Jom Ikut!

Ciri-Ciri Karya Agung

Mengenal Ciri-ciri Karya Agung

Antara ciri-ciri karya agung adalah seperti berikut, iaitu:

1.        Lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya.

Karya ulung seperti Sejarah Melayu membentangkan alam yang cukup luas dalam penulisannya. Hasil tulisan pengarang telah berjaya membawa khalayak pembaca merentas kawasan setempat dan kawasan Nusantara sehingga mereka mampu menerokai dunia-dunia lain, alam maya dan tidak ketinggalan juga dunia kayangan. Manusia yang memenuhi ruang hikayat ini tidak hanya datang dari kawasan Nusantara dan dari dunia manusia biasa lain seperti Rom, India, China dan Dunia Arab, bahkan juga turut melangkau sempadan para dewa dan dewi ataupun makhluk super-manusia. Isi yang terkandung dalam karya ini sarat dengan kepelbagaian episod, peristiwa dan kejadian. Melaluinya, kita dapat melihat kisah untung nasib dan gelagat para raja, putera-puteri yang elok rupa parasnya, tiada tolok banding dengan manusia lain, para hulubalang yang gagah perkasa serta para dewa dan dewi dari kayangan yang membawa tuah dan kuasa ajaib kepada manusia biasa.
Selain itu, kita juga dapat menonton kisah peperangan, persengketaan istana, kekejaman, peristiwa fitnah, hasad dengki dan akibatnya, malapetaka. Melalui pengamatan dan pengalaman yang dilalui oleh pengarang semasa hayatnya, panorama ceritera yang sangat besar dan luas itu menjadi landasan kepada pengarang untuk diketengahkan ke dalam penulisan. Dalam erti kata lain, pengarang mengangkat hal-hal yang berlegar di sekitar kehidupannya untuk dijadikan tema atau fokus utama penulisan.
Pengarang Sejarah Melayu telah mengangkat kisah kebesaran dan kekuasaan raja atau kerajaan Melayu. Bagi memastikan pemerintah digeruni oleh raja-raja lain di dunia ini, raja Melayu itu mesti diberikan kuasa yang luar biasa. Untuk tujuan ini, mitologi digunakan sebagai sumber kuasa raja. Tidak dapat dinafikan bahawa teks-teks sejarah Melayu pada kurun ke-14 hingga ke-19 mempunyai unsur-unsur mitologi. Karya sejarah dalam bentuk babad atau susur galur biasanya ditulis atas titah sultan, bertujuan untuk memuji pemerintah atau mempromosikan kepentingan dan pandangan keluarga penaung. Apabila seorang pengarang babad memasukkan suatu cerita ajaib atau mitos dalam karyanya, sudah tentu ada sesuatu maksud atau mesej yang cuba disampaikan. Oleh hal yang demikian, kita sebagai pembaca perlu memahami makna maklumat tersebut dan mesej yang hendak dikemukakan.
Dalam Sejarah Melayu, terdapat juga beberapa cerita mengenai asal usul raja-raja Melayu. Raja Melayu dikatakan berasal daripada Iskandar Zulkarnain, raja besar bangsa Yunani, beragama Islam, iaitu yang beriman dengan agama tauhid Nabi Ibrahim.

“A’lam ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Durab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya...”
                                                         (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 4)

Selain asal usulnya yang luar biasa, tema keagungan kerajaan Melayu-Islam ini dikembangkan lagi dengan memaparkan kepintaran orang Melayu yang menandingi kepintaran rakyat China sehingga raja China memilih raja Melaka sebagai menantunya. Selain itu, turut dimuatkan kisah raja China yang gering dan tidak dapat diubati oleh tabib China. Hanya setelah meminum air basuhan kaki raja Melaka, iaitu menantu raja China, penyakit baginda sembuh. Hal ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menggambarkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan raja beserta kerajaan yang dinaunginya. 

2.       Nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa.

Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.

“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam... Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.”
                                               (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 74)
                                                                                                                                                        Di samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga turut mempersembahkan kepada pembaca perihal istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.

“Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut, maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri...”
                                             (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 300)

Selain itu, pengarang turut menggambarkan hubungan individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.
     Sultan Melaka pada waktu itu juga sangat menghormati golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa Sultan Mahmud Syah ingin berguru dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak membenarkan Sultan Mahmud Syah datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan perasaan hormat, baginda akur dengan permintaan gurunya.
Pandangan dan falsafah hidup bangsa Melayu banyak sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan bahasa yang diperturunkan dalam bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah seperti pantun, syair dan seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di dalam Sejarah Melayu mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau sebaliknya menyindir. Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum dibersihkan sisa kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk setempat.

Kota Pahang dimakan api,
Sampai ke tepi hampir titian,
Bukan kularang kamu berlaki,
Bukan begini perjanjian.
                                             (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 239)

Kebanyakan puisi yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya seperti pantun di bawah,

Teluk Itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.
                                                         (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)

Pantun ini terhasil ekoran daripada peristiwa hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib. Hal ini berpunca daripada perasaan iri hati Paduka Seri Maharaja terhadap beliau yang dituduh cuba menggoda Raja Perempuan dengan memperlihatkan kemahirannya menilik pohon pinang sehingga terbelah dua. Semasa beliau dibunuh, satu kejadian aneh telah berlaku iaitu darahnya menitik setitik manakala badannya ghaib.

Selain itu, turut terselit puisi berbentuk seloka. Seloka ini dihasilkan ekoran peristiwa
Singapura dilanggar todak.
Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
         (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)

Terdapat juga puisi yang dibuat oleh masyarakat ketika itu untuk memuji golongan pembesar dan raja. Tetapi ianya disampaikan dalam bentuk nyanyian. Contohnya:
Pada suatu hari raja Maluku meminjam kuda pada Maulana Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:

Raja Maluku meninjam kuda,
Meminjam kuda pada Maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 180)

Di sebalik pujian, terdapat juga sindiran yang ditujukan kepada golongan pemerintah. Contohnya pantun dan seloka ini:

Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang.”
Maka di sahut oleh bunga tanjung, katanya:
“Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada,
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.”
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
“kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab,
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 214)

Seloka dan pantun ini sebenarnya bertujuan untuk menyindir Sultan Mahmud yang ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Oleh hal yang demikian, terbuktilah bahawa puisi-puisi yang dihasilkan ini sebenarnya menggambarkan pujian atau sindiran kepada golongan pemerintah selain menggambarkan peristiwa yang berlaku.  
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi pekertinya. Hal ini telah berjaya digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam karyanya, Sejarah Melayu. Adat istiadat Diraja turut dimuatkan dalam karangan beliau bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-raja Melayu.

3.       Nilai ilmu.

Ilmu merupakan salah satu unsur kehidupan intelektual terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan umum menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat. Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

1.      Istilah umum
2.      Bidang ilmu
3.      Para ilmuwan, karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain
4.      Karya ilmiah dan buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran
5.      Unsur-unsur ilmiah / tekstologi dalam teks-teks sejarah

Dalam kategori “istilah umum”, pelbagai kata dan definisi berkaitan ilmu, pelajaran, pengajaran, karangan, daya cipta dan lain-lain dimasukkan ke dalam penulisan karya. Misalnya, ilmu, kitab, karangan, cerita, buku, membaca, mengajar, guru, mursyid, murid, intiha, konon, kabar (khabar), kaul dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut mempunyai makna yang sangat luas dan digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan intelektual. Jika diteliti dalam karya agung Sejarah Melayu, antara kosa kata yang ditemukan ialah ilmu, alkisah, kitab, cerita (ceritera), kabar (khabar), kaul, membaca, mengajar (ajar), mengarang (karang, karangan), mengaji, alim, murid dan guru.
Kebanyakan istilah umum yang terdapat dalam teks kebanyakannya berasal daripada bahasa Arab. Akan tetapi, kata-kata Arab ini sudah terserap ke dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai kosa kata bahasa Melayu. Melalui penggunaan kata-kata ilmiah yang pelbagai bentuk dan banyak bilangannya, hal ini dapat mencerminkan dan membuktikan bahawa pengarang dan pembaca pada masa itu mahir dalam definisi ilmiah dan juga bahasa Arab.
Bagi kategori bidang ilmu pula, dalam teks-teks karya agung ada disebutkan beberapa bidang ilmu. Dalam Sejarah Melayu, terkandung beberapa tulisan tentang ilmu falsafah (didaktik, tasawuf, akhlak), ilmu agama (fardhu ain, ilmu tafsir, ilmu tilawah, ilmu usuludin), ilmu sejarah, ilmu fiqah (syariah, ilmu hukum), ilmu bahasa (etimologi, saraf, nahu), ilmu perubatan tradisional dan pelbagai lagi.
Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam karangan Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan ilmu ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid, makhdum, kadi dan maulana.

         “Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa ke istana baginda. Maka bendahara dan segala orang besar-besar pun masuk agama Islamlah. Maka segala orang Melaka kecil besar semuanya disuruh raja masuk Islam sekalian. Maka raja pun berguru pada makhdum Sidi ‘Abdul Aziz.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 51)

“Sebermula pada masa itu kadi di Melaka Kadi Yusuf namanya, cicit pada Makhdum Sayid ‘Abdul Aziz yang mengislamkan segala orang Melaka. Maka Kadi Yusuf tiada berguru pada Maulana Abu Bakar kerana ia terlalu ‘alim. Sekali persetua Kadi Yusuf hendak pergi sembahyang Jumaat maka lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusuf akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikelilingi apinya. Demikian rupanya. Maka Kadi Yusuf pun segera berlari datang menyembah pada Maulana Abu Bakar. ... Maka Kadi Yusuf pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Kadi Yusuf pun jununlah. Maka ia lalu memecat dirinya daripada kadi.”  
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 100)

“... Maulana Abu Bakar turun dari atas kapal membawa kitab Durr Manzum...Maka Sultan Mansur pun berguru pada Maulana Abu Bakar...banyak ilmu diperolehlah baginda. Maka Sultan Mansur Syah Durr Manzum itu disuruh baginda ertikan ke Pasai.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98)
“... bertanyakan suatu masalah Segala isi syurga itu kekallah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekallah ia dalam neraka? ... Maka kata Tun Makhdum Muda “Isi syurga kekallah ia dalam syurga, isi neraka kekal dalam neraka”... kerana sabit dengan dalil Qur’an “mereka itu kekal dalam syurga selama-selamanya.”
         (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98-99)
           
Semua nama yang disebutkan dalam petikan di atas merupakan tokoh Islam. Para ilmuwan tersebut adalah sangat berwibawa dan pangkatnya tinggi dalam masyarakat Melayu Islam khususnya. Golongan ini juga turut memberi pelbagai nasihat kepada raja dan anak-anaknya, mengajar sultan dan orang besar-besar, mengepalai musyawarah, membantu mencapai muafakat dalam perdebatan dan konflik dan lain-lain lagi.
Dalam teks Sejarah Melayu, terdapat banyak maklumat tentang karya ilmiah dan agama yang diajarkan dan dibaca dalam masyarakat Melayu. Buku-buku tersebut berkaitan dengan ilmu agama, falsafah, fiqah, sejarah, bahasa dan sebagainya. Kitab yang sering disebutkan ialah al-Quran al-Azim dan pelbagai Surahnya. Contohnya,

... Maka belayar pula nakhoda Ismail. Berapa lamanya maka sampai kepada sebuah negeri pula Thobri (Lamri) namanya. Maka orang Thobri itu pun masuk Islam. Maka kafir pun naik ke darat membawa al-Qur’an. Maka disuruhnya baca pada orang Thobri itu surat itu. Seorang pun tiada dapat membaca dia. 
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 56)
Alkisah maka tersebutlah perkataan seorang pendita, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasauf... Maka dikarangnya sebuah kitab dengan dua bahasa, suatu bahasa zat, kedua bahasa sifat; dinamainya Duri’l-mazlum.
                                              (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 156-157)

Berdasarkan kepada beberapa pecahan nilai ilmu yang telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan jelas menunjukkan ciri penting keagungan karya agung Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah berjaya memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh tradisi bangsanya. Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang pertapa diganti dengan berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi keadilan Melayu digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai lagi. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

4.       Teknik kepengarangan dan seni bahasa

Jika diteliti isi kandungan Sejarah Melayu, pengarangnya dilihat sebagai seorang intelek Melayu yang berminat kepada sejarah dan suasana pergolakan politik di Melaka waktu itu. Selain itu, pengarang amat berminat membaca berbagai-bagai naskhah hikayat daripada kesusasteraan asing yang diterap daripada kesusasteraan Hindu. Misalnya, pengarang dapat menggarap unsur-unsur sastera Hindu sewaktu mengisahkan pengembaraan Raja Suran ke negeri bawah laut dan kisah di Bukit Si Guntang Mahameru. Pengarang juga turut mengaitkan binatang suci Hindu iaitu lembu putih.
Pengaruh kesusasteraan Jawa seperti cerita panji dan Cerita Damar Wulan turut dibawa masuk oleh pengarang. Contoh-contoh dari hasil sastera Jawa dapat dilihat melalui gambaran peristiwa utusan Melaka pergi ke Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana. Dalam peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang, dikaitkan pula dengan permintaan mas kahwin yang luar biasa.
Pengarang juga amat mahir menggarap corak penulisan kesusasteraan Parsi dan Arab. Hal ini dapat dibuktikan melalui gaya penulisan pendahuluan teks yang mempunyai gaya masnawi. Selain itu, pengarang turut memasukkan petikan syair dan bidalan Arab, termasuklah juga ayat-ayat al-Quran. Penggunaan kalimah-kalimah Arab juga amat ketara dalam Sejarah Melayu.
Pengarang dilihat sangat kreatif dan berseni kerana dapat menampilkan karya tersebut dalam bentuk yang menarik dan indah dari segi persembahannya. Tun Seri Lanang berupaya melukis segala kisah atau gambaran masyarakat Melayu dengan hidup dan indah. Beliau juga berupaya menceritakan sesuatu episod dengan nyata dan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan pembaca sama ada sedih, menyayat hati, lucu, meriah dan riang gembira. Misalnya, peristiwa peperangan digambarkan dengan penuh suasana ngeri dan ganas.

“Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak menetak, parang-memarang, tikam-menikam, serta dengan tempik soraknya, gegak-gempita, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, datang sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.”
                                                         (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 70)

Pengarang juga berupaya melukis watak dengan lebih hidup, istimewa dan bercampur dengan unsur lucu. Contohnya ketika menggambarkan watak Tun Mai Ulat Bulu, Seri Bija Diraja, Seri Wak Raja, MiaRuzul dengan kambing randuk dan lain-lain. Selain itu, pengarang berjaya menerapkan gaya bahasa yang indah, menarik dan bermutu tinggi. Di samping itu, pengarang juga turut menggunakan pelbagai teknik penceritaan. Antara teknik tersebut ialah dialog, monolog dalaman, menyelitkan puisi seperti pantun, syair dan bidalan Arab yang secara tidak langsung menimbulkan kesan keindahan semasa membaca karya tersebut.
Bangsa Melayu meletakkan keutamaan yang tinggi kepada ketajaman akal, kecerdasan berfikir, kebijaksanaan berbahasa dan mengungkapkan bahasa. Bentuk-bentuk lisan seperti teka-teki dan pantun ialah manifestasi kepada keutamaan yang diletakkan kepada kecerdasan berfikir. Menurut Noriah Taslim (2000), masyarakat silam/lisan wujud dalam satu bentuk budaya yang disebut budaya “rhetorical”, manusianya wujud dalam situasi persaingan kata-kata (verbal combat) atau pertikaman lidah: pantun perlu dibalas, teka-teki perlu dijawab, sindiran dijawab dengan sindiran. Hal ini menuntut kecerdasan berfikir dan kelancaran mengungkapkan bahasa yang amat tinggi. Bentuk-bentuk peribahasa menjadi cerminan kepada keintelektualan minda Melayu yang tiada tandingan. Bermula daripada alam kepada manusia, abstrak kepada konkrit, peribahasa memanfaatkan keindahan untuk menajamkan keintelektualan.
Jika ditinjau dalam Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan seni bahasa pengarang dalam sisi yang berbeza. Sebagai contoh, dalam peristiwa pemeritahan di Temasik/Singapura. Dalam peristiwa ini, Temasik digambarkan oleh pengarang sebagai sebuah negeri yang tidak pernah aman. Kita juga tidak pernah didedahkan dengan usaha pemerintahnya, Parameswara, untuk memajukan Singapura. Hal ini demikian kerana, di Temasik/Singapura terdapat nilai yang tidak baik. Istilah “Singapura” dikatakan berasal daripada binatang yang bernama singa dan sikap singa itu pula suka berpura-pura. Sikap berpura-pura merupakan nilai yang tidak baik. Singapura dikatakan tidak aman kerana diperintah oleh raja yang berhati pura-pura. Bukan tidak ada pembesar yang membantu raja, namun pembesarnya juga berhati pura-pura. Ketaatan kepada raja bukan kerana mahu mendaulatkan raja, tetapi kerana mahu merebut nikmat material. Dalam Sejarah Melayu, ada generasi yang cuba membawa pembaharuan, memajukan Singapura, malangnya mereka pula yang dilenyapkan.
Terdapat ulama, Tun Jana Khatib, yang boleh membantu, tetapi disebabkan salah sangka, ulama itu dibunuh. Selain itu, digambarkan juga bagaimana akal seorang budak yang telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa manusia dan menjadi aset negara, telah dikhianati oleh pihak pemerintah pada masa itu. Hal ini dibuktikan dalam petikan di bawah,

Maka sembah orang besar-besar, “Tuanku, budak ini terlalu besar sekali akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi banyak akalnya? Baiklah ia kita bunuh.”
                                          (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 69)

                                                                                                                                                       Membunuh akal bererti membunuh intelektual. Membunuh budak bererti membunuh generasi warisan. Lebih-lebih lagi membunuh budak berakal besar, yang bermaksud membunuh kemajuan yang bakal berlaku. Kezaliman pemerintah yang sedemikian telah melenyapkan riwayat Singapura dalam Sejarah Melayu. Secara halus, pengarang menyampaikan mesej bahawa Singapura tidak akan maju kerana gejala negatif menjadi pegangan pemerintahnya. Mesej tersebut dsampaikan secara amat berseni. Pengarang tidak menyatakan kekejaman pemerintah, sebaliknya pengarang menggambarkan perlakuan kejam pemerintah. Perlakuan-perlakuan itu pula disertakan dengan alasan yang mungkin dapat diterima oleh masyarakat pada zaman itu. Di sinilah seni kebijaksanaan pengarang mengkritik golongan pemerintah. Seorang budak yang berakal besar semasa kecilnya tentunya akan lebih besar apabila ia mnginjak 
Disebabkan oleh sistem nilai yang dipegang oleh masyarakat dahulu berpaksikan “siapa kuat dia berkuasa”, maka kebimbangan raja dan pembesar itu adalah wajar. Pembunuhan terhadap akal dan budak itu menjadi halal pada mereka. Namun demikian, dalam prinsip “halal” mereka itu, pengarang sebenarnya ingin menggambarkan kekejaman pemerintah kerana pengarang turut menggambarkan pembunuhan terhadap ulama dan gundik raja. Penyusunan siri pembunuhan ini dapat memberi kefahaman kepada kita tentang kebijaksanaan berbahasa yang terdapat pada pengarang.
Terdapat tiga pembunuhan yang disebabkan oleh tiga faktor yang masing-masing menggambarkan keburukan golongan pemerintah. Pertama, pembunuhan terhadap ulama bernama Tun Jana Khatib yang disebabkan rasa cemburu dan syak wasangka. Ulama merupakan lambang yang membawa cahaya kebenaran dan keimanan. Apabila ulama sudah tiada, ini bererti kerajaan itu berada dalam kegelapan. Kedua, pembunuhan terhadap budak berakal besar disebabkan kebimbangan terhadap akal budak itu yang dikatakan akan menggugat kuasa pemerintahan. Budak berakal besar melambangkan keintelektualan, kesarjanaan dan kemajuan. Oleh sebab digambarkan masih budak, mungkin pengarang bermaksud Singapura akan menerima kemajuan atau kemajuan masih dalam proses pembinaan, dan mungkin Singapura maju dari segi pentadbiran keduniaan, bukan kerohanian. Ketiga, pembunuhan terhadap anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik bongsu raja disebabkan fitnah oleh para gundik. Gundik bongsu dapat difahami sebagai lambang kelahiran. Yang dimaksudkan di sini, mungkin anak-anak yang bakal dilahirkan lebih berkualiti berbanding anak-anak gundik yang lain ataupun permaisuri. Dalam ketiga-tiga peristiwa pembunuhan itu, terlihat kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa untuk mengkritik raja. Seni bahasanya terletak pada cara pengarang menggambarkan kekejaman dan kesan baik yang dapat diteladani daripada tindakan raja.   

Karya agung banyak memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.

No comments: