1.0 ABSTRAK KAJIAN.
Kajian mengenai Hang Tuah dalam kertas kerja ini adalah
bertumpukan mengenai peranan Hang Tuah
yang dilihat sebagai lambang semangat orang Melayu pada ketika itu. Kertas
kerja ini akan menelusuri tiga peristiwa utama yang telah dipilih bagi
membuktikan ketaatan Hang Tuah terhadap Sultan Melaka. Peristiwa pertama adalah
mengenai perkahwinan Sultan Melaka dengan Tun Teja , kemudian kami mengupas
pula peristiwa peminangan puteri Gunung Ledang dan akhir sekali kertas kerja
ini turut membincangkan mengenai pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.
Diakhir
kertas kerja ini akan turut menganalisis peranan Hang Tuah sebagai satu
perlambangan , satu perbandingan dan sebagai seorang tokoh epik nasional.
Sebagai penutupnya , kertas kerja ini akan mengemukakan pandangan masyarakat
moden terhadap Hang Tuah sama ada relevan atau tidak kewujudan Hang Tuah atau
sekadar mitos masyarakat Melayu Silam semata-mata.
2.0
PENGENALAN
Laksamana
Hang Tuah ialah seorang pahlawan
legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya bermula pada
tahun 1400 sehingga 1511. Menurut
rekod sejarah, Laksamana Hang Tuah dilahirkan di Kampung Sungai Duyong, Melaka iaitu pada tahun 1444. Bapanya
bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga
pernah menjadi hulubalang istana yang
handal suatu ketika duhulu manakala ibunya pula merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana
yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang
amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat
orang rakannya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang
Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama-sama di bawah
pengajaran Adiputra di Gunung Ledang. Setelah selesai menuntut ilmu, mereka berlima
kembali ke kota Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato'
Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara kagum
dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya
mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan
sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat
gelaran Laksamana.
Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di
tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya
membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari.
Taming Sari ialah seorang pendekar yang kebal dan tidak dapat dilukakan. Namun
Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada
kerisnya. Oleh itu Hang Tuah telah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari.
Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah.
Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.
Hang Tuah telah
diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk
dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun
dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas
hasutan Patih Karma Vijaya bagi
dijadikan gundik sultan.
Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat
berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu.
Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang
telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh
Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka. Hang Jebat telah dilantik
oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari
telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang
Tuah menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman
mati. Hang Jebat bertindak menderhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana.
Tindakan Hang Jebat itu tidak dapat dihalang oleh mana-mana pendekar atau
panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat yang telah menjadi kebal kerana
adanya keris Taming Sari di tangannya.
Sultan Mahmud
terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda
baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Pada masa inilah,
bendahara memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah
dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari
bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada
Hang Jebat dan membunuhnya. Dalam pertarungan tersebut, Hang Jebat telah cuba
membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu
sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar
Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa
jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah
yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang
tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenarannya. Tragedi ini masih menjadi
perbalahan orang melayu sampai sekarang.
Kesimpulannya,
berdasarkan ringkasan cerita-cerita di atas mengenai Hang Tuah akan lebih
diperincikan lagi dalam tugasan ini. Tugasan ini akan meneliti kisah
perkahwinan sultan Mahmud Syah dan Tun Teja, peminangan Puteri Gunung Ledang
dan pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat.
3.0
PENJELASAN
KETAATAN HANG TUAH KEPADA SULTAN.
3.1 PERKAHWINAN
SULTAN DENGAN TUN TEJA.
Tun Teja Ratna Benggala atau Tun
Teja, merupakan anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang
ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman
dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke 8. Tun Teja dikatakan terlalu elok
rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang, namun
begitu telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja
hingga ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian
isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda telah menghantar utusan peminangan
ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja berikutan pertunangan
Tun Teja dengan Sultan Pahang.
Tun Teja
disebut dalam dua hikayat Melayu lama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang
menyatakan Hang Tuahlah yang
memujuk Tun Teja lari tetapi dalam Sejarah Melayu ia
dikatakan Hang Nadim. Di dalam versi
Hikayat Hang Tuah yang menyebut tentang Hang Tuah yang telah difitnah oleh
orang-orang istana Melaka dan telah membawa diri ke Pahang setelah dinasihati
oleh Bendahara Paduka Raja. Sesampai di Pahang, Hang Tuah telah membuat
perhubungan dengan Bendahara Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja dan Tun
Jenal, adinda Tun Teja. Pada mulanya Tun Teja menolak akan pelawaan perhubungan
dengan Hang Tuah namun setelah diberi ubat guna-guna melalui Dang Ratna, inang
pengasuh Tun Teja yang juga menjadi ibu angkat Hang Tuah.
Hang
Tuah mengatakan hasrat hatinya kepada inang untuk memiliki Tun Teja. Pada
asalnya inang merasa berat hati untuk menyampaikan hasrat hang Tuah itu namun
kerana kasihnya terhadap Hnag Tuah, dia sanggup melakukannya. Inang tersebut
merasa gagap untuk memberitahu perkara yang sebenar kepada Tun Teja dan
akhirnya inang itu Berjaya meluahkan segalanya. Namun, Tun Teja marah dengan
kata-kata inang tersebut lalu disuruhnya dayang-dayang untuk mengocoh mulut
inang itu. Apabila inang itu pulang ke rumah dan memberitahu mengenai Tun Teja
yang amat marah dengan hasrat Hang Tuah itu maka Hang Tuah pun menggunakan ilmu
pengasih dengan ‘jebat’ yang diperolehinya daripada seorang perempuan tua. Hang
Tuah menyuruh inang sekali lagi untuk memalitkan ‘jebat’ itu ditempat Tun Teja
duduk.
Sebaik
sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan, Tun Teja pada masa itu tidur, terbangun dan
mencari-cari inang tua itu. Tun Teja juga teringin untuk bertemu dengan Hang
Tuah. Hang Tuah juga dapat mengatakan hasratnya untuk pergi ke Melaka selama 3
hari kepada inang dan juga Tun Teja lalu Tun Teja merasa sedih. Pada malam itu,
Tun Teja bertemu dengan Hang Tuah secara senyap-senyap bersama-sama dengan
dayang-dayang melalui jalan lorong di mana mereka tersesat akibat termasuk ke
dalamm lorang yang salah sehinggakan ada yang menggap bahawa malaikat turun
kerana terhidu bauan yang harum daripada badan Tun Teja sendiri. Tidak lama
kemudian, Hang Tuah menyuruh inang dan juga Tun Teja bersiap sedia pergi ke
Melaka bersama-sama dengan semua dayang-dayang yang ada di Istana yang teramat
banyak bersertakan dengan harta mereka sekali.
Permergian
Tun Teja ini tidak diketahui oleh kedua-dua orang tuanya. Hang Tuah dan juga
Tun Teja ini menumpang kapal Tun Bija Sura dan Tun Ratna Diraja yang kebetulan
singgah di Inderapura. Pada awalnya, mereka tidak membenarkan Tun Teja serta
yang lainnya manaiki kapal mereka Tun Teja itu adalah anak Bendahara
Inderapura. Walaubagaimanapun, mereka akhirnya setuju apabila melihat Hang Tuah
marah yang menyebabkan kapal meraka bergegar seperti hendak terbalik kapal
mereka itu. Berita mengenai Tun Teja dilarikan oleh Hang Tuah heboh dan ini
meyebabkan Raja Inderapura marah lalu mengarahkan laksmana, Seri Maharaja Lela,
Tun Jenal dan juga Tun Pekerma untuk mengikut kapal Hang Tuah itu.
Tun
Jenal dan yang lainnya terpaksa mengundurkan diri kerana kehebatan Hang Tuah
dalam memanah begitu hebat dan tiada tandingannya. Setibanya Di Melaka, gajah
yang dibawa oleh Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura diturunkan. Memandangkan
rupa gajah tersebut begitu baik rupanya sehingga tiada seorang pun yang
menyedari Hang Tuah di mana tangannya diikat olehnya sendiri. Sebaik sahaja
gajah tersebut diberi nama Permata Selan, barulah raja Melaka menyedari
kehadiran Hang Tuah dan Raja Melaka merasa hairan mengapa Hang Tuah boleh
berada disitu. Setelah menjelaskan semuanya, raja Melaka merasa gembira dan
menyuruh semua isteri bendahara-bendahara menjemput Tun teja yang masih berada
diatas kapal.
Melihat
kehadiran isteri-isteri bendahara itu datang, tahulah Tun Teja bahawa dirinya
akan dijadikan isteri kepada Raja Melaka bukan isteri Hang Tuah. Segara Hang
Tuah meniup-niup ilmu pembenci kepada Tun Teja supaya dia membenci dirinya dan
menyukai Raja Melaka. Akhirnya, Raja Melaka pun berkahwinlah dengan Tun Teja.
Pada
tahun 1511 Portugis menyerang Melaka. Oleh kerana serangan bertambah hebat,
pembesar-pembesar telah menasihatkan Sultan Mahmud berpindah ke Istana
hinggapnya iaitu istana Kayu Ara yang
terletak di Lembah Bertam (Bertam
Hulu). Pada waktu itu Sultan Mahmud telah menyerahkan kerajaannya kepada anaknya
Sultan Ahmad.Ketika di Istana Kayu Ara, Tun Teja telah gering. Pada Waktu
itu serangan Portugis bertambah hebat dan berita Portugis hendak menyerang
Bertam melalui sungai Melaka talah sampai kepada sultan. Sultan telah
diminta mengundurkan diri ke Bentayan (Muar).
Pada waktu itu Tun Teja sangat
gering, Sultan Mahmud telah memerintahkan orang-orangnya menyediakan tandu
untuk menandu Tun Teja ke Bentayan. Dari Bertam sultan Mahmud dan
pengikut-pengikutnya telah bergerak ke Batu Hampar. Bersama-sama Sultan Mahmud ialah Seri Nara Diraja Tun Hamzah (Penasihat
Raja) dan Sang Sura (Ketua
Angkatan Perang). Selain dari itu ialah isteri-isteri, kaum kerabat diraja,
pebesar-pembesar lain dan pengikut setianya. Dari Batu hampar mereka
dipercayai, berundur melalui laluan Bukit Katil, Duyung, Teluk Mas, serkam,
Umbai dan ke Merlimau. Sepanjang jalan merentas hutan dan denai mereka
sampai di satu kawasan tidak jauh dari pantai.
Mengikut sumber sejarah, “Setelah beberpa hari berjalan menuju ke
Muar, pada pada satu tempat
yang tidak jauh dari tepi pantai, lalu dengan perintah Sultan Mahmud, angkatan itu berhenti disitu. Baginda
menyuruh membuat tempat perhentian. Kata baginda kepada Sang Sura dan Seri Nara Diraja, berjaga-jagalah kita di
sini sehari dua, beta rasa dinda beta Tun Teja harus telah sampai saatnya.”
Kawasan yang di maksudkan itu ialah
kawasan Pengkalan Samak, Merlimau yang sekarang. Di kawasan inilah angkatan
Sultan Mahmud singgah sebelum meneruskan perjalanannya ke Muar. Kawasan
ini terletak berhanlir dengan laut. Dahulu kira-kira 20-30 meter sudah sampai
ke tepi pantai. Kini pantai sudah jauh ke laut, kira-kira 100 meter dari
Pengkalan Samak. Kampung ini disebut sebagai Kampung MENTEJA.
“Setelah Tun Teja dipindahkan di
atas hamparan dengan dikelilingi oleh isteri-isteri baginda yang lain, Sultan
Mahmud duduk hampir dengan Tun Teja.tiba-tiba Tun Teja yang telah beberapa hari
tidak berkata-kata memandang baginda dan dan dengan suara perlahan-lahan cuba
hendak menyampaikan permintaan kepada baginda tetapi sia-sia kerana suaranya
tidak kedengaran lagi kemudian gerak bibirnya berhenti. Masa itu Sultan Mahmud
pun tahulah isterinya telah meninggal dunia ..”
Sultan Mahmud mendakap isteri
kesayangannya sambil menangis teresak-esak. Berita kemangkatan Tun Teja diterima
oleh seluruh angkatan Sultan dengan penuh dukacita. Setelah itu Sultan Mahmud
berbincang dengan Seri Nara Diraja, Sang Sura dan ahli kelurganya bagaimana
hendak membawa jenazah Tun Teja ke Muar, sedangkan perjalanan sangat jauh dan
makan masa beberapa hari.
Setelah berbincang mereka bersetuju
yang Tuan Teja hendaklah dimakamkan ditempat itu juga (Pengkalan Samak,
Merlimau) dengan alasan Muar masih jauh, perjalanan makan masa 4 atau 5 hari,
tidak ada kemudahan menyelamatkan jenazah yang mungkin menjadi terlalu uzur
dan tidak menyiksa mayat. Semua bersetuju dimakamkan di kawasan itu.
Kawasan yang dipilih oleh Sultan Mahmud terletak di sebuah kawasan yang tinggi
sedikit di sekitar kawan itu. ( Kawasan ini sebenarnya kawasan tanah tinggi
tetapi apabila diigunakan oleh penduduk tempatan sebagai aktiviti pertanian
kawasan ini telah runtuh akibat dari dijadikan tempat rehat, Menambat kerbau,
menjemur padi, menanam padi, membaja padi, membut pondok, menyimpan benih dan
sebagainya).
Jenazah Tun Teja selamat dikebumikan dalam
keadaan yang serba sederhana. Sultan Mahmud dan angkatannya tinggal di Merlimau
selama tiga hari selepas kemangkatan Tun Teja. Pada pagi hari yang keempat
Sultan Mahmud menziarahi makam Tun Teja dan selepas berdoa baginda dan angkatannya
berangkat ke Muar. Bersemadilah Jenazah Tun Teja di Solok Menteja, Pengkalan
Samak, Merlimau Melaka.
3.1.1 PERISTIWA PENTING.
1.
Hang Tuah menyuruh inang untuk menyampaikan hasrat
hatinya terhadap Tun Teja.
2. Tun Teja marah sebaik sahaja
inang tersebut menyampaikan hasrat Hang Tuah itu lalu menyuruh dayang-dayangnya
untuk mengocoh mulut inang itu.
3. Hang Tuah menyuruh inang itu
untuk mencalit ilmu pengasih pada tempat duduk Tun Teja.
4. Tiba-tiba Tun Teja merasa rindu
terhadap inang tua itu dan juga kepada Hang Tuah lalu mengarahkan dayangnya
supaya memanggil mereka.
5. Hang Tuah ingin pergi ke Melaka
selama 3 hari dan Tun Teja merasa sedih.
6. Hang Tuah mengajak Tun Teja dan
inang untuk pergi bersamanya dan mereka bersetuju .
7. Pemergian Tun Teja untuk ke
Melaka ini tidak diketahui oleh kedua orang tuanya.
8. Raja Inderapura marah kerana Hang
Tuah melarikan anak bendahara.
9. Raja Inderapura mengarahkan orang
untuk mengikuti mereka pergi ke Melaka.
10. Tun Jenal terpaksa mengundur diri
kerana Hang Tuah merupakan seorang pemanah yang sangat handal.
11. Gajah yang dibawa oleh Tun Ratna
Diraja dan Tun Bija Sura diturunkan setibanya mereka di Melaka.
12. Hang Tuah dihadapkan kepada Raja
Melaka.
13. Raja Melaka merasa gembira
apabila mengetahui Hang Tuah membawa Tun Teja bersama sambil memeluk Hang Tuah.
14. Tun Teja menangis kerana dirinya
akan dikahwinkan dengan Raja Melaka bukan dengan Tun Teja.
15.
Hang Tuah memberikan Tun Teja sejenis sirih supaya
dirinya dibenci dan suka kepada Raja Melaka.
v
UNSUR PENIPUAN.
Hang Tuah menipu Tun Teja dengan alasan bahawa Hang Tuah menyukai Tun Teja padahal Hang Tuah hanya ingin memperdayakan diri Tun Teja untuk menebus kesalahannya terhadap Raja Melaka memandangkan Raja Melaka sangat menyukai Tun Teja. Oleh itu, Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih untuk melembutkan hati Tun Teja supaya dia mahu mengikut Hang Tuah ke Melaka.
Hang Tuah menipu Tun Teja dengan alasan bahawa Hang Tuah menyukai Tun Teja padahal Hang Tuah hanya ingin memperdayakan diri Tun Teja untuk menebus kesalahannya terhadap Raja Melaka memandangkan Raja Melaka sangat menyukai Tun Teja. Oleh itu, Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih untuk melembutkan hati Tun Teja supaya dia mahu mengikut Hang Tuah ke Melaka.
v
UNSUR
TAAT SETIA.
Hang Tuah menolak gelaran
‘Laksamana’ yang ingin diberikan padanya kerana Hang Tuah hanya ingin
bertuankan anak cucu Duli Syah Alam iaitu hanya ingin bertuankan kepada Raja Melaka
serta keturunannya. Ini menunjukkan bahawa Hang Tuah merupakan seorang pahlawan
yang taat setia yang tiada bandingnya walaupun banyak gelaran yang ingin
diberikan kepadanya.
v
UNSUR KASIH SAYANG.
Inang kepada Hang Tuah sanggup membahayakan nyawanya
hanya kerana kasihnya terhadap anak angkatnya iaitu Hang Tuah. Inang dengan takut-beraninya menyampaikan hasratnya
hati Hang Tuah terhadap Tun Teja sebagai bukti bahawa dia amat kasihkan Hang
Tuah sepertimana yang Hang Tuah inginkan. Sebaik sahaja inang menyampaikan
hasrat tersebut, Tun Teja mengarahkan dayamg-dayang untuk mengocoh mulut inang
itu. Ini membuktikan bahawa inang tua tersebut sanggup membahayakan nyawanya
demi anak angkat kesayangannya itu.
3.2 PEMINANGAN
PUTERI GUNUNG LEDANG.
Peristiwa peminangan Puteri Gunung
Ledang merupakan mitos atau lagenda yang sangat terkenal dalam masyarakat
Melayu. Peristiwa ini mengemukakan pelbagai persoalan hidup yang masih terus
dikupas oleh para sasterawan sehingga ke hari ini. Malahan melalui peristiwa ini
pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan iktibar dalam menentukan antara hawa
nafsu dan kasih sayang.
Peristiwa
peminangan Puteri Gunung Ledang bermula apabila Sultan Melaka pada ketika itu
baru sahaja kehilangan permaisuri tercintanya kerana mangkat. Disebabkan oleh
kebesaran dan kemasyuran negeri Melaka pada ketika itu , baginda sangat
berkendakkan seseorang yang luar biasa menjadi permaisurinya. Kehendak seorang
Sultan harus dipenuhi kerana kepercayaan masyarakat Melayu pada ketika itu
pantang rakyat derhaka kepada Sultannya. Perintah Sultan harus dipenuhi tidak
mengira samaada wanita yang ingin dikahwininya itu tunang lelaki lain ataupun
isteri lelaki lain. Disebabkan itu , para menteri Melaka pada ketika itu
berbincang dan bertukar-tukar pendapat hendak memutuskan siapakah yang paling
layak untuk menggantikan tempat permaisuri. Perkara ini ada dicatatkan dalam Sulalatus Salatin halaman 213.
Petikannya ialah :
Jikalau kita hendak beristerikan sama ada anak raja , raja
yang lain adalah ; yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja lain ,
itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh meminang
Puteri Gunung Ledang : Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.
Setelah
keputusan dicapai , mereka telah memutuskan untuk meminang Puteri Gunung
Ledang. Puteri Gunung Ledang pada ketika itu digambarkan sangat cantik rupa
parasnya. Puteri Gunung Ledang sangat terkenal namun tidak ada sesiapa yang
dapat menawan hatinya. Bagi memenuhi titah Sultan , Hang Tuah , Sang Setia ,
Tun Mamat dan rombongannya telah dikerahkan untuk pergi meminang Puteri Gunung
Ledang.
Perjalanan
ke mendaki Gunung Ledang bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka terpaksa
berhadapan dengan tiupan angin yang kuat dipertengahan jalan mendaki Gunung
Ledang. Oleh kerana usia Hang Tuah yang telah tua pada ketika itu , dia tidak
lagi mampu untuk meneruskan pendakian dan meminta agar Tun Mamat sahaja yang
terus mendaki ke puncak Gunung Ledang. Setibanya Tun Mamat di puncak Gunung
Ledang , dia bertemu dengan dayang utama Puteri Gunung Ledang iaitu Dang Raya
Rani. Tun Mamat pun menyatakan hasrat Sultan untuk meminang Puteri Gunung
Ledang untuk menjadi permaisurinya. Setelah hasrat itu dinyatakan , Dang Raya
Rani ghaib dan muncul pula seorang wanita tua yang memperkenalkan dirinya
sebagai nenek kebayan. Nenek Kebayan menyatakan persetujuan Puteri Gunung
Ledang untuk menjadi permaisuri Sultan namun beliau mengenakan beberapa syarat.
Syarat-syarat yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang ada dinyatakan dalam teks
Sulalatus Salatin halaman 215 iaitu:
Adapun segala kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan
oleh Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang ; akan titah puteri , “
jikalau Melaka hendakkan aku , perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan
jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangannya
hati nyamuk tujuh dulang ; hati kuman tujuh dulang ; air mata setempayan ; air
pinang muda setempayan ; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk.
Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja itu”
Setelah itu rombongan peminangan Puteri
Gunung Ledang pun kembali ke Melaka dan menyampaikan pesanan tersebut kepada
Sultan Melaka. Segala usaha telah dilakukan bagi memenuhi permintaan Puteri
Gunung Ledang itu namun hanya satu permintaan tidak dapat direalisasikan iaitu
darah Raja Ahmad. Raja Ahmad pada ketika itu masih kecil dan Sultan tidak
sanggup untuk mengambil darah anak baginda semata-mata mahu memenuhi hasrat
hatinya memiliki Puteri Gunung Ledang.
Menerusi peristiwa peminangan Puteri
Gunung Ledang ini beberapa persoalan dalam kisah ini dapat dikupas. Antaranya
ialah kisah ini mempersoalkan kesetiaan rakyat terhadap raja pada ketika itu.
Menjadi kewajipan bagi rakyat untuk mematuhi arahan Sultan pada ketika itu.
Sesiapa yang ingkar perintah Sultan akan dianggap derhaka dan akan ditimpa
tulah raja. Walaupun permintaan Sultan adakalanya tidak munasabah , rakyat
tidak berhak untuk membantah titah Sultan. Hal ini jelas terbukti apabila Tun
Mamat berusaha bersungguh-sungguh untuk terus mendaki Gunung Ledang walaupun
terpaksa berhadapan dengan angin yang kuat demi memenuhi titah Sultan. Malahan
peranan rakyat yang sama-sama berganding bahu cuba memenuhi syarat yang boleh
dianggap tidak masuk akal itu membuktinya taatnya rakyat kepada golongan
pemerintah.
Selain itu , persoalan kasih sayang
juga diperlihatkan menerusi peristiwa ini. Puteri Gunung Ledang sengaja
meletakkan syarat-syarat yang tidak masuk akal dalam usahanya menolak
peminangan Sultan Melaka. Malahan syarat terakhir iaitu darah Raja Ahmad
semangkuk sengaja dikemukakan bagi menguji kasih sayang Sultan terhadap
puteranya. Puteri Gunung Ledang sengaja mahu melihat samaada sanggupkah Sultan
mengorbankan darah anaknya yang masih kecil itu demi memenuhi keinginan hawa
nafsunya. Ternyata Sultan Melaka tewas dan tidak mampu untuk memenuhi syarat
tersebut. Baginda akhirnya memutuskan membatalkan hasratnya meminang Puteri
Gunung Ledang. Hal ini ada dinyatakan dalam Sulalatus Salatin :
“Semua kehendaknya itu dapat kita adakan, mengeluarkan darah
anak kita juga itu apatah daya, kerana tiada sampai hati kita”.
Nahtijahnya
, peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang ini banyak memberikan pengajaran
kepada Sultan Melaka. Tidak semua hasrat hatinya dapat dipenuhi walaupun
baginda raja yang berdaulat. Malahan kebijaksanaan Puteri Gunung Ledang
meletakkan syarat yang tidak masuk akal dalam rencananya menolak lamaran Sultan
Melaka wajar dipuji. Tindakkannya sangat berhemah dan dan bak kata pepatah
bersifat serampang dua mata. Walaupun
ianya kelihatan seperti tipu helah namun tindakan seperti ini sahaja yang mampu
menumpaskan nafsu Sultan Melaka yang mahukan isteri yang ramai.
3.3 PERTARUNGAN
HANG TUAH DENGAN HANG JEBAT.
Maka dilihatnya segala rakyat dalam negeri Melaka itu
Laksamana raja membunuh si Jebat itu. Maka kata orang yang banyak itu, “marilah
kita melihat temasya Laksamana dititahkan raja membunuh Si Jebat itu. Sekali
ini baharulah Si Jebat beroleh lawan, sama berani, dan sama tahu, kerana
Laksamana pun banyak tahunya”. Maka kata seorang pula, “Si Jebat pun tahu
banyak maka ia tiada dapat dilawan”. Maka kata seorang pula, “Apatah kita
perbantahkan? Kita lihat sekarang siapa mati siapa hidup pun bertentulah kerana
laksamana hulubalang besar, sudah ia bercakap ke Bawah Duli Yang Dipertuan
masakan ia kembali sahaja”. Hatta dengan demikian maka Laksamana pun sampailah
ke balai gendang.
Maka
Laksamana berhenti di balai Gendang mendengar bunyi rebana itu terlalu ramai Si
Jebat makan minum dengan segala isi istana. Setelah dilihatnya hampir tengah
hari, maka didengar oleh Laksamana bunyi rebana dan redap itu berhenti, hingga
bunyi rebana kecil juga lagi bunyinya mengulit Si Jebat tidur. Maka Laksamana
pun tahulah akan Si Jebat tidur itu. Maka Laksamana pun melihat ketika dan
edaran. Setelah sudah sampainya ketikanya maka Laksamana pun turun dari balai
gendang itu lalu berjalan masuk ke dalam pagar lalu berdiri di tengah halaman
istana itu.
Begitu
sedikit sebanyak kisah berkenaan pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat
yang terkandung di dalam Hikayat Hang Tuah. Hal ini segala-galanya bermula
daripada fitnah yang diterima oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah
difitnah berzina dengan Melor iaitu gundik kepada Sultan pada masa tersebut.
Hang Tuah dan Melor telah dihukum bunuh oleh pihak Sultan tanpa diusul periksa
terlebih dahulu. Sebenarnya fitnah ini telah dirancang oleh Tun Ali yang telah
menangkap Melor yang turun dari Gunung Ledang untuk mencari Hang Tuah yang
ketika itu berada di Pahang. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah pulang dari
Pahang dan akhirnya berjumpa dengan Melor. Perkara tersebut kemudiannya
diketahui oleh Sultan Melaka dan baginda memerintahkan kedua-dua mereka dihukum
bunuh. Namun, hukuman mati tidak dijalankan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah
disembunyikan di satu tempat di Hulu Melaka.
Selepas
ketiadaan Hang Tuah, Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana
bagi menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada
Hang Jebat. Berperanan sebagai kawan baik kepada Hang Tuah, Hang Jebat yang
melihat Hang Tuah telah dianiaya sehingga dia dihukum bunuh telah bertindak
untuk menderhaka kepada Sultan. Kemudiannya Hang Jebat telah mengambil alih dan
menguasai kawasan istana. Disebabkan tiada satu pun pendekar atau panglima yang
berada di Melaka pada masa itu yang mampu untuk melawan Hang Jebat, Hang Jebat
mampu untuk melakukan apa sahaja. Hal ini di tambah pula Hang Jebat yang
menjadi kebal kerana adanya hikmat keris Taming Sari di tangannya.
Bagi
mendapatkan perlindungan, Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung
di rumah Bendahara. Pada masa tersebutlah bagnida baru merasa menyesal kerana
telah menjalankan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah yang sebenarnya tidak
bersalah. Bendahara menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan kepada Sultan
perkara yang sebenar. Bendahara memberitahu kepada Sultan bahawa Hang Tuah
masih lagi hidup dan tidak dibunuh. Hang Tuah kemudiannya diperintahkan oleh
Sultan untuk balik semula ke Melaka bagi menewaskan Hang Jebat.
Raja
Melaka sangat gembira menyambut kepulangan Hang Tuah, tambahan lagi baginda
sangat rindu kepadanya. Bagnida memberikan ayapan baginda kepada Hang Tuah bagi
menunjukkan bahawa baginda sangat sayang kepada Hang Tuah. Baginda menitahkan
supaya Hang Tuah beradu tenaga dengan Jebat kerana baginda tidak tahan dengan penderhakaan
Hang Jebat. Hang Tuah terpaksa mengambil masa lima hari lima malam untuk berehat
kerana badannya terasa lemah kerana sudah empat bulan tidak bermain senjata.
Hang Tuah menyuarakan kepada Sultan
supaya keris Taming Sari diserahkan kembali kepadanya, tetapi keris tersebut
telah diserahkan kepada Hang Jebat semasa Sultan Melaka menitahkan Bendahara
Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah. Selagi keris tersebut berada di tangan
Hang Jebat, tidak seorang pun akan dapat menumpaskannya. Sultan Melaka mencadangkan supaya Hang Tuah
menggunakan keris-keris baginda yang lain. Hang Tuah mencuba semua keris Taming
Sari. Akhirnya Sultan Melaka pun menitahkan Hang Kasturi supaya mengambil keris
yang dianugerahkan oleh ayahanda Hang Tuah di Bukit Siguntang buat Hang Tuah.
Di istana Melaka, Hang Jebat menyambut
baik akan kedatangan Hang Kasturi atas sebab hubungan persahabatan baik mereka
sejak kecil. Hang Kasturi melaksanakan titah seperti yang dititahkan kepadanya.
Hang Jebat pun mengambil keris tersebut dan menyerahkan kepada Hang Kasturi. Keesokan
tengahari harinya, sewaktu Hang Jebat sedang tidur, Hang Tuah diiringi 40 orang
pengawal dan berbekalkan keris pusaka raja Melaka, pergi ke istana Melaka untuk membunuh Hang Jebat. Kemudiannya
Hang Jebat terjaga dari tidurnya apabila terdengar huru-hara suara
dayang-dayang istana seramai 700 orang bising kerana ketakutan. Kehadiran Hang
Tuah di tengah-tengah taman istana sangat mengejutkan Hang Jebat dan beliau menganggapnya
hanya mimpi kerana apa yang dia tahu Hang Tuah telah mati.
Sebelum Hang Tuah memasuki istana, Hang
Jebat menutup semua 40 pintu istana dan membunuh 40 pintu istana dan membunuh
semua perempuan dalam istana kecuali Dang Baru yang sedang mengandung tujuh
bulan. Hang Tuah menyuruh Hang Jebat membuka kedua-dua daun pintu kerana
bimbang akan tipu helahnya. Hang Tuah pun melompat ke dalam istana dan
bermulalah pergelutan di antara dua sahabat ini.
Dalam pergelutan itu, Hang Tuah gagal
untuk menikam Hang Jebat kerana keris Taming Sari masih berada di tangan Hang Jebat,
sebelum meneruskan pertikaman, Hang Jebat meminta agar semua pengawal istana
tidak menjolok lantai istana dengan menggunakan lembing dan memberitahu tentang
kehamilan Dang Baru. Dua sahabat yang mengaku bersaudara ini terpaksa bertarung
di atas talam kerana khuatir akan jolokan dari bawah. Sebelum memulakan
pertarungan, Hang Jebat berwasiat kepada Hang Tuah, jika Dang Baru melahirkan
seorang anak lelaki hendaklah dijadikan pengawal kepada Tun Nadim iaitu anak
Hang Tuah. Manakala sekiranya seorang perempuan,bagikan anak itu kepada ibunya,
Dang Baru.
Apabila penat bertarung, dua sahabat
ini pun berehat. Hang Jebat yang terleka semasa berehat telah diambil
kesempatan oleh hang tuah untuk
mengambil keris Taming Sari dari pinggang Hang Jebat. Hang Tuah membalingkan
keris yang digunakan sebelum ini ke arah Hang Jebat sebagai pertukaran serta
adil dan pergelutan diteruskan. Akhirnya Hang Jebat telah terkena tikaman keris
Taming Sari dari Hang Tuah. Setelah pergelutan berakhir, Hang Tuah membalut
luka Hang Jebat terlebih dahulu sebelum beliau pulang ke rumah.
Hang Jebat yang bermandikan darah
menutup semua pintu istana untuk berehat dan berjumpa isterinya. Orang ramai
yang menyaksikan pertikaman tersebut terkejut kerana Hang Jebat masih hidup.
Hang Jebat kemudiannya mengamuk di tengah pasar negeri Melaka menyebabkan
beribu-ribu orang mati terbunuh termasuk lelaki dan perempuan. Hang Kasturi
menjenguk Hang Tuah di rumah atas titah Sultan Melaka. Hang Kasturi diberitahu
oleh Dang Kamala bahawa Hang Tuah sedang berkhalwat dan tidak boleh bercakap
selama tiga hari tiga malam. Berita tersebut disembahkan kepada Sultan. Hang Tuah
kemudiannya pergi ke sungai setelah mendapat tahu tentang pengamukan Hang Jebat
di pasar.
Setelah Hang Jebat terdengar suara Hang
Tuah, dia terus mendapat Hang Tuah meminta supaya dirinya dibuang ke sungai.
Hang Tuah berasa simpati dengan Hang Jebat lalu membawanya bersama pulang ke
rumah. Hang Tuah membuka balutan lukanya dan darah pun keluar dengan banyaknya
lalu Hang Jebat pun mati di pangkuan Hang Tuah. Mayat Hang Jebat telah
digantung di tengah-tengah jalan besar selama tujuh hari tujuh malam untuk
dijadikan tontonan ramai. Sultan Melaka bertambah sayang kepada Hang Tuah dan
ini menimbulkan lagi perasaan iri hati para pegawai dan pertuanan istana tetapi tidak berani
untuk menyuarakannya kerana Bendahara dan Temenggong sayangkan Hang Tuah.
Dang Baru melahirkan anak lelaki yang
di beri nama Hang Kadim setelah dua bulan Hang Jebat meninggal. Sultan menitahkan
supaya Hang Kadim dibuang ke laut, tetapi dihalang oleh Hang Tuah kerana Hang Jebat
telah memberi wasiat agar anak itu dipelihara. Hang Tuah telah mengadap Tun
Teja dan memohon kurnia supaya Hang Kadim itu dihantar ke Indepura untuk dijaga
oleh Ayahanda Tun Teja.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang
Jebat telah sedaya upaya untuk membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun
begitu, Hang Tuah telah menurut titah Sultan padahal sebelum itu Sultan telah
menghukum bunuh kepada Hang Tuah tanpa sebarang bukti. Jika dilihat daripada
sudut Islam, Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang-oramg Islam bahawa
jika raja bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Dapat dilihat bahawa kesilapan
Hang Tuah yang tidak berfikir sesungguhnya Allah S.W.T lebih berkuasa dari
Sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba untuk menegakkan kebenaran.
Peristiwa ini sebenarnya masih lagi menjadi perbalahan dan kajian kepada orang
Melayu sehingga hari ini.
Namun begitu, terdapat juga pengkaji
atau penganalisis Hikayat Hang Tuah yang menyokong tindakan oleh Hang Tuah. Hal
ini disebabkan kerana Hang Jebat bukan sahaja derhaka kepada Sultan bahkan
telah membunuh ramai orang dan rakyat jelata yang tidak bersalah dengan
mengamuk di dalam istana dan seluruh negeri Melaka. Tinadakan Hang Tuah mungkin
satu tindakan yang berupa hukuman yang juga boleh dianggap sebagai hukuman
bunuh terhadap orang yang melakukan pembunuhan atau pembunuh.
4.0
OBJEKTIF
KAJIAN
1.
Menganalisis
perwatakan Hang Tuah serta dasar-dasar perjuangannya.
2.
Menganalisis kesan
sistem feudal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
3.
Menganalisis dilema
antara semangat setiakawan Hang Tuah dan ketaatannya kepada sultan.
4.
Menganalisis
kebenaran Hang Jebat menegakkan keadilan.
5.0
ANALISIS
DAPATAN.
5.1 HANG
TUAH SEBAGAI SATU PERLAMBANGAN.
Hikayat Hang Tuah memperkenalkan Hang
Tuah dengan memberikan butir- butir peribadinya seperti nama ibu bapanya.
Ibunya bernama Dang Merdu Wati manakala bapanya pula bernama Hang Mahmud.
Mereka sekeluarga berasal dari Sungai Duyong. Semasa kecil, Hang Tuah tinggal
di Kampung Bendahara Tun Perak dan mempunyai empat orang sahabat iaitu Hang
Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Mereka bersama- sama
mempelajari ilmu agama, pelayaran dan pencak silat. Hang Tuah juga dikatakan
berketurunan daripada “orang yang berasal juga” sebelum Hang Tuah masuk
berkhidmat di istana raja sebagai ‘biduanda dalam’, beliau telah selalu
mengadap Bendahara untuk memperhambakan diri, dan dengan pengalaman itu, beliau
mengetahui tentang cara bahasa orang istana.
Dalam Sejarah Melayu, Hang Tuah
digambarkan sebagai seorang wira yang mempunyai watak yang unggul, serba boleh
dan sempurna. Beliau seorang yang gagah perkasa, bijak, pintar, tajam fikiran,
jauh pandangan dan mempunyai banyak muslihat sebagai seorang pahlawan di dalam
menwaskan musuhnya. Hang Tuah dikatakan merupakan seorang manusia yang begitu
baik sama ada dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara berbudaya
dengan orang lain.
Martabat Hang Tuah meningkat oleh
kerana perwatakannya, kecerdasan otaknya serta kegagahannya. Hang Tuah telah
dianugerahkan gelaran ‘laksamana’ oleh dua pihak yang berasingan. Pertama, oleh
Betara Majapahit apabila beliau telah berjaya menumpaskan Taming Sari dan
kedua, oleh Sultan Melaka kerana setiabaktinya membawa Tun Teja dari Indrapura.
Dilihat dari segi fungsi laksamana, Hang Tuah muncul sebagai tokoh yang
berkuasa dan menjamin kesejahteraan Negara Melaka. Hang Tuah juga adalah johan
hulubalang Melayu. Melalui watak Hang Tuah, terlukis satu gambaran hulubalang
Melayu di zaman Melayu lama. Seorang hulubalang, bukan sahaja mesti pantas
bermain keris, tetapi perlu pandai menunggang kuda dan gajah.
Hang Tuah dianggap sebagai lambang
semangat bangsa Melayu. Beliau dianugerahkan dengan gejala kebal maut. Sifat
tidak boleh dibinasakan oleh senjata ini adalah disebabkan oleh beliau memiliki
keris Taming Sari dan hasil- hasil ilmu yang diperolehinya daripada beliau
berguru sebanyak dua kali.
5.2 HANG
TUAH SEBAGAI SATU PERBANDINGAN.
Jika dianalisa perjalanan hidup Hang
Tuah dalam Hikayat Hang Tuah, ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.
Bahagian pertama adalah jalan hidup Hang Tuah sebelum terbentuknya Melaka,
tegasnya ketika di Bentan, bahagian kedua adalah berhubungan dengan kemashyuran
Melaka. Bahagian kedua adalah mengenai dongeng- dongeng sejarah Hang Tuah
dengan bangsa- bangsa asing. Ketiga- tiga bahagian ini, merupakan satu
kebulatan iaitu sejarah bangsa Melayu. Hal ini kerana, didapati ada keselarasan
di antara bahagian satu, dua dan tiga, jika dikaji dari aliran sejarah bangsa
Melayu. Dari sudut susunan yang terdapat mengenai jalan hidup Hang Tuah dalam
hikayat itu, beliau adalah simbol sejarah masa gemilang itu.
Semasa pusat pemerintahan Melayu masih
bertempat di Bentan, bangsa Melayu masih lagi dalam permulaan sejarahnya. Dalam
susunan pemerintahan di Bentan, tidak ada satu- satu jawatan yang diberi
gelaran ‘Laksamana’, tetapi dengan terdirinya negeri Melaka, lambat laun bangsa
Melayu menaiki tangga kejayaan hinggakan terbentuk satu jawatan yang digelar
Laksamana, dan Hang Tuah menyandang jawatan itu. Kejayaan Hang Tuah dapat
dilihat daripada lagenda- lagendanya dengan Majapahit dan negeri- negeri
dagang.
“Laksamana” adalah tokoh yang
terpenting lagi tinggi tinggi kedudukannya dalam masyarakat Melayu, oleh kerana
bangsa Melayu merupakan kuasa laut pada ketika itu. Jikalau, dalam Sejarah
Melayu, Hang Tuah menyeberangi perairan yang terletak di alam Melayu sahaja, di
dalam Hikayat Hang Tuah, beliau seorang utusan yang yang boleh ke mana- mana
sahaja. Hang Tuah bukan sahaja dapat mengembangkan kekuasaan Melayu di sekitar
Tanah Melayu, malah beliau berjaya mewujudkan hubungan diplomatik ke seluruh
tanah lawatannya.
Selain itu, Hang Tuah digambarkan
sebagai kehidupan di zaman feudal iaitu beliau mempunyai semangat kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi dan jiwa yang pantang derhaka kepada pemerintah.
Semangat kesetiaan dan jiwa yang pantang derhaka ini adalah sendi- sendi atau
dasar corak masyarakat feudal.
5.3 HANG
TUAH SEBAGAI TOKOH EPIK NASIONAL.
Epik ialah prosa panjang yang
disampaikan dalam bentuk naratif atau cerita yang mengisahkan keperwiraan
seseorang pahlawan atau tokoh penting dalam sejarah. Pusat penceritaannya
adalah mengenai wira dan keperwiraannya dalam satu siri pengembaraannya yang
berjaya menempuh pelbagai halangan. Tokoh yang diceritakan seorang wira lagenda
yang penting dan benar-benar wujud dalam sejarah. Selain itu, tokoh yang
diceritakan perlu memiliki sifat-sifat berani, taat setia, bijaksana dan gagah
perkasa yang luar biasa berbanding dengan individu-individu lain dalam
masyarakat. Menurut Kasim Ahmad, Hikayat Hang Tuah sebuah epik.
Hikayat Hang Tuah (1874) dipandang
sebagai karya agung kesusasteraan Melayu lama. Karya ini menceritakan peristiwa
dari abad ke-15 hingga ke-17. Hikayat
Hang Tuah merupakan epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan
bangsa Melayu tetapi juga di seluruh rantau Nusantara. Hikayat ini menggambarkan
wira agung Melayu yang diperlihatkan mempunyai ciri-ciri hebat sebagai seorang
wira pada zaman kesultanan Melayu. Watak utamanya, iaitu Hang Tuah adalah
simbol kesetiaan orang Melayu kepada rajanya. Hang Tuah pada zaman Kesultanan
Melaka menjadi pahlawan Melaka yang mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang
luar biasa dan mengagumkan. Pahlawan Hang Tuah ini menjadi tokoh lagenda yang
amat disanjung oleh orang Melayu.
Hikayat Hang Tuah ini mencatatkan
keperwiraan Hang Tuah. Hang Tuah mewakili zaman dan bangsanya merupakan tokoh
yang gemilang dari segi perjalanan hidup dan pencapaiannya. Tidak menafikan
bahawa Hang Tuah sangat dihormati dan sangat disanjungi tinggi oleh masyarakat.
Bukan begitu, Hang Tuah sebagai seorang wira yang berwibawa dunia Melayu sangat
popular dan terkenal dalam kalangan masyarakat kini. Jadi, Hang Tuah seorang
tokoh epik yang memiliki sifat-sifat luar biasa dan gagah berani. Buktinya,
Hang Tuah sejak kecil telah memperlihatkan kebolehan yang istimewa dari segi
fizikal dan mentalnya. Bakat luar biasa yang semula jadi itu diperkemaskan lagi
dengan ikhtiar Hang Tuah sendiri. Dengan ini, Hang Tuah mempelajari ilmu silat
bagi mempertahankan diri dan ilmu batin untuk mengalahkan musuh-musuhnya.
Penguasaan ilmu silat dan ilmu batin itu berjaya memperlengkapkan diri Hang
Tuah menjadi seorang pahlawan yang gagah berani.
Pendek kata, Hikayat Hang Tuah
merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah mengemukakan watak Hang Tuah
sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambang kemegahan dan
kekuatan bangsa Melayu.
6.0 PENUTUP.
Kesimpulannya,
berdasarkan penelitian yang telah dilakukan melalui tugasan ini dapatlah
disimpulkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini merupakan salah satu lambang keagungan
bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah juga telah menunjukkan satu perlambangan
bahawa bangsa Melayu itu yang taat akan sultannya. Bangsa Melayu pada zaman
keagungannya sememangnya merupakan salah satu bangsa yang megah dan kaya dengan
adat istiadatnya.
Selain itu juga sekirannya
diperincikan lagi mengenai Hikayat hang Tuah ini, para pengkaji menganggap
karya tersebut mungkin ditambah dengan mitos ataupun bahan-bahan yang
menyimpang daripada sejarah sebenar. Para pengkaji menganggap bahawa
pengkisahan sejarah Hang Tuah yang dianggap sebagai pahlawan yang hebat yang
luar biasa hanyalah untuk mengangkat keagungan bangsa Melayu ketika itu. Di
samping itu juga tujuan penceritaan kisah Hang Tuah ini juga adalah untuk
menunjukkan tentang kehebatan rakyat Melaka kepada kerajaan Majapahit ketika
itu.
Di samping itu juga, Hikayat Hang
Tuah juga sekiranya diteliti dengan lebih mendalam lagi, ramai pengkaji percaya
bahawa penceritaannya dibuat adalah untuk mengkritik sultan secara kiasan.
Pengkaji juga menyatakan bahawa sultan yang dianggap sebagai wakil tuhan
dikritik secara halus dalam penceritaan Hikayat hang Tuah. Sebagai contoh,
pertarunganan Hang Tuah dan Hang Jebat yang menunjukkan ketaatan Hang Tuah yang
begitu taat kepada sultan yang tidak adil sehinggakan sanggup membunuh
saudaranya Hang Jebat.
Kesimpulannya, kweujudan Hang Tuah
ini telah menimbulkan keraguan ramai pengkaji. Kepelbagaian versi Hang Tuah ini
juga telah menyebabkan kesahihan dan kebenarannya tidak dapat dipastikan oleh
pengkaji. Namun terdapat juga yang menganggap bahawa Hang Tuah ini wujud tetapi
kehebatannya yang luar biasa hanyalah rekaan semata-mata. Penceritaan hanyalah
sebuah karya yang bertujuan untuk mengangkat martabat dan kehebatan bangsa
Melayu ketika itu. Hal ini sebenarnya sama dengan pengkaryaan pada zaman moden
seperti pengkaryaan dalam perfileman. Sebagai contoh cerita ‘Spiderman’ yang
dibuat untuk mengangkat kehebatan rakyat Amerika.
7.0 BIBLIOGRAFI.
Ahmad
Sarji (2004). Hang Tuah Tokoh Epik Nasional. Selangor , Pelanduk Publications
(m) Sdn.Bhd
D.Kathiresan
(1998) Kajian Teks Sastera : Sulalatus
Salatin : Sejarah Melayu. Petaling Jaya, Longman.
Mohd
Jasmin Bin Jasni , (2006) Kupasan
Grafikal kesusasteraan Melayu : Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) STPM ,
Kuala Lumpur. Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn. Bhd.
Mohd
Yusoff Hashim (2008). Hang Tuah Wira Melayu. Melaka, Istitut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Nisrawani
Yahaya (2003) 101 Puteri Dunia Melayu :
Sejarah Dan Lagenda. Kuala Lumpur, Jabatan Muzium dan Antikuiti.
.
No comments:
Post a Comment