan tidak mampu
berbuat apa-apa. Dalam cerita ini menggambarkan masyarakat yang mudah berputus
asa sehingga mengabaikan kesihatan diri sendiri.
Selain
itu terdapat juga falsafah lain yang berkait dengan amalan perubatan iaitu
falsafah kehidupan. Menurut Haliza Mohd Riji (2000:57), Falsafah kehidupan
merangkumi kepercayaan kepada pencipta dan ciptaan-Nya, kejadian manusia dan
peranan mereka di muka bumi ini. Kehidupan bagi pengamal perubatan Melayu ialah
kehidupan di dunia dan hubungannya dengan kehidupan di alam akhirat. Dalam hal
ini bomoh menjelaskan beberapa kepercayaan dan keyakinan utama yang menjadi
teras pegangan orang-orang beriman. Semua yang ada di muka bumi ini adalah hak
milik pencipta. Begitu juga dengan amalan perubatan semuanya mesti berpegang
kepada falsafah Allah berkuasa atas setiap kejadian. Setiap ilmu yang diperoleh
manusia merupakan ilham dari Allah. Begitu juga ilmu mengenai kegunaan tumbuhan
sebagai bahan ubat-ubatan. Tanpa ilmu daripada Allah manusia tidak akan tahu
tumbuhan mana satu yang boleh dijadikan ubat. Jelaslah di sini amalan perubatan
bomoh, pawang, dukun mestilah berpegang prinsip Tuhan yang mencipta dan Dialah
yang menyembuhkannya.
6.2 Mengenal pasti kaedah
perubatan yang digunakan dalam cerita lipur lara.
6.2.1 Mantera
Mantera merupakan susunan kata-kata puitis, mempunyai
makna tertentu untuk maksud atau tujuan yang tertentu ( Md. Ali bin Bachik
1996: 158). Mantera merangkumi jampi, serapah, penawar, tangkal dan sebagainya.
Mantera dilafazkan dengan kata-kata magis yang membawa pengertian dan maksud
tertentu sebagai alat untuk berkomunikasi dengan makhluk ghaib. Berdasarkan
penelitian yang dibuat terhadap cerita lipur lara ini, terdapat unsur penggunaan mantera atau jampi dalam beberapa
buah cerita. Contoh penggunaan mantera dalam Cerita Lipur Lara adalah seperti berikut:
“
Maka Kera kecik pun membakar cendana, gaharu, kemeyan barus dan diusapkan air
mawar serta dipercikan kepada sekalian orang yang mati itu pun kembali hidup
semuanya”.
(Cerita Seri Rama:60)
Petikan di atas merupakan cara jampi yang digunakan oleh
Kera kecik untuk menghidupkan rakyatnya
yang sudah mati kembali seperti sedia kala. Jika dilihat sukar untuk kita
percaya bahawa mereka yang mati boleh hidup semula namun masyarakat dahulu
dipenuhi dengan ilmu kesaktian
sehinggakan sesuatu yang mustahil menjadi seperti yang diinginkan.
“Maka ia pun lalu
masuk ke dalam suatu bilik yang sunyi, membuka peti kecil kesaktian, mengambil
tungkul gaharu cendana janggi, dengan sebatang dian besar ibu kaki, panjang
sejengkal jari manis, lalu bertudung dengan kain kuning, bertiang tunggal
menghadapi dian itu, dengan beberapa mentera ilmu hikmat yang dibacanya,
sehingga sampailah hulu dinihari besar baharulah sudah”.
( Cerita Malim Dewa: 125)
“Maharaja Pertukal,
segeralah menyambut ubat itu, lalu dijampi dimenterai dengan beberapa ilmu
hikmat petawar bisanya itu, maka Sultan Baginda Raja Bujang disuruh membakar
kemeyan mendung jati, disemburkan kepada tubuh adinda baginda serta dipercikan
dengan tepung tawar dan ditabur bertih dan kunyit, maka tuan puteri Andam Dewi
pun bangunlah seperti sedia kala”
(Cerita Malim Dewa:130-131)
“ Maka ia pun
lalulah membaca mentera ilmu syairnya, panah Rajuna namanya, menuju Tunku
Gombang Malim Dewa itu, maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala panah itu
pun kena kepada baginda, maka Tuanku Malim Dewa
lalulah mangkat di atas ribaan isterinya”.
(Cerita Malim
Dewa: 155)
Petikan di atas menerangkan unsur mantera yang telah
digunakan di dalam teks Cerita Malim Dewa untuk mengubati penyakit Puteri Andam
Dewi yang pengsan akibat dituju tilik makrifat oleh Maharaja Pertukal. Tiada
tabib atau bomoh lain yang boleh mengubati Tuan Puteri melainkan tuan yang
mengantar tuju tilik makrifat itu sendiri.
“ Maka kemeyan itu pun dibakarnya serta
diasapkan kepada lidi itu, Raja Tunggal pun segera bersawab, Ya Ilahi, Ya
Rabbi, Ya Saidi, Ya Maulai, Ya Tuhanku, jikalau sah aku anak raja yang
turun-temurun, ayahku turus negeri payung sekaki di kayangan, dan bondaku pasak
negeri Tiku Pariaman ini, barang aku cita yang menjadi, barang yang aku pinta
diperolehnya, hiduplah Tuan Puteri Gandariah ini pulang pulih rupanya sedia
kala”
(Cerita
Anggun Cik Tunggal:388)
Mantera dalam petikan di atas digunakan bagi tujuan
mengubati Tuan Puteri Gandariah yang telah menjadi Ungka Putih. Diceritakan
setelah bacaan mantera ini, dengan takdir Allah subhanahuwa Ta’ala bangkai
Ungka Putih pun hilang dan menjelma kembali menjadi Tuan Puteri Gondan
Gandariah serta pulih seperti sifatnya sedia kala.
“ Maka bidan yang ketujuh dan tabib,bomoh dan
dukun pun turunlah ke tanah di bawah istana, membawa bertih beras kunyit,
tepung tawar, maka lalulah dijampi oleh tuk bidan tujuh dan tabib, bomoh dan
dukun itu, membuangkan jemalangnya, lalulah segera ditaburkan bertih, beras
kunyit dan dipercikkan air tepung tawar kepada putera baginda itu, maka barulah
ia membuka matanya lalu menangis”
(Cerita
Raja Muda:400)
Dalam cerita Raja Muda ini, khidmat bomoh, tabib dan
dukun diperlukan untuk menjampi raja muda yang baru lahir. Tuan Puteri Nur Lela
mengalami kesulitan ketika bersalinkan raja muda kerana kelahiran raja muda
tidak seperti bayi lain. Setelah lahirnya raja muda, Tuan Puteri Nur Lela pun
mangkat. Peranan dukun, bomoh dan tabib ini telah dapat menyelamatkan bayi
kandungan Puteri Nur Lela.
6.2.2 Menilik
Menilik merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam
perubatan tradisional. Menilik di sini membawa maksud mencari punca penyakit
yang sebenarnya. Sesetengah bomoh atau dukun menggunakan kemenyan untuk menilik
penyakit. Menilik ini turut dikatakan sebagai ramalan oleh bomoh terhadap
sesuatu penyakit atau perkara yang berlaku yang melibatkan diri pesakit. Hukum
menilik dalam Islam adalah haram dan berdoasa kerana ianya berbentuk khurafat
atau syirik. Syirik atau khurafat di sini bermaksud seseorang itu boleh meramal
perkara yang telah berlaku atau akan berlaku sedangkan sesuatu perkara itu
hanya Allah yang mengetahui dan menetukannya. Dalam Al-Quran juga turut
menjelaskan hukum menilik ini iaitu seperti di bawah:
“Firman
Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90, yang bermaksud, "Wahai
orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan
berhala, dan MENILIK NASIB dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya)
kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu menjadi orang-orang yang berjaya."
Kebiasaannya,
mereka yang pergi menilik nasib adalah mereka yang merasa hina dan kecewa, yang
hilang motivasi dan pengharapannya kepada Allah S.W.T. Sebelum pergi menilik
nasib secara tidak langsungnya mereka sudah pun meletakkan pengharapan,
pergantungan, dan kepercayaan kepada rahsia yang bakal diketahuinya yang
diyakini akan mengubah hidup mereka. Dalam Cerita Lipur Lara ini terdapat
unsur-unsur perubatan tradisional yang menggunakan unsur menilik ini. Contoh
kaedah menilik yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara ialah seperti berikut:
“Setelah sudah, dipulih itu, ditabur beras
kunyit maka diasap dengan kemeyan, sudah itu ia pun menarik tudung, maka
bertiliklah ia dengan memeluk tubuhnya serta berdiam dirinya berapa-rapa
lamanya, daripada petang sampailah pada waktu dinihari maka barulah membuka
tudungnya”
( Cerita Seri Rama: 7)
Petikan
teks Cerita Seri Rama turut menggunakan kaedah menilik atau dikenali sebagai
tilik nasib. Contohnya Raja Seri Rama telah
meminta abangnya iaitu Raja Laksamana untuk menilik nasibnya mengapa dia tidak
dikurniakan anak dan bagaimanakah cara untuk dia mendapatkan anak. Setelah
ditilik, Raja Laksamana memberitahu bahawa adiknya akan beroleh anak sekiranya
memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan itu.
“jika jarum patah pun tuan hamba
ketahui, apatah hal cucu hamba seorang, tiada dapat tahu…”
“ Maka apa hamba katakan kepada
kera kecik itu, tiada juga dipakainya lalu diterkamnya hamba, maka pengsanlah
ia, jatuh ke negeri Bandar Tahwil, iaitu rajanya bernama Syah Kobad pada ketika
ini, adalah ia tengah dipermain oleh Tuan Puteri Renek Jintan”.
( Cerita Seri Rama: 34)
Petikan
di atas merupakan perbualan oleh Raja Syah Numan dengan Matahari. Raja Syah
Numan bertanyakan kepada matahari tentang keberadaan cucunya Kera Kecik.
Berdasarkan ramalan Matahari, kera kecik telah jatuh di negeri Bandar Tahwil
dan Kera kecik sedang dijadikan mainan oleh seorang puteri.
“Maka sembah seorang tabib yang tua sekali,
ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harapkan diampun, maka adapun
gering paduka adinda ini kepada pandangan petua patik, terlalu amat sangatlah,
kerana kedatangan bencana ini daripada Maharaja Pertukal
(Cerita Malim Dewa: 126)
Dalam
petikan teks Malim Dewa ini ada diceritakan ilmu menilik yang digunakan oleh
tabib untuk mengetahui punca sebenar penyakit yang dihadapi oleh tuan puteri.
Berdasarkan ramalan tabib tersebut penyakit tuan puteri adalah disebabkan oleh
hasad dengki Maharaja Pertukal yang tidak dapat memiliki tuan Puteri Andam
Dewi. Dengan adanya ramalan daripada tabib maka dapatlah diketahui punca
sebenar penyakit Puteri Andam Dewi yang telah pengsan dan tidak sedarkan diri
seperti orang mati.
“Maka Raja Laksamana pun kembali lah ke
istana menyuruh juak-juak panglimanya menangkap nakhoda Bahar, hendak dihalusi
periksa kepada ahli nujum akan perkhabaran mangkat anakanda baginda…”
( Cerita Anggun Cik Tunggal: 348)
“Maka adalah hal paduka anakanda sudah
menjadi ungka putih itu, kepada fikiran patik silakanlah tuanku panggil ahli
nujum minta lihatkan paduka Raja Tunggal Junjungan itu, sudahkah ia mangkat
ataupun tidak…”
(Cerita Anggun Cik Tunggal: 348)
“Maka ia pun lalulah menyembah, dan segera
membuka ramalnya dan membilang angka abjad… lidah patik berkata menyembahkan ke
bawah duli tuanku ini, adapun di dalam ramal patik ini tuanku, sebab pun paduka
anakanda beralih rupa menjadi ungka putih itu kerana mungkir perjanjian dengan
anakanda Raja Tunggal Junjungan”.
(Cerita Anggun Cik Tunggal: 349)
Petikan
teks Cerita Anggun Cik Tunggal di atas turut menggunakan unsur tilik ini. Petikan
di atas menerangkan Raja Laksamana telah menitahkan orang suruhannya menangkap
nakhoda Bahar. Ahli nujum diperintahkan untuk menilik sama ada kata-kata
nakhoda Bahar benar atau pun dusta. Di samping itu, ahli nujum juga
diperintahkan untuk menilik sama ada Raja Tunggal Junjungan masih hidup lagi
atau pun tidak. Jelas di sini peranan ahli nujum tersebut adalah ditugaskan untuk meramal perkara yang telah berlaku.
6.2.3 Doa
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan doa sebagai
permohoan atau permintaan kepada tuhan. Menurut Azharuddin Sahil (2002), doa
merupakan pembuka pintu terhadap semua rahmat Allah. Banyak hadith yang
menyatakan doa itu adalah pintu rahmat. Manakala menurut Haliza Mohd. Riji
(2000), Doa terdiri daripada perkataan-perkataan yang diambil daripada
Al-Quran, hadis dan ungkapan orang dahulu kala. Terdapat sesetengah masyarakat
yang mengangap doa dan jampi merupakan perkara yang hampir sama iaitu meminta
untuk menyembuhkan penyakit. Namun terdapat perbezaan diantara dua konsep ini.
Jampi merupakan perkara yang melibatkan perkataan yang bertujuan menggerakkan
hakikat sesuatu manakala doa pula berupa permohonan kepada Allah agar perubatan
yang dijalankan mendapat rahmat. Dalam konteks yang lain, doa bukan sahaja
memberi maksud permohonan seseorang dari tuhannya tetapi boleh diertikan
sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hikmat jampi atau doa
bukan sahaja digunakan untuk tujuan perubatan sahaja tetapi lebih mustajab dan
lebih mendatangkan kesan dalam diri seseorang apabila sesuatu yang dihajati itu
benar-benar ikhlas. Dalam cerita lipur lara ini turut diceritakan penggunaan
doa oleh masyarakat yang terdiri daripada golongan istana. Antara jenis doa
yang digunakan dalam cerita lipur lara ialah:
“ Baginda kedua
laki isteri menyiramkan anakanda kedua laki isteri dengan air tolak bala dan
doa selamat”
(Cerita Malim Deman:220)
“ Hatta setelah
sudah bertangis-tangisan itu, maka Raja Anggun Cik Tunggal pun bertitah membuat
kenduri arwah doa selamat dan tolak bala”.
(Cerita Anggun Cik Tunggal: 340)
“Maka tuk bidan tua
pun tampilah mencucur air dengan beberapa jampi doanya”
(
Cerita Raja Muda: 402)
Dalam Cerita Malim Deman ada diceritakan mengenai air
tolak bala. Air yang dibacakan doa tolak bala turut dipanggil air penawar oleh
masyarakat. Air tolak bala biasanya digunakan bagi tujuan untuk menghindari
perkara-perkara yang tidak diingini berlaku sama ada dari segi penyakit ataupun
musibah. Namun manusia hanya berusaha sahaja untuk menolak bala tetapi tidak
boleh menyakini air tersebut boleh menolak bala. Hal ini kerana yang mampu
menolak bala ialah Allah S.W.T sahaja. Sekiranya seseorang itu menyakini bahawa
air tersebut boleh menolak bala maka ia akan membawa kepada amalan syirik. Doa
ini sebenarnya berkait rapat dengan falsafah perubatan tradisional melayu yang
telah diceritakan di atas tadi iaitu walaupun pesakit telah menggunakan pawang
dalam merawat penyakit yang dihadapi tetapi pesakit sendiri harus berdoa kepada Allah S.W.T untuk memohon agar sakit
yang dihadapi pulih seperti sedia kala. Hal ini kerana pawang adalah orang
tengah yang bertujuan mengubati pesakit iaitu dengan izin Allah s.w.t maka
penyakit yang dihadapi oleh pesakit pun akan pulih.
6.3 Mengenal pasti alat-alat perubatan yang
digunakan dalam cerita lipur lara
Alat sememangnya merupakan tunjang utama bagi seorang
dukun, bomoh, pawang dan tabib untuk digunakan dalam upacara perubatan. Kebanyakan
perubatan yang diamalkan menggunakan
bahan-bahan yang diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan dan herba. Namun demikian,
tidak semua pawang atau dukun yang menggunakan herba sepenuhnya dalam rawatan
tradisional ini. Terdapat beberapa
alat yang digunakan oleh bomoh dalam cerita lipur lara bagi merawat penyakit. Contoh alat yang
digunakan ialah:
“Maka diasaplah kemenyan barus, disiramkan ke
peterana dipulihkan, setelah sudah dipulih paterana itu dengan tepung tawar,
baharulah ditegakkan dian, ditabur bertih beras kunyit”.
( Cerita Seri Rama: 7)
“Maka berkatalah
Raja Laksamana, hai mak inang tua, siapkan hamba:pertama, tikar pacar sehelai, permaidani sehelai,
paterana satu, dian sebatang, tepung tawar satu, bertih, beras kunyit”
( Cerita Seri Rama: 18)
“ Maka raja
laksamana pun diambilkan kain putih panjang delapan hasta, ditarik
dibuatnya tudungnya, ia pun bertiliklah”
( Cerita Seri Rama:
19)
“ Ayuhai Si Kembang Cina, ambillah beta kemenyan mandung
jati ”.
(
Cerita Malim Dewa: 89)
“Maka ia pun
mengambil tungkul
gaharu cendana janggi, dengan sebatang dian besar ibu kaki, panjang
sejengkal jari manis, lalu bertudung dengan kain kuning...”
( Cerita Malim Dewa: 125)
“ Maka ia pun
segeralah membakar kemenyan mendung jati, disembur kepada tubuh
adinda baginda, serta dipercikkan dengan tepung tawar dan ditabur bertih beras kunyit”.
( Cerita
Malim Dewa: 131)
“ Maka air mawar
pun dicucurkannya kepada jenazah baginda itu, serta dipecut dengan lidi nyiur hijau
itu tujuh kali, maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuanku Gombang
Malim Dewa pun bersin tiga kali berturut-turut”.
( Cerita Malim Dewa:
158)
“Maka bidan tujuh pun mendudukkan putera
baginda di atas nyiur
gading kedua bijinya bersama ayam itu, kemudian barulah dijamu hantu air dan
ditabur bertih,
beras kunyit,
dipercik tepung
tawar lalu disiramkan, maka Putera pun menangis”.
(
Cerita Malim Deman: 226)
“ Maka Tuan Puteri Kaca Bertuang pun segeralah
masuk ke dalam bilik peraduannya, membuka peti kecil benian sakti, mengambil kemenyan mandung
jati, lidi nyiur hijau tujuh batang, maka dibawa keluar lalu
dirampatkannya kepada tubuh Raja Tunggal Jungjungan”.
( Cerita Anggun Cik Tunggal: 374)
“ Maka tuk bidan
yang tua pun lalu merambas dengan kain tujuh warna:pertama kain putih, kedua kain hitam,
ketiga kain
kuning, keempat kain biru, kelima kain merah, keenam kain ungu,
ketujuh kain
ainulbanat, kain kerajaan, setelah dirambas tuk bidan tua tujuh kali
itu, lalu dibawa putera baginda naik ke istana”
( Cerita Raja Muda: 400)
“ Maka Tuan Puteri
Bidadari Segerba pun segerahlah mengambil air mawar,dicucur kepada tubuh anakanda, maka
dengan seketika itu juga Tuan Puteri Renik Jintan pun hiduplah”.
(
Cerita Lipur Lara: 501)
Dalam Cerita Lipur Lara, alat yang paling ketara
digunakan oleh pawang ialah kemenyan. Kemenyan merupakan sejenis bau-bauan yang
berwarna kehitam-hitaman atau coklat berbelang putih. Kemenyan akan mengeluarkan
bau yang unik apabila dibakar. Bau kemenyan ini amat digemari oleh makhluk
halus. Biasanya kemenyan digunakan oleh pawang untuk berhubung dengan makluk
ghaib. Setelah kemenyan dibakar ia akan diikuti dengan bacaan mentera.
Selain
kemenyan, bertih dan beras kunyit sering digunakan oleh pawang dalam cerita
Lipur Lara ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bertih merujuk kepada padi
yang
digoreng
(direndang)
tanpa
minyak
dan
dibuang
kulitnya.
Manakala beras kunyit pula merupakan beras yang dikuningkan dengan kunyit.
Menurut Aishah Haji Mohamed et.al (2012), bertih beras kunyit secara simbolik
mempunyai semangat, kebesaran, kekuatan dan kuasa. Bertih digunakan dalam
proses mengetahui keupayaan bomoh mengubati pesakit, mengenal pasti jenis dan
penyebab penyakit. Beras kunyit pula mempunyai kualiti yang boleh menawarkan
dan mengimbangkan unsur-unsur lain yang ada dalam alam sejagat termasuklah
tubuh manusia. Dengan menabur beras kunyit (sambil membaca jampi) di sekeliling
pesakit dan bangsal, segala bencana dipercayai boleh dihindari. Kekuatan dan
kebesaran beras kunyit ini boleh dipindahkan ke persekitaran, bomoh dan juga
pesakit. Kekuatan dan kekuasaan unsur-unsur jahat yang ada dalam persekitaran
boleh menjadi lemah apabila terkena beras kunyit yang dijampi.
Penggunaan dian, air mawar dan lidi
nyiur turut dikatakan alat yang penting bagi upacara jampi dalam cerita Lipur
Lara ini. Dian merupakan sejenis pelita daripada lilin yang berbentuk silinder
dan mempunyai sumbu di tengahnya. Air mawar pula merupakan air diambil dari
bunga mawar. Bunga mawar ini adalah bunga yang mengeluarkan bau yang wangi.
Biasanya air bunga mawar dipercikkan kepada pesakit yang pengsan atau tidak
sedarkan diri. Lidi nyiur pula merupakan
lidi yang diambil dari sebatang pokok kelapa yang digunakan dalam perubatan
tradisional ini. Gaharu pula merupakan sejenis kayu harum yang berasal dari
pohon tengkaras. Manakala cendana janggi pula terdiri daripada pokok yang merah
warna kayunya.
6.4 Menilai perbezaan amalan perubatan
melayu tradisional bagi masyarakat
dahulu (cerita lipur lara) dan masyarakat kini.
Amalan perubatan dalam Cerita Lipur Lara banyak
berkisarkan tentang perubatan tradisional yang diamalkan oleh golongan pawang,
tabib, bidan, bomoh dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh pawang lebih
kepada ilmu-ilmu yang berhubung dengan alam ghaib. Berbanding dengan perubatan
hari ini lebih menggunakan ayat-ayat suci al-Quran. Perubatan yang menggunakan
ayat-ayat al-Quran biasanya diamalkan oleh para ustaz. Setiap bacaan dimulai
dengan doa. Pada prinsipnya, amalan perubatan menurut perspektif islam mestilah
didasari dengan sumber dari al-Quran dn al-sunnah. Sekiranya berlaku kontradiksi dengan prinsip
akidah Islam maka amalan tersebut dianggap terkeluar dari landasan Islam.
Kandungan isi jampi dalam perubatan Islam haruslah jelas dan tidak terpesong
dengan perkara-perkara yang menyekutukan kekuasaan Allah.
Namun, terdapat juga segelintir masyarakat kini yang
masih lagi menggunakan khidmat bomoh atau dukun. Jika dibandingkan dengan
pawang atau bomoh masyarakat dahulu dan kini memang terdapat perbezaannya. Dalam
Cerita Lipur Lara pawang terdiri daripada mereka yang mempunyai kesaktian atau
unsur magis sehinggakan mampu mengubati orang yang telah meninggal. Manakala
pawang kini sekadar mengubati penyakit-penyakit yang biasa sahaja. Dalam
kelima-lima buah cerita Lipur lara masing-masing menggunakan kemenyan sebagai
alat utama yang penting dalam mengubati pesakit. Namun hari ini penggunaan kemenyan
tidak digunakan sepenuhnya. Bomoh yang ada kini biasanya menggunakan limau,
telur ayam kampung, sirih pinang, bunga, air kolah masjid dan sebagainya tujuan
perubatan.
Selain itu bomoh yang ada pada hari ini biasanya
mengubati pesakit di rumahnya sendiri. Pesakit sendiri akan datang dan
menyediakan bahan-bahan seperti yang dipinta oleh bomoh. Jampi yang digunakan dalam
cerita Lipur Lara agak berbeza dengan masyarakat hari ini. Dukun atau bomoh digambarkan
mempunyai kuasa luar biasa atau kesaktian. Kesaktian dapat dilihat apabila
angin yang diseru datang dengan kencang. Jika dilihat amalan perubatan
tradisional dahulu mempunyai kelainan sedikit. Amalan perubatan tradisional
melayu hari ini lebih kepada kaedah merawat penyakit secara tradisional.
Maksudnya di sini kaedah rawatan ini adalah berbentuk petua yang boleh diamalkan
oleh sesiapa sahaja. Bahan yang digunakan juga berbeza dengan amalan masyarakat
dalam cerita Lipur Lara. Masyarakat dahulu menggunakan bahan-bahan yang saling
berhubungan dengan alam ghaib. Berbeza dengan masayarakat kini yang menggunakan
bahan-bahan seperti tumbuhan yang mana telah terbukti secara saintifik
khasiat nya mampu merawat pelbagai jenis
penyakit. Contohnya daun dukung anak
dipercayai mampu merawat penyakit pingggang dan batu karang.
7.0
Kesimpulan
Berdasarkan
pemerhatian terhadap teks Cerita Lipur Lara ini, dapatlah disimpulkan bahawa
penggunaan amalan perubatan tradisional telah mempengaruhi amalan hidup
masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Pada pandangan sains moden, amalan dan
rawatan secara tradisional ini masih relevan kerana falsafah nya yang holistik
iaitu merangkumi aspek-aspek kerohanian, fizikal dan mental. Sejak orang Melayu
memeluk Islam, cara perubatan turut berlandaskan Islam. Penggunaan jampi dan
mantera telah diganti dengan “ Bismillah” atau doa-doa dari ayat al-Quran dan
penutupannya disudahi dengan kalimah syahadah. Walaupun demikian masih lagi terdapat
masyarakat yang masih lagi mengamalkan ilmu ghaib ini kerana ilmu yang
diperoleh sudah sebati dalam diri dan telah diwarisi turun-temurun. Dalam perubatan
persoalan hukum haram haruslah menepati hukum syarak. Sekiranya kita percaya
ada kuasa lain yang boleh menyembuhkan penyakit maka kita adalah tergolong
daripada mereka yang percaya kepada perkara syirik. Mereka yang mempercayainya
terdiri daripada mereka yang tidak percaya dengan kuasa Allah S.W.T. Penggunaan
jampi tidak salah asalkan betul caranya iaitu menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menyimpang kepada ajaran Islam. Penelitian yang dibuat
terhadap kelima-lima cerita jelas menunjukkan masyarakat pada zaman dahulu
terlalu kuat pegangan animisme dalam diri. Mereka mengamalkan ilmu kesaktian sehinggakan
mereka yang sudah meninggal boleh dihidupkan semula. Jika di fikir logik
sememangnya perkara itu tidak masuk akal. Selain itu, hasil penelitian terhadap
teks Cerita Lipur Lara ini didapati walaupun terdapat perbezaan perubatan masyarakat
dahulu dengan masyarakat kini tetapi kepercayaan masyarakat dahulu dan kini
masih lagi sama.
Bibliografi:
A.Samad Ahmad (1982). Warisan Perubatan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aishah@Eshah Mohamed,
and Abd Aziz Haji Bidin , (2012) Tumbuhan
dalam upacara perbomohan: kes Main Teri di Kelantan (Plants in the healing
ritual ceremony: The case of Main Teri in Kelantan).
Geografia : Malaysian Journal of Society and Space, 8 (4). pp. 56-63. ISSN
2180-2491
Azharuddin
Sahil (2002), Doa: Makbul atau tetolak.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Hashim Hj. Musa (1994), Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur
Mohd. Taib Osman (2004), Cerita Lipur Lara. Kuala Lumpur:
Perpustakaan Negara Malaysia.
Zainal Abidin Borhan et.al (\1996), Adat Istiadat Melayu Melaka, Melaka: Insititut
Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.
2 comments:
assalamualaikum DR,
saya muhammad irfan pelajar tahun 1 sastera. saya ingin bertanya jika saya ingin menjadikan idea-idea Dr untuk diadaptasikan dalam esei saya ? andai DR membenarkan, bagaimana saya boleh letak kredit untuk DR?
KISAH CERITA AYAH SAYA SEMBUH BERKAT BANTUAN ABAH HJ MALIK IBRAHIM
Assalamualaikum saya atas nama Rany anak dari bapak Bambang saya ingin berbagi cerita masalah penyakit yang di derita ayah saya, ayah saya sudah 5 tahun menderita penyakit aneh yang tidak masuk akal, bahkan ayah saya tidak aktif kerja selama 5 tahun gara gara penyakit yang di deritanya, singkat cerita suatu hari waktu itu saya bermain di rmh temen saya dan kebetulan saya ada waktu itu di saat proses pengobatan ibu temen saya lewat HP , percaya nda percaya subahana lah di hari itu juga mama temen saya langsung berjalan yang dulu'nya cuma duduk di kursi rodah selama 3 tahun,singkat cerita semua orang yang waktu itu menyaksikan pengobatan bapak kyai hj Malik lewat ponsel, betul betul kaget karena mama temen saya langsung berjalan setelah di sampaikan kepada hj Malik untuk berjalan,subahanallah, dan saya juga memberanikan diri meminta no hp bapak kyai hj malik, dan sesampainya saya di rmh saya juga memberanikan diri untuk menghubungi kyai hj Malik dan menyampaikan penyakit yang di derita ayah saya, dan setelah saya melakukan apa yang di perintahkan sama BPK kyai hj Malik, 1 jam kemudian Alhamdulillah bapak saya juga langsung sembuh dari penyakitnya lewat doa bapak kyai hj Malik kepada Allah subahanallah wataala ,Alhamdulillah berkat bantuan bpk ustad kyai hj Malik sekarang ayah saya sudah sembuh dari penyakit yang di deritanya selama 5 tahun, bagi saudara/i yang mau di bantu penyembuhan masalah penyakit gaib non gaib anda bisa konsultasi langsung kepada bapak kyai hj Malik no hp WA beliau 0823-5240-6469 semoga lewat bantuan beliau anda bisa terbebas dari penyakit anda. Terima kasih
Post a Comment