Jom Ikut!

27/04/2014

Nilai ketabahan dalam cerita lipur lara

Nilai Ketabahan Dalam Cerita Lipur Lara

Abstrak
Nilai merupakan unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Tanpa nilai manusia tidak dapat menetapkan kadar atau kualiti sesuatu barang. Tanpa nilai juga manusia tidak dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk dan sesuatu yang benar atau yang salah. Nilai murni mengajar manusia untuk menjadi insan yang berakhlak mulia. Nilai murni ini perlu ada dalam diri setiap manusia dan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian supaya kehidupan bermasyarakat menjadi lebih bermakna, aman dan sentosa. Nilai ketabahan merupakan salah satu daripada nilai murni. Nilai tabah mengajar manusia untuk terus berusaha dalam mencapai cita-cita. Nilai tabah juga mendidik manusia untuk sentiasa bersikap terbuka dalam menghadapi sesuatu permasalahan. Oleh hal yang demikian, kajian ini menfokuskan nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara. Melalui kajian ini kita dapat mencontohi watak-watak  yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara yang tabah dalam melaksanakan amanah dan mengaharungi dugaan hidup. Watak-watak ini juga tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup bagi mencapai sesuatu yang diingini.


1.0  Pengenalan

Cerita Lipur Lara disampaikan bertujuan untuk menghiburkan hati yang lara. Cerita Lipur Lara ini merupakan cerita lisan yang dirakam dan dialihkan dalam bentuk tulisan. Cerita ini dituturkan oleh Mir Hassan yang menuturkan cerita  Seri Rama dan Pawang Ana yang  menuturkan cerita Malim Dewa, Cerita Malim Deman, Cerita Anggun Cik Tunggal dan Cerita Raja Muda. Terdapat lima cerita yang terkandung dalam cerita Lipur Lara iaitu Cerita Seri Rama, Cerita Malim Dewa, Cerita Malim Demam, Cerita Anggun Cik Tunggal dan Cerita Raja Muda. Cerita yang disampaikan ini diiringi oleh paluan alat-a,at muzik seperti rebab, ketukan belanga atau batil Cerita-cerita ini kebanyakannya dirakam oleh pegawai-pegawai inggeris yang menaruh minat untuk merakamkannya iaitu W. E Maxwell dan R.O Winstedt. Cerita Lipur Lara ini dirakam sekitar tahun 1886.  Seterusnya teks cerita ini diterbitkan bertujuan untuk mendapatkan ilmu dengan lebih mendalam mengenai masyarakat Melayu dalam kalangan pegawai serta sarjana Barat. Cerita Lipur Lara ini dikaji oleh Mohd Taib Osman dan diterbitkan oleh yayasan karyawan Malaysia pada tahun 2004 untuk cetakan pertama dan pada tahun 2007 bagi cetakan yang kedua.
Cerita-cerita yang disampaikan mengandungi nilai-nilai murni yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Cerita Lipur Lara ini menjadi salah satu medan untuk mendidik anggota masyarakat mengenai nilai-nilai yang baik iaitu perbuatan yang baik akan mendapat ganjaran yang baik dan begitulah sebaliknya. Nilai-nilai yang terdapat dalam cerita ini termasuklah nilai ketabahan, kasih-sayang, nilai kesetiaan, nilai hormat-menghormati, nilai patriotik dan lain-lain lagi. Meskipun terdapat banyak nilai-nilai murni yang terkandung dalam Cerita Lipur Lara ini namun, pengkaji hanya menfokuskan dan mengupas tentang nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara.

2.0 Objektif Kajian
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji nilai ketabahan yang terdapat dalam “Cerita Lipur Lara”. Sehubungan itu, terdapat tiga objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini iaitu:-
i)       Menghuraikan konsep nilai ketabahan dan watak
ii)     Mengenalpasti nilai ketabahan yang ditonjolkan melalui watak-watak dalam “Cerita Lipur Lara”
iii)    Hubung kait nilai ketabahan dalam kehidupan masyarakat.

3.0 Persoalan Kajian
Kajian ini menjawab soalan-soalan seperti berikut:-
1.                  Apakah maksud nilai ketabahan, watak dan perwatakan?
2.                  Adakah nilai ketabahan terdapat dalam “Cerita Lipur Lara”?
3.                  Sejauh mana nilai ketabahan memberi kesan dalam kehidupan masyarakat?

4.0 Kepentingan Kajian
Kajian ini amat bermanfaat kepada guru kesusasteraan Melayu dan guru bahasa Melayu yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah denagn menggunakan bahan sastera. Dapatan daripada kajian ini adalah amat berguna kepada para guru untuk mengeluarkan nilai ketabahan yang ditonjolkan melalui watak-watak yang terdapat dalam “Cerita Lipur Lara”. Guru juga boleh menjadikan kajian ini sebagai panduan untuk menerapkan nilai semasa pengajaran bahan sastera. Para pelajar juga boleh menjadikan kajian ini sebagai bahan rujukan untuk mengenalpasti nilai-nilai yang terdapat dalam karya sastera. Melalui kajian ini pelajar akan lebih jelas mengenai nilai ketabahan yang diketengahkan melalui watak-watak. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk menghuraikan konsep nilai ketabahan, watak dan perwatakan, seterusnya mengenal pasti nilai ketabahan yang ditonjolkan melalui watak-watak dalam cerita Lipur Lara dan fungsi nilai ketabahan dalam kehidupan masyarakat.

5.0 Metodologi Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kepustakaan. Kaedah ini dilakukan untuk mendapatkan sorotan ke atas bahan-bahan yang digunakan iaitu teks karya agung “Cerita Lipur Lara” dan buku-buku ilmiah. Melalui kaedah ini pengkaji perlu menganalisis  bahan yang digunakan bagi mendapatkan maklumat dan menghuraikan maklumat yang diperolehi untuk memahami sesuatu konsep dan peristiwa dengan lebih jelas. Melalui kaedah ini juga pengkaji dapat mengumpulkan maklumat melalui bahan yang digunakan iaitu teks “Cerita Lipur Lara” dan bahan-bahan ilmiah.

6.0  Dapatan Kajian

6.1  Konsep nilai ketabahan, watak dan perwatakan
Kamus Dewan Edisi keempat (2007) secara amnya mendefinisikan nilai sebagai harga atau kadar sesuatu barang. Dalam konteks pemikiran, agama dan kemasyarakatan nilai dilihat sebagai satu sifat ketinggian. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011:13)  definisi nilai dalam bidang sains sosial terbahagi kepada tiga iaitu sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011:13) nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan antara betul atau salah. Nilai ini menjadikan manusia seorang yang bertimbang rasa dalam menentukan atau membuat sesuatu keputusan. Oleh hal yang demikian nilai ini penting diterapkan dalam diri pelajar sejak dari bangku sekolah supaya dapat melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.
     Dalam kajian ini pengkaji mengkaji tentang nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara. Nilai ketabahan membawa maksud keberanian, kecekalan hati dan keteguhan hati dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran hidup. (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Watak pula dapat didefinisikan sebagai pelaku dalam sesebuah karya atau pelakon dalam cerita yang memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan atau menghidupkan sesebuah cerita dalam karya atau teks kesusasteraan, (Nik Hassan Basri 2007: 130). Watak ini boleh terdiri daripada watak manusia atau bukan manusia seperti jin, haiwan atau benda.perwatakan  pula merupakan gambaran sikap watak dan sifat yang dimiliki oleh watak dalam sesebuah cerita atau karya contohnya dari segi fizikal seperti tinggi, rendah, kacak dan cantik, manakala dari segi sifat dalaman seperti penyayang, tabah, taat dan sebagainya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 130) Watak terbahagi kepada beberapa jenis iaitu watak protagonis, watak antagonis, watak dinamik, watak statik, watak bulat, watak putih dan watak sampingan (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 130-131).
Watak protagonis merupakan watak utama yang berperanan penting dalam menghidupkan sesebuah cerita atau karya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131). Contoh watak utama dalam cerita Seri Rama ialah Raja Seri Rama. Manakala watak utama dalam Cerita Malim Deman ialah Tuanku Malim Deman. Watak antagonis pula merupakan watak yang memainkan peranan sebagai penentang atau musuh kepada watak utama (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131). Contoh watak antagonis dalam Cerita Malim Dewa ialah Maharaja Pertukal yang menjadi musuh kepada watak utama iaitu Tuanku Gombang Malim Dewa kerana mengiginkan tunangan Tuanku Malim Dewa yang bernama Tuan Puteri Andaman Dewi. Watak dinamik ialah watak dalam sesebuah cerita yang bergerak bukan sahaja daripada aksi luaran malahan daripada segi pemikiran (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131). Watak statik merupakan watak yang tidak berkembang atau menonjol dalam sesebuah cerita (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131) . Watak bulat merupakan yang aktif dalam sesebuah cerita iaitu terdapat perubahan pada fikiran, aksi atau perwatakannya dari semasa ke saemasa dan berbeza daripada watak-watak yang lain (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131). Watak putih ialah watak yang memainkan peranan yang positif dan baik dalam sesebuah cerita atau karya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 131). Watak sampingan pula merupakan watak menjadi pembantu yang membantu watak utama dalam sesebuah cerita atau karya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir 2007: 132)
Dalam Cerita Lipur Lara  ini nilai ketabahan bukan sahaja ditonjolkan melalui watak protagonis iaitu watak utama malahan turut ditonjolkan melalui watak-watak yang lain.

6.2  Nilai Ketabahan melalui watak Kera Kecil Imam Ternganga

Nilai ketabahan dalam Cerita Seri Rama ditonjolkan melalui watak Kera Kecil Imam Ternganga yang merupakan watak bulat atau watak bundar dalam Cerita Seri Rama. Hal ini demikian kerana wataknya yang bersifat aktif dan terdapat perubahan dalam aksi dan perwatakannya serta berbeza dengan watak-watak yang lain.
 Kera Kecil Imam Ternganga tabah menerima nasib dirinya yang dilahirkan sebagai seekor kera. Kera Kecik Imam ternganga ini telah dibuang oleh ayahnya ke hutan banat tempat tiada pernah manusia sampai kerana ayahnya berasa malu mempunyai anak seekor kera. Contohnya:-

“…sekira-kira tiga bulan sepuluh hari sudah lamanya, adapun beta fikir kerana beta suatu raja yang besar, memegang perintah negeri, maka beranak akan kera, sangatlah malunya. Di dalam hati beta itu, baiklah kita buangkan anak beta, Kera Kecik Imam Ternganga ke tengah hutan yang lepas, tempat tiada pernah sampai manusia, disanalah baik kita hantarkan Kera Kecik Itu.”
(Cerita Lipur Lara, 2004: 25)

Semasa berada di dalam hutan yang banat Kera Kecik Imam Ternganga ini mengembara untuk meneruskan kehidupannya sehinggalah dia bertemu dengan moyangnya Raja Syah Numan. Pada mulanya Raja Syah Numan bersetuju untuk membenarkan Kera kecik Imam Ternganga tinggal bersamanya. Tetapi setelah mengetahui perihal Kera Kecik Imam Ternganga yang telah menghabiskan makanan sebanyak empat puluh empat bakul hanya dalam masa satu malam Raja Syah Numan menukar fikirannya. Raja Syah Numan menyuruh Kera Kecik keluar dari negerinya dan pergi ke Gunung Inggil Beringgil. Kera Kecik Imam Ternganga tidak membantah malahan dia hanya menurut perintah Raja Syah Numan. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan tersebut:-

“Hai Kera Kecik patutlah engkau dibuangkan oleh ayah bonda engkau ke dalam hutan yang lepas, rfimba yang banat, kerana tiada patut tubuh engkau dengan makan seperti gajah. Tubuh engkau sebesar lengan, patutkah taruk kayu empat puluh empat bakul habis dengan satu malam engkau makan? Jika demikian itu, aku pun tiada lalu menaruh engkau di dalam negeri aku ini. Besok hari pergilah engkau naik di atas Gunung Inggil Beringgil itu, kerana cetera orang konon, banyak pelbagai buah kayu makan-makanan di situ.
(Cerita Lipur Lara, 2004:30-31)

Meskipun Raja Syah Numan juga tidak dapat menerima kehadirannya, Kera Kecik Imam Ternganga tetap meneruskan kehidupannya. Kera Kecik Imam Ternganga tidak pernah menyesal dilahirkan sebagai seekor kera. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa Kera Kecik ini tabah dalam menerima nasib dirinya kerana dia tidak pernah mengeluh dilahirkan sebagai seekor kera Kera malahan dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap ayahnya Raja Seri Rama yang telah membuangnya ke dalam hutan banat dan terhadap Raja Syah Numan yang juga tidak dapat menerima kehadirannya. Kera Kecik imam ternganga sudi menolong ayahnya yang berada dalam kesusahan. Dia membantu ayahnya Raja Seri Rama mendapatkan semula bondanya Tuan Puteri Bunga Setangkai daripada cengkaman Maharaja Duwana. Sebagai ganjaran Kera Kecik Imam Ternganga hanya meminta untuk makan dan tidur bersama-sama dengan ayahnya. Dia mahu statusnya sebagai anak diakui oleh ayahnya. Berkat nilai ketabahan yang ada dalam diri Kera Kecik Imam Ternganga itu, dia akhirnya menjelma kepada bentuk asalnya sebagai manusia yang diberi nama Raja Mambang Bongsu setelah sarung keranya dibakar oleh  Puteri Renik Jintan iaitu isterinya dan menjadi raja di Bandar Tahwil.


6.3  Nilai Ketabahan melalui watak Burung Bayan

Nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara ini seterusnya ditonjolkan melalui watak Burung Bayan yang terdapat dalam Cerita Malim Dewa. Burung Bayan merupakan sampingan yang sentiasa membantu watak utama iaitu Tuanku Gombang Malim Dewa dalam cerita ini.
      Burung Bayan tabah dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya oleh Tuanku Gombang Malim Dewa. Tuanku Gombang Malim Dewa telah menitahkan Burung Bayan untuk mencari permaisuri yang sepadan dengan dirinya. Burung Bayan dengan bersusah payah terbang ke serata negeri untuk mencari permaisuri yang sepadan dengan Tuanku Gombang Malim Dewa. Contohnya:-

“Maka inilah hajat ayahanda menyilakan anakanda ke mari, hendak minta carikan tolok banding ayahanda merata-rata dunia ini, kerana hendak beristeri dengan seorang anak manusia yang elok rupa parasnya, yang patut menjadi permaisuri di dalam negeri ini.”

“... Insya-Allah Taala; berkat denagn tinggi daulat tuanku, bolehlah patik pergi selilit Pulau Perca, selengkung Tanah Minangkabau, mencarikan tolok banding tuanku. Remak ranggas sayap dan kepak, gugur pun kuku patik ini, tiadalah patik mengadap ke bawah duli yang maha mulia lagi.”
(Cerita Lipur Lara, 2004:94-95)

      Dalam petikan tersebut jelas memperlihatkan bahawa burung bayan rela bersusah payah untuk mencarikan jodoh buat Tuanku Gombang Malim Dewa. Dia tidak akan kembali mengadap Tuanku Gombang Malim Dewa sekiranya tidak menemukan jodoh untuk Tuanku Gombang Malim Dewa meskipun sayap dan kepaknya remak dipuput angin, dipercik oleh embun dan disinar oleh matahari. Setelah bersusah payah terbang ke serata negeri selama tiga bulan sepuluh hari akhirnya Burung Bayan menemui Tuan Puteri Gondan Genta Sari di negeri Kuala Medan Baik yang merupakan tunangan pertama Tuanku Gombang Malim Dewa. Setelah itu, Burung Bayan terbang lagi selama tiga bulan sepuluh hari sehingga sampai di di negeri Kuala Air Batu, bertemu pula dengan Tuan Puteri Andam Dewi yang merupakan tunangan kedua Tuanku Gombang Malim Dewa. Burung Bayan meneruskan pencariaanya. Burung Bayan terbang tanpa henti selama enam bulan tanpa makan dan minum sehingga meringgis (gugur) kepaknya kerana menghadapi panas dan sejuk sehinggalah sampai di sebuah negeri di udara. Di situ Burung Bayan bertemu pula dengan Tuan Puteri Nilam Cahaya yang elok rupa parasnya lalu ditunangkan dengan Tuanku Gombang Malim Dewa menjadi tunangan ketiga Tuanku Gombang Malim dewa. Kesusahan yang dialami oleh Burung Bayan semasa mencari jodoh buat Tuanku Gombang Malim Dewa dihadapi dengan tabah untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan. Burung Bayan tidak hanya mencari seorang permaisuri sahaja, tetapi dengan bersusah payah Burung Bayan mencari tiga orang Tuan Puteri untuk dijadikan permaisuri dan digandingkan dengan Tuanku Gombang Malim Dewa. Bukti kepayahan yang dialami oleh Burung Bayan dapat dibuktikan melalui petikan berikut:-

“… hendak mencari tolok bandingan otak batu kepalanya Tuanku Malim Dewa, tiada dapat dengan sepatutnya di dalam hasrat hatinya: jumpa dengan putih terlesih sangat, jumpa dengan hitam terlegam sangat, jumpa dengan rendah terpendek sangat, jumpa yang tinggi terunjau sangat. Maka ia terbang tiada berhenti lagi  sehingga sampai enam bulan sepuluh hari, tiada makan dan tiada minum, sehingga meringgis kepak dan sayap dengan beberapa ia merasai panas dan dingin, melainkan terlayang-layang sahaja di atas udara itu melihat kemana-mana ada negeri hendak dilihatnya.”
(Cerita Lipur Lara, 2004:108)

Meskipun telah menemui seorang bakal permaisuri buat Tuanku Gombang Malim Dewa, Burung Bayan meneruskan pencariannya sehingga menemui tiga orang jodoh buat Tuanku Gombang Malim Dewa berdasarkan tiga bentuk cincin yang dibekalkan oleh Tuanku Gombang Malim Dewa kepadanya. Dia tidak berputus asa malahan tabah meneruskan pencariannya sehingga bertemu dengan ketiga-tiga calon yang sepadan dengan Tuanku Gombang Malim Dewa. Berkat ketabahannya, Burung Bayan berjaya menamatkan pencariannya itu.


6.4  Nilai Ketabahan Melalui watak Malim Deman

Nilai ketabahan dalam Cerita Lipur Lara juga diperlihatkan melalui watak Utama dalam Cerita Malim Deman iaitu Tuanku Malim Deman.  yang tabah mengahadapi kesusahan semasa pengembaraannya ke Kayangan untuk bertemu dan mendapatkan semula isteri serta anaknya yang membawa diri ke kayangan setelah diabaikan olehnya semasa mereka berada dibumi. Tuanku Malim Deman menyedari dan menyesal dengan perbuatannya yang tidak mengendahkan isterinya iaitu Puteri Bongsu setelah Puteri Bongsu bersama puteranya Tuanku Malim Dewana kembali ke kayangan. Setelah pemergian isterinya Tuanku Malim Deman pergi mengembara merentasi hutan belantara sehingga dirinya habis di palut selumbar namun dia tetap meneruskan perjalanan sehinggalah di sampai di kampung nenek kebayan tempat dia dikahwinkan dengan isterinya. Nenek kebayan memberitahu khabar bahawa isterinya telah ditunangkan oleh ayahandanya dengan seorang anak raja bernama Mambang Molek. Tuanku Malim Deman merasa amat sedih lalu berjalan keluar daripada rimba sehingga sampai pada suatu malam Tuanku Malim Deman bermimpi dating seorang wali Allah memberitahunya untuk meminjam borak daripada Puteri Terus Mata iaitu anak raja jin yang tinggal di hulu sungai. Setelah hari siang Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanannya merentasi hutan rimba sehingga bertemu dengan Tuan Puteri Terus Mata. Meskipun terpaksa merentasi hutan rimba yang besar, namun Tuanku Malim Deman tetap meneruskan perjalanannya demi mendapatkan semula anak dan isterinya yang dicintai sehingga bertemu dengan Tuan Puteri Terus Mata. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan yang berikut:-

“ Telah sudah siang maka baginda pun lalulah pergi berjalan ke tempat seperti di dalam mimpinya itu. Selang antara beberapa lamanya menempuh hutan rimba yang besar, dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala sampailah kepada suatu padang; di tengah padang itu kelihatan suatu mahligai terlalu indah-indah perbuatannya. Maka kepada masa ketika itu Tuan Puteri Terus Mata sedang berdiri di tingkap rautan mukanya sambil memandang keliling mahligainya. Maka terpandanglah ia kepada seorang muda menuju ke mahligai itu.”
(Cerita Lipur Lara, 2004: 233)

Setelah meminjam borak daripada Tuan Puteri Terus Mata. Tuanku Malim Deman pergi naik ke atas kayangan. Setelah sampai di atas kayangan Tuanku Malim Deman sekali lagi berdepan dengan satu masalah iaitu baginda perlu beradu kesaktian dengan Raja Mambang Molek bagi merebut semula isterinya Puteri Bongsu yang telah menjadi tunangan kepada Raja Mambang Molek. Meskipun banyak masalah yang terpaksa dihadapi namun Tuanku Malim Deman tabah menghadapinya untuk memiliki semula isterinya yang akan dikahwinkan dengan Raja Mambang Molek. Baginda telah berlawan dengan Raja Mambang Molek dan berjaya mengalahkan Raja Mambang Molek. Berkat ketabahan Tuanku Malim Deman baginda berjaya memiliki semula isteri dan anaknya dan membawa mereka kembali ke bumi dengan izin daripada ayahanda dan bonda Puteri Bongsu.


6.5  Nilai Ketabahan Melalui watak Anggun Cik Tunggal

Nilai ketabahan seterusnya dipaparkan melalui watak Raja Anggun Cik Tunggal dalam Cerita Anggun Cik Tunggal.  Raja Anggun Cik Tunggal merupakan watak utama dalam cerita ini kerana berfungsi untuk menghidupkan cerita.
      Nilai ketabahan jelas diperlihatkan apabila Raja Anggun Cik Tunggal tabah mencari nenek-nenek dan datuk-datuk saudaranya seramai tujuh orang yang telah ditawan  dan menjadi tahanan Raja Bedurai Putih.  Raja Anggun Cik Tunggal pergi belayar untuk mencari nenek-nenek dan datuk-datuknya yang telah ditawan. Semasa belayar kapal yang dinaiki iaitu Dendang Panjang telah rosak dan dimasuki air, namun Dendang Panjang segera dibaiki untuk meneruskan pelayaran. Setelah tujuh hari tujuh malam barulah ribut reda dan Raja Anggun Cik Tunggal menyuruh Tukang Muda melabuhkan Dendang Panjang di tengah Lautan Jambar Jambu sebelum meneruskan pelayarannya semula. Setelah itu Raja Anggun Cik Tunggal meneruskan pelayarannya sehingga bertemu dengan Kapal Petolo Kapal Petoloi milik Raja Berdurai Putih dan berperang. Peperangan berlangsung selama lima belas hari dan lima belas malam. Setelah menghadapi peperangan dan berjaya membunuh Raja Bedurai Putih, Raja Anggun Cik Tunggal berjaya membebaskan empat orang nenek dan datuknya iaiitu  Raja Alang Syamsudin, Raja Pati Duraidin, Tuan Puteri Pinang Masak dan Tuan Puteri Warna Embun yang terpenjara dalam bahtera Raja Bedurai Putih. Setelah empat orang nenek dan datuknya berjaya dibebaskan, Raja Anggun Cik Tunggal bertekad ingin membebaskan tiga orang lagi nenek dan datuk saudaranya  Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan tersebut:-

“ … Akan tetapi beta suruhkan Cik Nakhoda kembali dahulu ke negeri Tiku Pariaman, bawa kapal kapal Rja Bedurai Putih ini, tunda masuk, labuhkan di kuala negeri, serta pula sembahkan kepada ayahanda dan bonda yang beta ini belumlah balik lagi, hendak langsung ke Teluk Senai Tambang Papan, hendak mengadap Raja Pertukal dan ke negeri Bandan, beta hendak mengadap Raja Sianggerai,…”
(Cerita Lipur Lara, 2004:342)

Meskipun terpaksa menghadapi peperangan untuk membebaskan keempat nenek dan datuk saudaranya, namun Raja Anggun Cik Tunggal tidak berputus asa untuk terus mencari tiga orang lagi nenek dan datuk saudaranya. Mereka ini berjaya dibebaskan  hasil daripada ketabahan Raja Anggun Cik Tunggal untuk pergi berjumpa dengan  Raja Pertukal dan Maharaja Singgerai. Raja Anggun Cik Tunggal ini cekal hatinya kerana meskipun pada mula pelayarannya kapalnya mengalami kerosakan namun dia tetap meneruskan perjalanan untuk mencari nenek dan datuk saudaranya sehingga ketujuh-tujuh nenek dan datuknya berjaya ditemui.

6.6  Nilai Ketabahan melalui watak Raja Bujang Selamat

Dalam Cerita Raja Muda nilai ketabahan ditonjolkan melalui watak Raja Bujang Selamat. Bujang Selamat merupakan watak dinamik dalam cerita ini. Nilai ketabahan melalui watak Raja Bujang Selamat ini diperlihatkan apabila dia tabah menghadapi nasibnya sebagai yatim piatu yang menumpang kasih dengan Sultan Degar Alam dan Tuan Puteri Nur Lela yang telah memeliharanya dari kecil setelah kemangkatan ayahanda dan bondanya. Raja Bujang Selamat berhasrat ingin pergi mengembara namun niatnya terpaksa dilupakan sahaja kerana ayahandanya Seri Sultan Degar Alam tidak mengizinkannya. Raja Bujang Selamat kemudiannya dikahwinkan dengan Puteri Lindungan Bulan. Berbeza sekali dengan watak Raja Muda meskipun ditegah oleh ayahanda dan kakandanya baginda tetap pergi mengembara tanpa pengetahuan ayahanda dan kakandanya untuk mencari Puteri seperti yang di dalam mimpinya untuk dijadikan isteri.
     Tidak berapa lama setelah Raja Bujang Selamat berkahwin dengan Puteri Lindungan Bulan, Puteri Lindungan Bulan pun hamil dan mengidam ingin memakan buah nyiur gading yang pokoknya tinggi sampai ke udara. Bagi memenuhi keinginan isterinya itu Raja Bujang Selamat pergi meminjam parang putting daripada Raja Muda kemudian memanjat pokok nyiur gading yang tinggi itu. Meskipun memakan masa yang lama dan pelbagai bahaya yang terpaksa dihadapi seperti terjumpa dengan binatang yang berbisa dan berhadapan dengan ular yang besar, namun Raja Bujang Selamat tetap memanjat pokok tersebut untuk mendapatkan nyiur gading buat isterinya. Hasil ketabahan Raja Bujang Selamat, baginda berjaya memperoleh sebiji nyiur gading untuk disantap oleh isterinya. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:-

“Maka parang itu pun diberikan Raja Muda kepada Raja Bujang Selamat. Maka disambut oleh Raja Bujang Selamat dengan kesukaannya lalu kembali ke istana besar mendapatkan isterinya, seraya bermohon kepada isterinya hendak memanjat nyiur gading itu.”
“Setelah dating keesokan harinya, Raja Bujang Selamat pun lalulah memanjat nyiur itu; setelah beberapa dijumpainya binatang tebuan, penyengat, kerawai, naming, sekalian binatang yang bias-bisa adalah semuanya…”
(Cerita Lipur Lara, 2004: 408)

     Nilai ketabahan melalui watak Raja Bujang Selamat juga dapat dilihat apabila baginda berusaha pergi mencari Raja Muda yang hilang meskipun memakan masa yang agak lama. Raja Bujang Selamat berjalan seorang diri merentasi hutan dan padang. Pada waktu malam baginda berhenti, apabila tiba waktu siang baginda meneruskan perjalanan untuk mencari Raja Muda yang hilang. Setelah tiga bulan mencari barulah Raja Bujang Selamat bertemu dengan Raja Muda. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:-


“Ayuhai adinda, sangatlah rindu dendamnya kakanda akan adinda; selama ini kita bercerai, sudah tiga bulan kakanda mencari adinda segenap hutan rimba belantara, dititahkan oleh paduka ayahanda.
(Cerita Lipur Lara, 2004: 423)

Raja Bujang Selamat tidak pernah berputus asa untuk mencari Raja Muda yang hilang meskipun baginda terpaksa mengaharungi hutan rimba dan masa yang diambil untuk menemukan Raja Muda itu agak panjang.

6.7  Kesan Nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara dalam kehidupmasyarakat dan pembaca.

Berdasarkan analisis yang telah dibuat berkaitan nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara. Khalayak pembaca boleh menerapkan dan mengamalkan nilai ketabahan ini dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai ketabahan yang dikemukakan melalui watak-watak yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara ini boleh dijadikan sebagai contoh dan teladan dalam kehidupan. Dalam menjalani kehidupan seharian kita semestinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup. Oleh hal yang demikian nilai ketabahan ini penting untuk diamalkan supaya kita akan mempunyai hati yang cekal dan jiwa yang cekal dalam menghadapi pelbagai cabaran tersebut. Nilai ketabahan inilah yang akan menjadikan kita seorang manusia tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
      Jika dilihat daripada watak Burung Bayan yang tabah melaksanakan tugas yang telah diberikan kepadanya, adakah kita sebagai manusia mampu untuk memikul tugas yang sama jika diamanahkan kepada kita?. Oleh hal yang demikian kita perlu menjadikan watak Burung Bayan itu sebagi pencetus semangat dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan yang telah di amanahkan kepada kita.
      Melalui watak Kera Kecik Imam Ternganga pula kita dapat mencontohi nilai ketabahan yang ditunjukkan apabila dia tabah dalam menerima kekurangan dan nasib dirinya yang dilahirkan sebagai kera sehingga dia dibuang oleh ayahnya sendiri. Namun dia sesekali tidak pernah mengeluh sehingga akhirnya dia menjelma sebagai manusia yang mempunyai rupa paras yang elok. Hal ini dapat mengajar kita supaya sentiasa bersyukur atas sesuatu yang kita dimiliki dan jangan mengeluh sekiranya ditimpa sesuatu musibah tetapi anggaplah musibah tersebut sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi untuk memperolehi kehidupan yang lebih bermakna.
             

7.0  Kesimpulan

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan bahawa nilai ketabahan yang terdapat dalam Cerita Lipur Lara bukan sahaja ditonjolkan melalui watak-watak utama malahan turut ditonjolkan melalui watak-watak lain yang telah dijelaskan oleh pengkaji. Nilai ketabahan yang diketengahkan dapat dijadikan sebagai pedoman kepada para pembaca dan masyarakat. Cerita Lipur Lara yang pada asalnya disampaikan bertujuan untuk menghiburkan hati yang lara menjadi salah satu karya yang mempunyai banyak unsur-unsur nilai yang dapat dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni ini amat penting diamalkan dalam diri setiap orang supaya dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan seterusnya melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, intelek, emosi dan rohani. Melalui kajian ini pengkaji berharap dapat membantu masyarakat untuk memahami konsep nilai ketabahan dengan jelas melalui contoh watak yang dikemukan dan seterusnya nilai ini dapat diamalkan dalam kehidupan seharian. Pengkaji juga berharap masyarakat menyedari tentang betapa pentingnya nilai ketabahan ini diamalkan untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan. Sekiranya nilai ketabahan ini tidak wujud dalam diri seseorang, seseorang itu tidak akan dapat mencapai setiap sesuatu yang diingini kerana tiada jalan pintas untuk kita terus berjaya melainkan terpaksa menghadapi liku-liku dalam kehidupan dari alam kanak-kanak sehinggalah menjangkau ke usia tua.

Bibliografi

Ab. Rahman Ab. Rashid, (2012).  Nilai Estetik Komsas (Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu): Unsur Pembinaan Modal Insan dlm Kertas Kerja Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu: Pengajian Bahasa.Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Rashid Md Idris, (2011). Nilai Melayu dalam Pantun. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Taib Osman, (2004). Cerita Lipur Lara. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, (2007). Komsas Pegangan  Teras Keterampilan. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Radiah Nordin, (1985). Ulasan dan Contoh Jawapan Hikayat Malim Deman. Kuala Lumpur: Anthonian Publishing Sdn.Bhd.

Seri Lanang Jaya Hj Rohani et. al (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit UPSI.


No comments: