ADAT ISTIADAT DAN PANTANG LARANG DALAM TEKS
SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU.
1) Adat
mengadap raja di balairung
Para pembesar akan
disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Bendahara,
Penghulu Bendahari dan Temenggung akan duduk di seri balai. Anak-anak
raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida-sida
yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan Bentara dan hulubalang yang
berdiri di ketapakan balai.
2) Istiadat
raja ke istana.
Gendang adi dipalu sebanyak tujuh ragam, nafiri dibunyikan. Sampai
kali ke tujuh, maka raja pun keluar bergajah di arak ke istana. Mereka
yang hadir akan duduk di tanah.
3) Adat
menjunjung duli
Empat lima orang kepala
bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri balai. Segala
perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas, dan barang sebagainya diselang
selang kedudukannya. Sementara puan dan pedang berada di kelekan kiri dan
kanan. Pedang kerajaan akan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja.
4) Adat
menyambut kedatangan Utusan Kerajaan dari Iuar.
Sambutan terhadap kedatangan
utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila
utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya menggunakan
selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai bergajah dan
lain-lain. Sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang
kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk sambutan akan dikurangkan,
cukup sekadar gendang, serunai sahaja, atau berpayung kuning atau bergajah. Walau
bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan.
5) Adat
penganugerahan gelaran.
Adat ini dimulakan
dengan menjemput mereka yang menerima gelaran ke istana. Jemputan
penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang akan
diterima. Jika "Perserian" orang besar-besar akan
menjemputnya. Jika "Persangan", orang kecil
menjemputnya. Jika "Pertuanan", orang sedang menjemputnya. Orang
yang menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Di
istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran
yang diberikan. Untuk Bendahara diberi lima ceper persalinan, anak raja
dan menteri empat ceper persalinan, dan ada yang tiada berceper sekadar
diampu oleh hamba raja.
6) Adat
istiadat perkahwinan di Raja
Adat ini dimulakan
dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh
malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis
akad nikah. Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan Raja
Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, perarakan
dengan gajah dan akad nikah oleh kadi.
7) Adat
menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.
Pada waktu siangnya
sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala
alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu ke masjid. Keesokannya,
laksamana akan mengarakkan serban. Raja-raja Melayu akan berangkat ke masjid
bertengkolok dan berbaju sarung.
8) Adat
Raja Berangkat pada hari raya secara berusungan
Raja akan berangkat
dengan usungan. Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu Bendahari dan
sebelah kiri oleh Laksamana. Di sebelah belakang pula Menteri
Kedua. Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat
kerajaan di kiri dan kanan, sementara Bentara memikul pedang. Bendahara
berjalan di belakang raja dengan kadi serta segala orang besar dan segala
menteri yang tua.
9) Adat
menyambut hari raya.
Bendahara dan segala
Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu
Bendahari. Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk
dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam,
diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke
masjid dan barulah ke istana.
PANTANG
LARANG / LARANGAN & HUKUMAN
1) Larangan
memakai barangan berwarna kuning.
Orang-orang kebanyakan
dilarang memakai sapu tangan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna
kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya
dianugerahkan oleh raja.
2) Larangan
berbuat rumah bertiang gantung.
Rakyat dilarang membina
rumah yang bertiang gantung dan tidak terletak ke tanah atau bertiang
terus dari atap .
3) Larangan
memakai penduk dan teterapan keris.
Orang kebanyakan
dilarang bergelang kaki emas dan berkeroncong emas berkepala perak kecuali
yang dianugerahkan oleh raja.
4) Larangan
bertengkolok dan berbaju sarung.
Rakyat biasa tidak
dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan
kecuali dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak
dipatuhi, akan dikenakan hukuman denda
5) Larangan
berbaju keling.
Rakyat tidak dibenarkan
memakai pakaian ini kecuali disediakan oleh orang-orang Besar. Sekiranya adat
ini tidak dipatuhi akan dikenakan hukuman denda.
6) Larangan
berkelakuan biadap terhadap raja pembesar.
Rakyat mesti
menghormati raja dan pembesar, sekiranya ingkar akan dijatuhkan
hukuman bunuh. Contohnya Perpatih Hitam cuba dibunuh oleh
Laksamana kerana menguis tikar di hadapan Bendahara.
7) Larangan
menyebarkan fitnah.
Perbuatan menyebarkan
fitnah adalah berdosa besar. Malah menyebabkan orang yang
tidak bersalah teraniaya. Hukuman bunuh terhadap orang yang
menyebar fitnah. Contohnya, Raja Mandaliar dan Kitul dijatuhkan hukuman
bunuh kerana mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah.
8) Larangan
tidak mengikut perintah raja.
Rakyat atau pembesar mesti mematuhi perintah kerana
jika ingkar akan dikenakan hukuman bunuh. Contohnya, Seri
Bija Diraja diperintahkan bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana tidak
datang menghadap pada hari raya.
9) Larangan
memakai sesuatu yang menjadi hak seperti isteri dan gundik raja.
Sesuatu yang menjadi
hak raja tidak boleh diganggu kerana akan dijatuhkan hukuman bunuh. Contoh hukuman
bunuh yang dijatuhkan kepada Hang Tuah yang dikatakan telah bermesra
dengan salah seorang gundik raja.
10) Larangan
menderhaka.
Rakyat tidak boleh
sesekali menderhaka kepada raja. Sekiranya menderhaka, mereka akan dikenakan
hukuman bunuh. Contohnya hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri
Maharaja serta seluruh ahli keluarganya kecuali Tun Fatimah kerana dikatakan
Bendahara sedang merancang untuk merampas kuasa atau cuba mencabar hak dan
kedudukan raja.
11) Larangan
menggunakan paying putih dan kuning
Payung kuning untuk
anak-anak raja dan orang-orang Besar. Manakala payung putih untuk
raja. Sekiranya tidak dipatuhi akan dikenakan didenda pati, yakni sekati lima.
12) Larangan
bersekedudukan dengan isteri orang atau merampas isteri orang
Hukuman bunuh boleh
dilakukan oleh si suami. Contohnya Tun Biajid menimang-nimang
lembingnya pada sultan kerana perbuatan Sultan Mahmud Syah berkendak dengan
isterinya. Pengiring sultan cuba membunuh Tun Biajid kerana berkelakuan
biadap depan sultan tetapi baginda melarang kerana tindakan Tun Biajid
betul dari segi undang-undang.
13) Larangan
mencuri dan mengambil harta orang atau barang orang yang tercicir.
Hukuman kepada pencuri
ialah hukuman bunuh. Sesiapa yang terjumpa harta mesti dihantar ke balai
yang disediakan. Contohnya, semasa pemerintahan Sultan Alauddin
Riayat Syah, baginda bertindak membunuh pencuri-pencuri yang ditemuinya pada
malam baginda menyamar keluar untuk membanteras kegiatan kecurian yang terlalu
berleluasa.
13) Larangan
menyembah pembesar sebelum menyembah raja atau di hadapan raja.
Perbuatan menyembah
pembesar sebelum menyembah raja akan dihukum cerca. Contohnya,
Bendahara Seri Maharaja telah mencerca Raja Mandeliar kerana hendak
menyembah Bendahara Seri Maharaja di balai raja.
14) Larangan
mengambil tunangan atau anak dara orang.
Hukuman bunuh akan
dikenakan. Contohnya, Sultan Abdul Jamal berusaha membunuh Hang
Nadim kerana telah melarikan tunangannya Tun Teja. Tetapi gagal
kerana Hang Nadim sempat berlepas menyelamatkan diri dengan kembali ke Melaka.
15) Larangan-larangan
diraja mengenai perhiasan, pakaian dan peralatan diraja
Larangan-larangan
memakai kain kuning, membuat rumah dengan bentuk tertentu, membuat
perahu dengan kelengkapan tertentu, memakai perhiasan emas, memakai
keris tertentu dan lain-lain akan dikenakan hukuman sekati lima.
KEPENTINGAN
ADAT ISTIADAT & PANTANG LARANG
1. Menggambarkan
keagungan dan kebesaran raja
Kedudukan raja yang
tinggi dalam struktur pemerintahan dapat dilihat melalui segala adat istiadat
dan juga pantang larang yang menunjukkan perbezaan ketara dengan golongan
rakyat. Sebagai contoh, kedudukan raja semasa dalam balai
penghadapan. Begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan
yang amat berharga adalah khusus untuk golongan raja sahaja. Ini
menunjukkan kedudukan dan ketinggian martabat raja di kalangan rakyat.
2. Menggambarkan
Keagungan Kerajaan Melayu Melaka.
Adat istiadat yang
disusun dan diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah menunjukkan Kerajaan Melayu
Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat. Sistem
pentadbiran yang tersusun di mana raja sebagai pemerintah dibantu oleh
pembesar-pembesar yang berwibawa bagi melancarkan perjalanan pentadbiran
negeri.
3. Menggambarkan
kesetiaan Rakyat.
Melalui adat istiadat
dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang taat dan patuh
serta sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh
golongan pemerintah. Mereka beranggapan bahawa golongan raja adalah
berdaulat dan wajib ditaati dengan berpegang teguh prinsip :Pantang Melayu
Derhaka Kepada Raja”.
4. Mengukuhkan
Institusi Istana dan Pembesar Melayu
Melalui adat istiadat
dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar
dilindungi daripada ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkan mereka kerana
melalui adat dan pantang larang, rakyat seolah-olah dinafikan hak mereka. Secara
tidak langsung golongan istana dan pembesar akan dipandang tinggi dan mulia dan
rakyat tidak berpeluang untuk mencabar institusi beraja.
(SUMBER:http://kmtppuintan.blogspot.com/2011/09/adat-istiadat-dan-pantang-larang-dalam.html)
No comments:
Post a Comment