Jom Ikut!

26/04/2014

TEORI FALSAFAH BAHASA

Teori Falsafah Bahasa.

Falsafah Bahasa merupakan gabungan Teori Relatif dengan Teori Kenuranian Bahasa yang telah diperkenalkan oleh Mohd Rashid Md Idris dalam tesis ph.D beliau pada tahun 2007. Dapatan daripada teori ini ialah potensi berbahasa adalah kurniaan Allah. (Mohd Rashid Md Idris, 2010: 15). 
 Teori Falsafah Bahasa terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus. Bulatan itu merupakan bentuk yang memerlukan manusia berbahasa secara sempurna dari segi nahu, makna dan tujuannya. Oleh itu, segala ujaran itu mestilah dalam konteks yang difahami, disenangi oleh pendengar, dan bertujuan baik selaras dengan tuntutan syarak. Bentuk bulatan ini secara tidak langsung turut menggambarkan peranan bahasa yang menggambarkan keseluruhan kehidupan orang Melayu termasuklah dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka sepenuhnya. Kitaran budaya dan usia juga diibaratkan seperti roda yang adakalanya di atas dan adakalanya di bawah. 


            Bahagian kedua yang terlukis dalam rajah Teori Falsafah Bahasa ini ialah anak panah (dua hala). Anak panah dalam rajah ini menunjukkan kewujudan hubungan langsung atau tersurat antara penutur dengan pendengar. Hal ini menunjukkan bahawa akan berlakunya keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas antara penutur dengan pendengar supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan bersama. Maklumat ialah keterangan dan perincian sesuatu perkara. Maklumat terbentuk daripada keinginan dalam pemikiran penutur untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada pendengar. Menurut Theodorson dan Theodorson dalam Mohd Rashid Md Idris (2004), komunikasi ialah pengiriman maklumat, penikiran, sikap atau emosi daripada seseorang individu atau kumpulan kepada individu atau kumpulan yang lain. Manakala maklum balas pula ialah maklumat atau data yang diperoleh hasil daripada pengendalian dan digunakan untuk membolehkan pelarasan dibuat supaya keadaan pengendalian yang dikehendaki tercapai. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd dalam Mohd Rashid Md Idris (2012), menyatakan bahawa maklum balas boleh diberi atau didapatkan melalui pelbagai kaedah. Antaranya ialah mengemukakan soalan-soalan sama ada daripada penghantar atau penerima, reaksi-reaksi bukan lisan yang kelihatan, “rephrasing” atau “paraphrasing” yang merumuskan semula mesej dan ringkasan mesej atau maklumat. Terdapat dua jenis maklum balas dalam proses berbahasa. Antaranya, maklum balas positif dan maklum balas negatif. Maklum balas positif termasuklah pengiktirafan, pujian, penghargaan dan sanjungan. Manakala maklum balas negatif merupakan suatu penyataan negatif terhadap sesuatu perkara. Lazimnya maklum balas negatif ini bersifat celaan, penghinaan, teguran dan kecaman. Salah satu bentuk maklum balas negatif ialah kritikan yang menjatuhkan.
Garisan putus-putus dalam rajah menerangkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah  selaku Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada makhluk-Nya. Keadaan ini termasuklah kejadian asal diri manusia itu sendiri. Dalam konteks ini, Allah turut menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dalam menentukan sama ada mereka memilih untuk menjadi manusia yang baik ataupun sebaliknya. Alat-alat pertuturan yang diberikan kepada manusia merupakan satu pinjaman yang amat berharga untuk mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Manusia berkomunikasi bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan Yang Maha Pencipta iaitu melalui amalan ibadah yang dilakukan. Keadaan ini selaras dengan prinsip kesempurnaan berbahasa yang ketiga iaitu berbahasa untuk beribadah atau mentauhidkan Allah.        
Prinsip Kesempurnaan Berbahasa.

Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012), ilmu komunikasi ialah ilmu yang dipelajari oleh manusia supaya memudahkan seseorang menyampaikan apa-apa yang terkandung dalam fikirannya kepada orang lain. Selain itu, manusia bukan sahaja menggunakan komunikasi ini hanya untuk menyampaikan maklumat kepada manusia tetapi juga kepada haiwan. Walaupun binatang tidak dikurniakan akal fikiran seperti manusia, tetapi ia juga mudah dan boleh memahami maksud yang disampaikan oleh manusia. Perkembangan komunikasi semakin berkembang dengan wujudnya alat-alat komunikasi seperti telefon, telegraf, radio dan alat-alat komunikasi yang lain.
            Terdapat tiga prinsip asas dalam Teori Falsafah Bahasa. Pertama, berbahasa mengikut nahu. Prinsip ini menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi ini perlu mengikut nahu yang betul agar maklumat yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya. Antara elemen-elemen  penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa ialah sumber, saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan persekitaran. Bahasa merupakan suatu sistem yang lengkap dan sempurna dari segi pertuturan atau polanya. Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, tatabahasa dan sistem makna. Bahasa yang digunakan dlaam pertuturan dan penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahsa atau nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapakan mahupun ditulis. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas boleh meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, sekiranya kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas. Sekiranya penutur dan pendengar bersetujuan dengan penggunaan sesuatu bahasa dan bahasa itu dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua belah pihak, maka komunikasi yang baik akian berlaku. Masalah akan timbul dalam komunikasi apabila timbulnya masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan nilai. Hal ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya manusia berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin disampaikan kepada setiap individu itu mencapai obejektif.
            Prinsip kesempurnaan berbahasa yang kedua adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar. Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
            “Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”.
                                                                                                (Surah al-Azhab 33: 70)
            Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah memberi penegasan supaya manusia berkata benar. Sekiranya sesuatu maklumat atau fakta yang disampaikan itu tidak tepat atau menyeleweng, ini akan memberi kesan buruk kepada manusia.  Jika seseorang individu itu menyampaikan maklumat yang tidak tepat atau salah, ia boleh menjadi fitnah dalam masyarakat tersebut. Dalam menyampaikan sesuatu maklumat, pemikiran seseorang individu tidak boleh berlandaskan kepercayaan dan emosi semata-mata tetapi maklumat itu haruslah disampaikan berdasarkan penaakulan yang tepat dan sahih. Maklumat yang ingin disampaikan itu perlulah diperolehi daripada sumber-sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Perkara ini bertujuan untuk memastikan supaya maklumat yang diberikan itu tidak bercanggah dengan fakta yang sebenarnya seterusnya bebas dari fitnah. Dalam ajaran Islam juga jelas mengajar umatnya supaya menjauhi perbuatan fitnah keran fitnah itu merupakan perbuatan terkutuk dan dapat merosakkan manusia. Dengan fitnah manusia saling bercakaran dan saling bermusuhan. Selain itu, kita juga perlu menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan dapat difahami oleh orang lain agar maklumat yang ingin disampaikan itu tidak bercanggah dengan apa yang diterima.
            Prinsip ketiga adalah berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T. prinsip ini berkait rapat dengan Teori Kenuranian Bahasa yang merumuskan bahawa potensi atau kebolehan berbahasa ialah kurniaan Allah. Kemampuan dan kebolehan berkomunikasi ialah nikmat Allah S.W.Tyang penting kepada manusia. Manusia telah dilahirkan dengan anugerah akal, naluri, mulut dan pancaindera lain yang tidak ternilai harganya dan kita tidak perlu membayar apa-apa untuk anugerah kurniaan Allah S.W.T ini. dalam konteks ini, berbahasa ataupun berkomunikasi juga boleh dikategorikan sebagai salah satu cara untuk beribadah. Komunikasi yang berkesan ialah komunikasi yang melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Hubungan manusia ini terbahagi kepada tiga, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan dengan manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Hubungan komunikasi antara manusia dengan Penciptanya dikenali sebagai komunikasi menegak (verticel communication). Keperluan komunikasi haruslah melibatkan hal duniawi dan hal ukhrawi seperti yang telah disyariatkan dalam Islam. Komunikasi secara mendatar (horizontal communication) pula berlaku apabila dua individu berkomunikasi secar bersemuka.komunikasi ini merangkumi dua bentuk hubungan komunikasi. Antaranya, hubungan sesama manusia dan hubungan antara manusia dengan makhluk lain seperti jin, bunian, flora dan fauna. Kebiasaannya, komunikasi ini berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu. Berbahasa juga dilihat sebagai tujuan untuk beribadah apabila kita berbahasa untuk menyampaikan kebaikan, contohnya kita berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada orang lain, kita berbahasa untuk saling menegur atau menasihati dan kita juga berkomunikasi dalam menuntut ilmu yang berguna juga dikira sebagai ibadah. Dalam proses berbahasa atau berkomunikasi, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang canggih. Sebagai manusia ciptaan Allah yang istimewa, perlulah menggunakan akal mereka untuk berfikir tentang keesaan dan kebesaran Allah S.W.T. Denagn memikirkan dan menghayati tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T manusia itu telah melakukan ibadat kepada Allah S.W.T.

1 comment:

zainkhoryzs said...

terima kasih atas perkongsian maklumat